Oleh Abdul Rahim Hilmi Zakariya
Kerajaan gagal bukan bermakna kerajaan ini tidak ber, guna. Atau kita mahu naikkan DAP semula. Otak tu keluarlah sikit dari politik kepartian kepada politik bernegara.
Kerajaan gagal ni teguran keras supaya kerajaan sedar dari tidur lena. Tegur lembut-lembut dahulu buat tidak tahu sahaja.
Rakyat tegur supaya penerbangan India ditutup apabila mutasi wabak baru bermula. Tidak dengar. Hujung April baru disekat. Sedangkan wabak sudah mula melarat
Rakyat tegur buat PKP seperti tahun lepas. Rakyat berikrar berkorban supaya negara sembuh semula. Tetapi kerajaan buat lockdown dan benarkan pula beribu kilang taikun beroperasi sama. Berbulan rakyat berkurung duit tidak ada. Bantuanpun lambat dan berkira. Kemudian awak semua tergamak menyuruh rakyat bersabar sahaja?
Rakyat berkorban bertahun tidak jumpa ibu bapa. Ada yang jumpapun di nisan kubur saja akhirnya. Tetapi menteri boleh keluar bagi makan haiwan di zoo, bercuti di Turki dan ziarah makan-makan dengan bekas pemimpin negara. Rakyat hendak bersabar bagaimana?
Diberi kuasa darurat, apa yang sudah diguna untuk kawal wabak? Berapa banyak hospital medan sudah dibuka? Berapa banyak petugas kesihatan swasta sudah diambil berkhidmat untuk negara? Berapa kemudahan swasta sudah diambil alih untuk kuarantin dan rawat rakyat jelata?
Ada. Tetapi itupun April baru bincang hospital swasta mana yang sanggup bagi kerjasama. Sedangkan hari ini mayat-mayat sudah terdampar di atas lantai, pesakit kritikal tiada katil, bekalan oksigen terpaksa dikongsi dan ribuan orang yang sakit terpaksa beratur beratus meter di kawasan perumahan hanya untuk tahu mereka perlu dikuarantin di mana.
Rakyat tegur kerana negara ini rakyat sayang. Kalau kerajaan mampu terima teguran maka rakyat akan bagi semula kepercayaan.
Lihat MOSTI. Rakyat kritik bila bekalan vaksin perlahan. Rakyat tegur agar proses vaksin ini perlu swasta dilibatkan. Mereka dengar.
Hari ini lebih 400 ribu dos vaksin diberikan dalam masa sehari. Ada kita dengar lagi orang kritik MOSTI?
Tetapi sebanyak manapun vaksin diberi, kalau ICU sudah kritikal, hospital sudah padat, peralatan sudah terencat maka negara ini tetap akan tenat.
Kualiti pemimpin paling utama adalah mendengar. Dengar. Biar pedih dan mengarut macamana sekalipun, dengar.
Kerana pemimpin yang berhenti mendengar, hanya akan mampu membilang hari-hari akhirnya sahaja.