PELANTIKAN ISMAIL SABRI BAGI MENYELAMATKAN PPBM

189
SHARES
610
VIEWS

Saya ingin ucapkan tahniah kepada sahabat saya Dato’ Seri Ismail Sabri ke atas pelantikan ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun pelantikan Timbalan Perdana Menteri adalah hak dan prerogatif Perdana Menteri untuk melantik sesiapa sahaja yang dia suka, pelantikan ini perlu dibawa untuk dibincang di Majlis Tertinggi UMNO pada malam ini.

Ini kerana Dato’ Seri Ismail Sabri adalah masih Ahli Parlimen UMNO dan pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri akan memberi kesan kepada UMNO dari pucuk pimpinan sehinggalah ke akar umbi, oleh itu ia perlu dibincangkan bersama di dalam parti untuk mencapai konsensus.

Dato’ Seri Ismail Sabri adalah seorang yang layak dan berpengalaman untuk memegang jawatan tersebut. Namun demikian, masa dan keadaan sekitar pelantikannya ini adalah amat tidak sesuai.

Ini kerana adalah amat jelas pelantikan ini adalah kerana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin sedang terdesak dan partinya kini berada di ambang kejatuhan lalu dia ingin menggunakan UMNO sekali lagi untuk menyelamatkan dirinya dan partinya PPBM.

Apabila Parlimen dibuka kelak, nasib Tan Sri Muhyiddin dan PPBM adalah malap.

Rakyat sedang marah dengan prestasi kerajaan PN yang telah gagal menangani wabak COVID-19 yang semakin hari semakin buruk.

Keadaan seperti ini sebenarnya pernah berlaku dahulu iaitu semasa Langkah Sheraton di mana ketika itu rakyat menolak kerajaan PPBM yang dipimpin Mahathir.

Apabila hampir tumbang, mereka (PPBM) terpaksa mengorak Langkah Sheraton dan meminta UMNO untuk menyelamatkan mereka.

Namun selepas itu mereka (PN/PPBM) masih tidak mampu untuk mentadbir negara dengan cekap dan akibat dasar-dasar mereka yang teruk rakyat telah menjadi mangsa.

Kali ini mereka (PPBM) di ambang kejatuhan lagi dan mereka sekali lagi meminta UMNO untuk menolong mereka untuk mengekalkan kuasa.

Saya harap kali ini pemimpin-pemimpin UMNO membuat keputusan yang bijak dan tepat. Akar umbi UMNO sudah lama nampak permainan politik PPBM ini yang telah menyebabkan ketidakstabilan politik dan kelambatan negara untuk keluar daripada wabak COVID-19 ini.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu buat keputusan sama ada mahu menerima atau tidak tawaran Timbalan Perdana Menteri daripada Muhyiddin dan PPBM ini.

Jika MT UMNO terima tawaran TPM daripada Muhyiddin malam ini, keadaan politik tidak akan banyak berubah, ketidakstabilan politik masih akan berlaku malah mungkin menjadi lebih teruk; UMNO akan masih perlu tunduk kepada PPBM yang gagal mentadbir negara, malah akan timbul masalah dalaman dalam UMNO yang akan menyebabkan perpecahan.

Dan dasar-dasar kerajaan PN yang gagal akan berterusan, dan rakyat yang akan terus menanggung sengsara ke atas kegagalan dasar-dasar ini.

Janganlah kita dipatuk ular dua kali.

Salam,

ISHAM JALIL
7 Julai 2021

https://www.facebook.com/220524935369705/posts/1006888233400034/?d=n

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts