MPPK berpendapat bahawa langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan melalui kenyataan YB Menteri yang menyatakan bahawa akan diadakan pengambilan khas guru seramai 18,702 orang secara one off adalah bertepatan dengan situasi kini.
Langkah ini yang bertujuan untuk mengisi kekosongan guru di seluruh Malaysia terutamanya di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor boleh membantu para graduan pendidikan yang ada antara mereka telah lama menganggur dan terpaksa bekerja di luar bidang mereka.
MPPK berharap peluang ini dapat dimanfaatkan oleh mereka semua supaya tidak ada lagi keluhan daripada graduan pendidikan mengenai ketiadaan peluang pekerjaan.
Sebelum ini, ramai graduan pendidikan dilaporkan tidak mendapat peluang menjadi guru dan terpaksa bekerja dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelulusan mereka, sehingga ada yang menjadi pengawal keselamatan dan pelbagai lagi pekerjaan yang bukan bidang mereka.
MPPK juga menyampaikan penghargaan kepada pihak Kementerian Pendidikan kerana cakna dan komited dalam membantu para graduan yang kini agak tersepit dengan pelbagai masalah.
Pengambilan guru secara ‘one-off’ dan besar-besaran ini juga selain dapat menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri ia juga dilihat sebagai langkah yang dapat menjamin pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar ketika pandemik Covid-19.
Sekian, terima kasih.
Muhammad Amir Asyraf Bin Mohd Sabri
Presiden
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan