WIRA PUTRA MENJUNJUNG KASIH ATAS KETELUSAN DAN KETELITIAN TUANKU YDP AGONG

108
SHARES
347
VIEWS

KENYATAAN MEDIA KETUA PERGERAKAN WIRA PUTRA MALAYSIA

13 Ogos 2021 | 4 Muharam 1443H

1. Terkini keabsahan YAB Perdana Menteri sudahpun jelas hilang majoriti apabila 14 Ahli Parlimen UMNO secara terbuka mendedahkan bahawa mereka menarik balik sokongan terhadap PM YAB Tan Sri Mahiaddin Yassin. Malah setiap 14 Ahli Parlimen UMNO tersebut telah sertakan Akuan Bersumpah secara terang-terangan dan telah dipaparkan dalam laman Facebook UMNO Online.

Begitu juga pembangkang yang sebulat suara secara terbuka dan mengutus warkah secara rasmi menyatakan tidak menyokong YAB TSMY sebagai PM serta mendesak supaya beliau meletakkan jawatan secara terhormat.

2. Sudah terang dan jelas sokongan Ahli-ahli Parlimen terhadap PM TSMY hanya tinggal 100 Ahli Parlimen sahaja dan sekaligus hilang majoriti. Seluruh dunia sudah mengetahuinya. Malah rakyat semua peringkat juga mengetahuinya termasuk yang hilang panca indera. Kenyataan beliau sebelum ini amat yakin akan mendapat sokongan majoriti, mungkin kerana usaha untuk membeli, memujuk atau dengan apa cara sekalipun ibarat matlamat menghalalkan cara maka sebab itu dilambatkan Persidangan Parlimen sehingga 6 September 2021. Seperti ada urusan ‘jual beli’ dahulu.

Hal ini amat memalukan. Hari ini dalam Sejarah Demokrasi Berparlimen terpalit sedemikian rupa yang juga didukung oleh pimpinan yang dikatakan Kerajaan Melayu Islam. Wira PUTRA turut rasa malu dan terkesan dari kaca mata masyarakat umum termasuk masyarakat bukan Islam dan antarabangsa.

3. Wira PUTRA amat menyanjung tinggi dan merafak sembah kepada KDYMM YDP Agong sebagai Ketua Negara dan Payung Rakyat kerana begitu teliti dan telus bagi menentukan keabsahan PM TSMY dengan mengutus warkah kepada YDP Dewan Rakyat dan YDP Dewan Negara, walaupun DYMM Tuanku Agong sudahpun mengetahui jumlah Ahli-ahli Parlimen yang menolak TSMY sebagai PM. Baginda Tuanku cukup istiqamah dan tidak terburu-buru dan sungguhpun ada titah Istana yang diputar belit, DYMM Tuanku tidak segan silu bertitah perkara yang sebenarnya.

Ada titah baginda diharap dapat disambut baik oleh PM TSMY dan kerajaan, manakala ada juga titah bagi membetulkan apa yang sebenarnya hasil daripada majlis mengadap oleh Menteri Undang-undang dan Peguam Negara mengenai isu Pembatalan Ordinan Darurat.

Sesungguhnya, Wira PUTRA mewakili generasi muda amat teruja dan bangga dengan sikap dan kepimpinan DYMM YDP Agong sebagai Ulul Amri yang pasti membantu mendidik anak-anak muda menjadi rakyat yang beramanah dan telus, kerana generasi muda adalah pemimpin negara pada masa akan datang dalam berbagai sektor dan peringkat, termasuk dunia politik.

4. Kemudian tular pula warkah rasmi yang dikatakan daripada Yang Di-Pertua Speaker Dewan Rakyat memaklumkan PM telah hilang majoriti kepada YDP Agong dan YAB PM. Namun Datuk Azhar hanya menafikan surat dikeluarkan kepada PM sahaja. Kenapa tidak menafikan juga warkah yang dikirimkan kepada YDP Agong?

Jika benar, ini bermaksud ia adalah makluman rasmi dari Dewan Rakyat bagi mengesahkan perkara keabsahan TSMY sebagai PM telah hilang majoriti, yang mana ia telahpun di dalam pengetahuan Tuanku berdasarkan salinan SD yang telah dipersembahkan oleh Ahli-ahli Parlimen yang tidak menyokong termasuk Parti-parti Politik.

5. Malangnya Speaker yang berlatar belakang undang-undang dan dulu terkenal seorang yang kritis, kini menjadi lalang. Malulah kepada Baginda YDP Agong yang sedia mengutus warkah mencemar duli demi mencari kebenaran walaupun kebenaran sudah berada dalam tangan DYMM Tuanku Agong. Begitu teliti dan telusnya DYMM Tuanku Agong dalam mencari jalan penyelesaian kepada kemelut politik yang melanda negara. Baginda Tuanku tidak mahu membuat keputusan memihak tanpa meneliti bukti dan sokongan yang kukuh.

Sekiranya hal warkah dikirim ini benar, Datuk Azhar tidak sepatutnya teragak-agak atau berdalih untuk mengesahkannnya. Jagalah harga diri, lebih-lebih lagi bila berurusan dengan Tuanku YDP Agong.

Ingatlah adab dan adat Melayu dengan Rajanya. Lupakah pesanan nenek moyang kita, kerja Raja dijunjung, kerja sendiri dikelek?

6. Wira Putra ingin merujuk peristiwa Kerajaan Negeri Perak bertukar Menteri Besar dan kerajaan hanya melalui AKUAN BERSUMPAH daripada 3 ADUN. Pihak Pakatan Harapan mencabar keputusan DYMM Sultan Perak di mahkamah tetapi gagal. Ini cara bagi membukti keabsahan seseorang Ketua Kerajaan. Akuan Bersumpah atau SD adalah instrumen yang sah dari segi undang-undang sebagai dokumen untuk menentukan kesahihan serta kebenaran sesuatu perkara. Sebab itu adanya Pesuruhjaya Sumpah dalam Sistem Perundangan Negara kita

7. Justeru, Wira PUTRA menggesa Datuk Azhar untuk menafikan warkah tersebut sekiranya ia tidak dikeluarkan oleh Pejabat Yang Di-Pertua Dewan Rakyat.

Wira PUTRA juga menggesa YDP Speaker bercakap benar dan bertindak telus. Hormatilah Baginda Tuanku Agong yang merupakan Ketua Negara, Ketua Angkatan Tentera dan Payung Sekalian Rakyat. In Sha Allah berkat kebijaksanaan dan istiqamah DYMM Tuanku Agong, kecelaruan politik negara dapat diurus dan diselesaikan secepat mungkin.

Jati diri Wira PUTRA adalah taat setia kepada Institusi Raja-Raja Melayu dan teguh menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara

DAULAT TUANKU.

Sekian.

Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts