KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PARTI
PUTRA
11 Jun 2021
1. Rakyat dan PUTRA berdebar tetapi istiqamah menunggu apa keputusan Majlis Raja-Raja Melayu yang akan bersidang pada 16 Jun 2021 bagi menyelesaikan kemelut politik negara. Termasuk ancaman berterusan Covid-19, ekonomi negara yang semakin merudum dan keluh-kesah rakyat yang hilang punca ternanti-nanti apa kesudahannya. Ia amat kritikal dan genting.
2. Berbagai pandangan telah dilontar kan oleh pelbagai pihak, pro dan kontra antara satu sama lain. KDYMM YDP Agong sedang bertemu dengan semua pemimpin-pemimpin utama parti politik yang mempunyai wakil dalam Parlimen bermula 9 Jun dan yang sudah mengadap baginda telah memberi kenyataan-kenyataan media. Semuanya menjadi teka-teki apa ramuan yang akan diputuskan oleh YDP Agong dan Majlis Raja-raja Melayu.
3. Tun Dr Mahathir mendedahkan secara terbuka bahawa beliau mencadangkan penubuhan MAGERAN saperti MAGERAN 13 MEI 1969 kepada YDP Agong. Tun Mahahir juga mendedahkan bahawa ‘titah YDP Agong mengenai cadangan MAGERAN boleh dilaksanakan jika kerajaan bersetuju.
Apakah di bawah Ordinan Darurat, DYMM YDP Agong mesti mendapat persetujuan kerajaan tidaklah dapat di pastikan. Apakah setakat ini sahaja kuasa DYMM YDPA?
Maka lebih baiklah serah sahaja kepada kerajaan secara total tanpa ada semak dan imbang apa sahaja mahu di Laksanakan. Tidak perlu ada mesyuarat itu dan ini. Hebat kuasa seorang Perdana Menteri, tidak perlu apa-apa semak dan imbang, baik Parlimen atau Majlis Raja-Raja Melayu yang menjadi payung rakyat dan negara.
4. Pihak kerajaan melalui kenyataan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, membuat kenyataan secara terbuka bahawa tidak perlu diwujudkan MAGERAN. Cukup apa yang sedang dilakukan sekarang ini bagi menangani ancaman Covid-19 dan usaha memulihkan ekonomi dan kesengsaraan rakyat. Maknanya Perdana Menteri tidak mahu berkongsi kuasa secara mutlak.
Parlimen tidak bersidang tetapi Ahli-ahli Parlimen masih menerima gaji dan elaun yang besar. Rakyat kata Ahli Parlimen makan gaji buta. Hebat kuasa Perdana Menteri di bawah Darurat ala PN. Tetapi keadaan tidak juga bertambah baik.
5. Pakatan Harapan juga menolak cadangan menubuhkan MAGERAN. Kenyataan resmi telahpun dikeluarkan.
6. Pada awalnya PUTRA juga mencadangkan Darurat ala 13 Mei 1969 dengan menubuhkan MAGERAN untuk mentadbir negara buat seketika sehingga dapat menstabilkan semula politik negara dengan cara kembali semula ke drawing board untuk mencari penyelesaian secara total kepada segala masalah yang dihadapi rakyat dan negara.
Banyak juga tokoh-tokoh masyarakat bersetuju dengan cadangan MAGERAN ini dan terakhir Tun Mahathir sendiri turut membuat cadangan yang sama.
Tetapi bezanya Tun Mahathir juga mencadangkan beliau sendiri untuk mengetuai MAGERAN jika dapat ampun perkenan DYMM YDP Agong. PUTRA menyerahkan kepada kebijaksanaan baginda.
PUTRA berharap sekiranya baginda Tuanku memperkenan melaksanakannya maka sesiapa yang dilantik mengetuai MAGERAN mestilah tokoh berintegriti, berwibawa, berpengalaman dan diterima oleh semua pihak.
7. Oleh kerana MAGERAN bukan pilihan oleh pihak Kerajaan (PN) dan Pembangkang (PH), maka apa pilihan yang ada?
JIKA PRINSIP DEMOKRASI DIDAULATKAN DAN SETAKAT KUASA YANG ADA PADA DYMM YDP AGONG SEBAGAI RAJA BERPERLEMBAGAAN,
AMAT WAJAR DAN TERBAIK SELEPAS MESYUARAT MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU PADA 16 JUN DEPAN MAKA PUTRA MENCADANGKAN AMPUN PERKENAN DYMM YDP AGONG AGAR DARURAT DITAMATKAN SERTA-MERTA DAN PARLIMEN DIBENARKAN BERSIDANG SEGERA.
Tidak ada pilihan LAIN. Urusan menangani Covid-19 boleh diurus melalui SOP yang lebih berkesan dengan menubuhkan JAWATANKUASA OPERASI KHAS COVID-19 dan JAWATANKUASA PEMULIHAN EKONOMI NEGARA yang dianggotai oleh pakar-pakar yang berwibawa.
Nasib baik sejarah rakyat Malaysia adalah rakyat yang tinggi nilai kesabarannya. Janganlah kesabaran rakyat hilang perhitungannya. Bermula hujan rintik-rintik berakhir dengan ribut dan taufan.
RAKYAT MALAYSIA BERNAUNG DI BAWAH PANJI-PANJI RAJA-RAJA MELAYU UNTUK KEDAMAIAN DAN KESEJAHTERAAN NEGARA.
DAULAT TUANKU.
PUTRA PERKASA NEGARA
Salam rakyat Malaysia,
Dato Paduka Dr Ibrahim Ali
Presiden PUTRA