UNTUNG RUGI UMNO TARIK DIRI DARIPADA PN, KESAN DARIPADA LANTIKAN ISMAIL SABRI SEBAGAI TPM

250
SHARES
805
VIEWS

Berikut antara yang disenaraikan sebagai untung dan rugi parti UMNO sekiranya mereka menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional, tanpa mengira bilakah masanya namun selagi sebelum PRU-15.

Sekiranya UMNO bertindak bijak, tindakan menarik diri ini seumpama membunuh beberapa ekor burung hanya dengan seketul batu. 

Untung UMNO jika menarik diri daripada Perikatan Nasional sebelum PRU-15 ialah:

1. Tidak terpalit lagi dengan apa jua kegagalan yang dilakukan oleh kerajaan

Walaupun boleh dinafikan oleh UMNO namun rakyat tetap memandang mereka sebagai sebahagian daripada kerajaan yang mereka lihat telah gagal mengurus dan mentadbir negara dengan baik.

Ini termasuklah dalam menangani pandemik Covid-19 serta polisi ekonomi yang gagal. Keangkuhan dan kebodohan beberapa pemimpin juga dilihat semakin menyakitkan hati dan menimbulkan kemarahan rakyat.

Antaranya, ada menteri masih berkeras mahu menjaga bank berbanding rakyat, moratorium diberi tetapi rakyat yang menanggung rugi dalam masa yang panjang. Ia umpama sudah jatuh ditimpa tangga.

Berlagak makan mi segera seolah-olah tidak cukup makan, mengecam bendera putih bagi meminta bantuan serta melanggar SOP berkali-kali tetapi masih tidak mahu meminta maaf, juga mengheret UMNO untuk turut sama dibenci oleh rakyat.

2. Mengenal pasti lebih awal mana pemimpin-pemimpinnya yang tidak mahu mengikut arahan parti sebaliknya ‘tunduk’ kepada Perikatan Nasional

Dengan menarik diri ini maka akan ada segelintir pemimpin-pemimpin yang mahu terus kekal bersama Perikatan Nasional akan mula berasa serba salah sama ada mentaati parti atau parti lain.

Rakyat yang terdiri daripada mereka yang di atas pagar, pengundi pertama kali dan pengundi-pengundi kali kedua di PRU-15, terutamanya yang menyesal mengundi Pakatan Harapan sebelum ini juga ternanti-nanti perkara ini.

Trend menunjukkan tiga golongan pengundi ini berasa mustahil untuk menyokong Perikatan Nasional, yang dilihat mereka sebagai sama atau mungkin lebih buruk daripada kerajaan sebelumnya iaitu Pakatan Harapan. Lihat sahaja Tabung Haji dan pembunuhan arwah Adib serta isu pengganas komunis dan LTTE yang masih tidak dipedulikan. Masih tidak ‘undo‘ apa yang berlaku menyebabkan rakyat kecewa dan tidak mungkin akan menyokong mereka kelak.

Faktor khianat parti masing-masing juga menjadi salah satu faktor dalam pertimbangan pengundi-pengundi bagi tiga golongan ini.

Lebih buruk, mereka akan kembali mengundi Pakatan Harapan kerana sudah tidak mempunyai pilihan.

3. Memudahkan pengagihan dan pembahagian kerusi, fokus kepada PRU-15 

Walaupun PRU-15 mungkin masih lambat akan diadakan kerana pandemik Covid-19 masih tinggi di negara ini, tetapi UMNO sudah boleh berkira-kira untuk memilih siapakah calon wakil rakyat mereka di DUN dan Parlimen.

Dengan penarikan diri ini kelak, ia juga memudahkan UMNO untuk merangka strategi menghadapi PRU-15 kelak kerana rakyat sudah tidak lagi keliru sama ada mahu mengundi UMNO ataupun tidak.

Rakyat yang kini amat marahkan kerajaan dan menyampah dengan Pakatan Harapan, masih mempunyai pilihan iaitu UMNO-Barisan Nasional.

Ini tidak termasuk pengundi-pengundi tegar, kerana tidak kira apa berlaku sekalipun mereka akan tetap mengundi Pakatan Harapan. Walau seburuk atau seteruk manapun mereka akan tetap percaya dengan Pakatan Harapan.

Berbeza di Perikatan Nasional, ahli-ahlinya sendiri ragu-ragu dengan hala tju dan kemampuan mereka mentadbir negara. Namun selagi memerintah dan memperoleh laba, mereka akan terus menyokong. Sokongan mereka bukan berteraskan perjuangan sebaliknya imbuhan.

Rugi UMNO jika meninggalkan kerajaan sebelum PRU-15 pula ialah;

1. Tidak lagi mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan 

Jika ada sebarang bantuan sebelum ini maka selepas ini tentu ia akan ditarik atau tidak diberikan lagi melainkan kerajaan bersikap ‘gentlemen‘.

2. Kehilangan jawatan dalam kerajaan

Sama ada sebagai Menteri, Timbalan Menteri ataupun Pengerusi GLC. Jangan dilupakan, melalui tiga jawatan lantikan politik ini di bawahnya ada berbelas atau mungkin berpuluh pegawai-pegawai mereka yang turut akan terlibat sama. Dalam keadaan ini sukar untuk kerajaan bersikap ‘gentlemen‘ kerana semua merupakan lantikan politik.

Ini juga akan menjadi alasan Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC ini memilih untuk kekal bersama Perikatan Nasional.

3. Kes mahkamah mungkin akan dilipat gandakan

Jika ini dilakukan, jelas kerajaan mengamalkan “scheme of thing” kerana hanya mendakwa pemimpin-pemimpin yang tidak sehaluan namun dalam masa yang sama mendiamkan kes-kes pemimpin yang menyokong mereka.

Rakyat mahu kerajaan menegakkan keadilan tanpa memilih bulu, iaitu yang salah perlu didakwa dan biar mereka buktikan tidak bersalah di mahkamah. Bukan mengikut acuan scheme of thing yang telahpun terdedah.

Bagi pemimpin-pemimpin UMNO yang menjadi Menteri, Timbalan Menteri atau Pengerusi GLC pula, apa perlu takut berdepan dengan mahkamah jika anda tidak bersalah?

4. Kembali menjadi pembangkang

Jika menarik diri daripada menyokong kerajaan tentulah sama dengan menjadi pembangkang. Tetapi, ketika ini UMNO akan menjadi sama seperti PAS suatu ketika dahulu, iaitu tidak menyertai gabungan pembangkang dan juga tidak menyertai kerajaan.

Jika mampu menang di PRU-15 kelak, maka UMNO boleh membentuk kerajaan seperti sebelum ini ataupun menjadi “King Maker” yang jauh lebih ampuh daripada PAS.

Justeru inilah antara untung rugi utama yang boleh disenaraikan ketika ini jika UMNO menarik diri daripada Perikatan Nasional sebelum PRU-15. 

Kesan daripada pelantikan Ismail Sabri terhadap UMNO

Datuk Seri Ismail Sabri baru sahaja dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri sebentar tadi. Rujuk pautan kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) di pautan;

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=4186715321406995&id=112183975526837

Sungguhpun begitu, ia tetap tidak mengubah apapun kerana yang menilai adalah rakyat yang mengalami kesusahan hidup ketika ini termasuk dibuang kerja dan hilang punca pendapatan, bukannya pemimpin-pemimpin yang masih bersenang-lenang mendapat gaji penuh dan pelbagai elaun hatta tidak keluar rumah sekalipun. 

Persepsi dan tanggapan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional tetap sama walau siapapun Timbalan Perdana Menterinya, kerana selagi kerajaan tidak berupaya mengubah pendekatan mereka yang tidak berkesan, double standard dan ‘flip-flop‘, yang menyusahkan dan menimbulkan kemarahan rakyat maka selagi itulah kerajaan diistilahkan gagal. 

Adalah dengan melantik TPM mampu memberi perubahan kepada negara? 

Apapun, sekalung tahniah Datuk Seri Ismail Sabri di atas lantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang baharu.

Semoga di atas lantikan ini maka tiada lagi rakyat yang mengangkat bendera putih dan tiada lagi yang hidup bergelandangan.

Selain itu, semoga moratorium akan benar-benar membantu rakyat bukannya bank dan bantuan-bantuan lain juga dipercepatkan.

Umat Islam di negara ini juga berharap dengan lantikan ini maka harta dan aset Tabung Haji yang sudah lama terjual akan didapatkan kembali.

Serta isu pembunuhan arwah Adib akan terus dibela dan keluarganya disantuni. Tanah milik kerajaan di Raub yang diceroboh juga didapatkan kembali dan pencerobohnya dihukum sekeras-kerasnya agar menjadi iktibar di masa hadapan. 

Yang terpenting, dengan lantikan beliau ini semoga pandemik Covid-19 akan segera memulih dan rakyat tidak lagi ‘dikurung’ di rumah berbulan-bulan lamanya, sehingga ada yang tertekan dan membunuh diri. 

Perubahan inilah yang diharapkan daripada kerajaan sebenarnya. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts