KEGAGALAN PN: SIAPA YANG PERLU BERTANGGUNGJAWAB?

205
SHARES
660
VIEWS

Siri 1: Minggu 31 Mei-6 Jun 2021

Oleh Aduka Taruna

Rumah siap, pahat berbunyi. Nampaknya pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pakej tambahan Program Strategik Memperkasa Rakyat, mencetuskan isu. Rata-rata golongan M40 kecewa kerana merasakan terpinggir terutama tiadanya moratorium automatik untuk mereka.

Sekali lagi berlaku situasi sama. Bank-bank tempatan yang terus mengaut keuntungan besar, hanya sanggup melaksana moratarium bersyarat. Ternyata kerajaan tidak tahu menggunakan kuasa dan pelaksanaan darurat bagaikan sia-sia. Kerajaan sekadar syok pukul canang tetapi yang masih bergelut dan ditekan oleh bank-bank, adalah rakyat. Akhirnya pakej rangsangan itu tidak inklusif dan kelihatan cacat. Itulah juga rumusan banyak penganalisis terhadap pakej tersebut.

Satu lagi isu daripada pengumuman tersebut adalah, menteri dan timbalan menteri tidak akan menerima gaji selama tiga bulan. Namun ramai terutama kalangan netizen mempersoalkan mengapa tidak meliputi elaun seolah-olah ia tidak sempurna. Lagipun elaun menteri besar jumlahnya.

Seruan rakyat juga mahu Ahli-Ahli Parlimen dan Senator menyumbang elaun mereka kepada kerajaan. Ini juga ekoran darurat dan penggantungan Parlimen. Anehnya ada kalangan yang tidak menyokong idea gaji dan elaun menteri serta wakil rakyat dipotong termasuklah Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim. Entahlah kenapa beliau tidak sensitif kepada suara rakyat. Padahal banyak kerajaan negara lain telah mengambil langkah tersebut untuk berkongsi beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat.

Turut menjadi perhatian adalah isu Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP) yang sentiasa panas. Sekali lagi ramai yang membidas dan mengkritik kelonggaran kepada pelbagai kelompok sektor ekonomi meskipun Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membuat ketetapan bagi melandaikan kes Covid-19 yang melonjak hampir 10,000 kes

Ini termasuklah apa yang dikatakan sebagai “tutup pintu depan” tetapi ada pula pemimpin lain campur tangan membuka pintu belakang. Bukan rahsia lagi, yang ia dikaitkan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato Seri Azmin Ali. Beliau adalah antara menteri Kabinet yang ditolak rakyat sama ada isu prestasi, isu lompat parti mahupun  skandal video terlarang.

Terbaru hampir 200,000 undian rakyat mahukan beliau meletakkan jawatan. Sama keadaannya dengan gesaan agar Perdana Menteri berundur kerana kegagalan pentadbiran kerajaan PN yang diketuai Parti Bersatu. Dalam kaitan ini, rakyat Malaysia menyokong ketegasan Menteri Kanan Keselamatan, Dato  Seri Ismail Sabri dalam “menjaga pintu” agar tidak banyak kelonggaran bagi memastikan PKP yang berkesan.

Ketika harapan makin disandarkan kepada Dato Seri Ismail, seorang lagi Menteri Sains dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjadi sasaran kritikan berikutan isu aplikasi pendaftaran yang menelan belanja RM70 juta. Belum pun reda isu dakwaan komisen yang terlalu tinggi bagi pembelian produk vaksin keluaran Amerika Syarikat dan Eropah, isu aplikasi itu pula muncul.

Selain itu, banyak rungutan diterima terhadap pengendalian di pusat-pusat vaksin yang memerlukan penambahbaikkan segera. Khairy juga berdepan tekanan pelbagai pihak yang mahukan program vaksinasi kepada rakyat Malaysia dipercepatkan. Indonesia misalnya telah jauh lebih awal laksana kaedah suntikan vaksin melalui pandu lalu, tetapi kerajaan Malaysia baru umum untuk berbuat demikian. Banyak juga rungutan terhadap pengurusan di pusat vaksin.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Hamzah Zainuddin membuat kenyataan yang kurang bijak berkaitan mengapa sidang Parlimen tidak boleh diadakan. Menurut beliau, langkah membuka sidang Parlimen akan melambatkan imuniti kelompok dicapai.

Kenyataan itu mengundang sinikal dan bantahan ramai, yang menyifatkannya sebagai tidak masuk akal. Begitulah ceteknya pemikiran seorang menteri parti Bersatu yang mahu membodoh-bodohkan rakyat: Adalah makin ketara kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin mahu terus menggantung Parlimen dengan menggunakan darurat untuk menyelamatkan survival politik.

Tidak mengejutkan program imunisasi di seluruh negara ini akan dimanipulasi bagi melanjutkan jangka hayat politik kerajaan PN yang sebenarnya sudah hilang mandat di Dewan Rakyat. Itu juga persepsi rakyat. Di samping Muhyiddin Yassin, Azmin Ali, Hamzah Zainuddin, Khairy Jamaluddin dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz,  beberapa lagi menteri yang kurang disenangi rakyat adalah Dato Takiyuddin Hassan, Tan Sri Annuar Musa, Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein, Dato Dr. Khairuddin Aman Razali dan Dato Rina Harun.

Ketika imej kerajaan PN merudum, ada beberapa pelantikan di GLC yang seperti mengulangi tabiat lama. Antaranya adalah pelantikan Dato Aziz Sheikh Fadzir sebagai Pengerusi TH Heavy Engineering, subsidiari di bawah Tabung Haji.

Keputusan melantik seorang ahli politik dan ahli perniagaan yang aktif seperti beliau, adalah suatu kesilapan. Apatah lagi, rekod pencapaiannya agak buruk sebagaimana ketika menjadi Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu.

Sampai hari ini, lebih 1,000 pekerja Utusan gagal dibayar pampasan selepas penutupan operasi penerbitannya pada 2019 (sebelum dibuka semula di bawah penguasaan syarikat baru). Keputusan yang salah juga dikhuatiri akan berlaku dalam soal penjualan Innobio Ventures Sdn Bhd iaitu anak syarikat Kementerian Kewangan kepada syarikat persendirian yang tidak mempunyai kepakaran.

Ramai penganalisis bertanya mengapa kerajaan tidak membenarkan sahaja Innobio diambilalih oleh Pharmaniaga, iaitu GLC di bawah LTAT yang lebih diiktiraf kemampuannya dalam bidang pengeluaran farmaseutikal?

Sedangkan kerajaan telah melabur sebanyak RM400 juta untuk mewujudkannya Innobio maka  sewajarnya aset itu harus berlegar kepada pemilikan kerajaan menerusi GLC. Adakah ada campur tangan pemimpin politik sehingga Kementerian Kewangan dikatakan menerima tekanan untuk menjualnya kepada syarikat tertentu tanpa melalui tender?

Banyak kepincangan dalam pentadbiran kerajaan PN sekarang, dibiarkan tanpa usaha serius menanganinya. Ia juga mencerminkan kegagalan dan kelemahan jentera komunikasi di pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Sudah ada suara kuat mahukan kerajaan PN merombak jentera komunikasinya termasuk menukar menteri berkenaan iaitu Dato Saifudin Abdullah. Juga terdapat gesaan agar seorang tokoh berpengalaman seperti Dato Kadir Jasin mengetuai pasukan media di pejabat PM.

Disebabkan kelemahan tersebut, kerajaan PN dengan sendirinya turut mengheret Yang di-Pertuan Agong kepada gelombang kritikan yang tidak sewajarnya. Bukan sahaja tiada usaha yang bersungguh-sungguh untuk menaikkan imej pentadbiran Tan Sri Mujyiddin, malah tiada usaha untuk membela dan mempertahankan Yang di-Pertuan Agong.

Akibatnya Istana Negara makin terdedah kepada penghinaan dan tohmahan yang tidak sepaturnya berlaku. Jika tidak ditangani segera, dikhuatiri ia akan menghakis keyakinan dan rasa hormat kepada institusi raja di negara ini.

Dengan kata lain, situasi kegagalan politik terburuk sekarang boleh mengundang padah lebih besar kepada sistem beraja. Persoalannya siapakah yang harus bertanggungjawab kepada segala kepincangan ini?

(Siri 2 akan disiar minggu depan)

(Aduka Taruna adalah penganalisis politik yang bergaul rapat dengan semua kelompok masyarakat)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts