KENYATAAN MEDIA KETUA PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA
29 Julai 2021 | 19 Zulhijjah 1442H
1. Wira PUTRA berasa amat dukacita membaca kenyataan media daripada Istana Negara pagi ini. Mengikuti perkembangan di Dewan Rakyat juga, kini Ahli-ahli Parlimen amat tidak berpuas hati dengan kerajaan apabila tular kenyataan media ini yang disifatkan kerajaan telah melakukan perkara yang tidak berperlembagaan.
2. Wira PUTRA melihat dari segi moralnya, kemurkaan DYMM SPB YDP Agong dalam kenyataannya menzahirkan maksud bahawa baginda amat kecewa dengan kerajaan di bawah pimpinan YAB Tan Sri Mahiaddin Yassin dan mula hilang kepercayaan apabila Menteri Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Undang-undang dan Peguam Negara yang memanipulasi dan membuat keputusan mendahului serta melangkaui bidang kuasa baginda.
3. Kegagalan ini adalah amat serius dan memudaratkan demokrasi berparlimen. Justeru Wira PUTRA menggesa agar YAB Perdana Menteri segera meletakkan jawatan dan bertanggungjawab di atas kegagalan mengurus kabinet seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
4. YAB Perdana Menteri perlu berjiwa besar selaku pemimpin yang beriman dan bertakwa. Peletakkan jawatan ini bagi memberi laluan pemimpin yang lebih berkaliber dan berwibawa mengambil alih tampuk kepimpinan negara bagi menyelesaikan masalah penularan wabak Covid-19, ekonomi dan kebajikan rakyat serta ketidakstabilan politik hari ini.
5. Kegagalan YAB Perdana Menteri segera meletakkan jawatan akan terus menaikkan amarah rakyat yang telah merasakan diri dikhianati dan dibohongi sepanjang tempoh Persidangan Khas Parlimen yang berlangsung. Letak jawatan segera atau akan mencetus huru-hara di kalangan rakyat.
Sekian.
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia