PANDUAN DAN TIPS BAGI MENARIK MINAT KANAK-KANAK UNTUK BELAJAR

2k
SHARES
6.4k
VIEWS

Oleh Dr. Intan Farahana Binti Abdul Rani

Saya sering kali mendengar pelbagai keluhan daripada pihak guru yang risau dengan tahap motivasi dan minat kanak-kanak untuk belajar yang semakin menjadi isu di waktu Covid-19 terus-menerus menyerang negara kita.

Persoalannya, bagaimana guru boleh menyediakan proses pembelajaran untuk kanak-kanak dalam tempoh Fasa Kawalan Pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara optimum?

Proses pengajaran dan pembelajaran yang ‘sihat’ adalah penting dan memerlukan penekanan terutamanya semasa musim PKP ini sebagai langkah memperkasakan pendidikan bagi kanak-kanak yang  berada di rumah bersama keluarga.

Arus pendidikan telah mengalami perubahan yang sangat pesat seiring dengan cabaran utama pada masa pandemik menyerang dunia. Maka, seiring dengan perubahan ini, sewajarnya kaedah pengajaran juga harus disesuaikan dengan keperluan semasa. Cabaran ini juga termasuklah apabila mengendalikan kanak-kanak dalam sesi pembelajaran yang berlaku secara atas talian.

Terdapat beberapa kaedah dan tips yang boleh digunakan untuk menarik minat kanak-kanak agar mereka dapat belajar dengan baik.

1. Fahami gaya pembelajaran kanak-kanak

Hal ini merupakan faktor yang penting untuk membantu kanak-kanak agar mereka dapat menerima apa yang disampaikan kepada mereka. 

Terdapat tiga jenis gaya pembelajaran yang utama iaitu visual, auditori dan kinestetik. Walaupun setiap individu mempunyai ketiga-tiga jenis gaya ini namun seseorang itu mempunyai satu gaya pembelajaran yang dominan dalam diri mereka. Setiap gaya pembelajaran ini mempunyai pendekatan yang berbeza.

Maka guru perlu mengenali gaya pembelajaran setiap kanak-kanak di dalam kelasnya dan menyesuaikan dengan pendekatan yang hendak digunakan.

2. Penggunaan pelbagai kaedah yang berbeza

Hakikatnya daya fokus manusia kian berkurang dengan pelbagai cabaran dan gangguan di era digital ini.

Hal ini juga menjadi antara faktor yang perlu diambil kira kerana akan menyebabkan kanak-kanak cepat bosan dengan apa yang dipelajari terutamanya ketika pembelajaran berlaku atas talian.

Mereka sewajarnya dididik dengan menggunakan pelbagai medium atas talian yang berbeza. Jika sesi pembelajaran mempunyai pelbagai kaedah yang berbeza, pastinya kanak-kanak bakal teruja dan tidak sempat merasa bosan terutamaya dengan sesuatu medium yang baru diperkenalkan sebagai bahan bantu mengajar.

Medium tersebut mestilah bersifat kreatif dan ceria bagi menarik minat kanak-kanak. Selain itu, masa yang diperuntukkan untuk sesuatu aktiviti tidak perlu terlalu lama. Sebaiknya diselangkan dengan masa rehat untuk mengelakkan mereka hilang tumpuan.

Guru boleh mewujudkan suasana yang berbeza dengan menggunakan aplikasi media pembelajaran dalam talian yang boleh digunakan dengan mudah (Padlet, Google Sites, Whiteboard.Chat, Google Jamboard, Wizer.me, Blend Space) selain dari kepelbagaian aplikasi bagi pembinaan slaid yang menarik bagi tujuan pengajaran (Canva, Emaze, Slidesgo, Slide Mania, Prezi, Powtoon, Google Slides). Selain itu, guru juga boleh menggunakan aktiviti atau permainan dalam talian (Kahoot, Quizlet, Quizziz, Mentimeter, Edpuzzle, Word Wall, Plickers).

3. Penerangan tentang kepentingan maklumat yang disampaikan

Ada kemungkinan juga kanak-kanak berasa tidak minat dengan apa yang mereka pelajari adalah kerana mereka tidak mengetahui akan kepentingan atau kegunaan maklumat yang mereka pelajari. Hakikatnya, kanak-kanak mungkin telah terbiasa dengan rutin belajar yang berlaku secara dalam talian seperti mereka melalui rutin-rutin yang lain. Guru yang baik adalah guru yang mampu menjelaskan kepada kanak-kanaknya tentang aspek praktikaliti agar para kanak-kanak dapat mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari.

Contohnya, jika kanak-kanak mengetahui dengan jelas kepentingan pengambilan makanan yang berkhasiat adalah penting untuk mengekalkan tahap kesihatan serta bertindak sebagai langkah mempertahankan sistem imunisasi badan pasti kanak-kanak lebih berminat dan bersemangat untuk mengetahui ilmu tersebut. Oleh itu, keadaaan di mana kanak-kanak seakan ‘terpaksa’ belajar kerana disuruh oleh ibu bapa mereka tidak akan berlaku.

4. Strategi dengan melibatkan pengalaman sebenar

Guru juga boleh menerangkan isi pengajaran yang disampaikan kepada kanak-kanak dengan menghubung kaitkan maklumat dengan pengalaman yang sebenar. Pendedahan ini akan lebih membantu kanak-kanak untuk memahami berbanding dengan kanak-kanak yang hanya didedahkan dengan pembelajaran secara teoritikal sahaja. Strategi ini boleh diaplikasikan terutamanya untuk generasi kini yang membesarkan dalam era semuanya di hujung jari.

Sebagai contoh untuk belajar tentang guruan pemakanan, sekiranya guru boleh meminta kanak-kanak menyediakan piramid makanan berdasarkan apa yang ada di dapur rumah masing-masing pastinya akan lebih mudah difahami, diingati dan berkesan berbanding jika guru hanya menyampaikan secara lisan. Suasana pembelajaran menjadi lebih menarik jika guru berkongsi tentang guruan pemakanan sambil mendidik tentang setiap aras piramid makanan secara hands-on.

5. Mengekalkan pengetahuan atau kemahiran yang diajar. 

Repetition is the mother of skill. Bagi tujuan pengekalan, guru boleh mengulang isi pengajaran dengan kaedah yang berbeza. Hal ini dapat membantu kanak-kanak untuk memahami sesuatu topik dengan efektif.

Antara strategi yang boleh digunakan adalah dengan mengulangi isi pengajaran secara lisan kemudian diulangi lagi dengan menggunakan medium seperti aktiviti, kuiz, permainan atau peta minda yang menarik.

Selain itu, proses recap juga boleh berlaku dengan membuat refleksi dengan memanggil nama kanak-kanak untuk membuat rumusan isi pembelajaran ketika kelas berlaku secara dalam talian.

6. Memberikan dorongan kepada kanak-kanak

Jika pembelajaran disertai dengan dorongan serta ganjaran yang mampu menarik minat kanak-kanak, hal ini pastinya mengujakan. Dorongan adalah seperti pujian atau memberikan reward yang dapat membuatkan kanak-kanak berasa gembira. Hal ini juga dapat merangsang mereka untuk terus bersemangat dalam belajar.

Reward chart boleh digunakan sebagai dorongan selain puji-pujian. Tujuan dorongan adalah sebagai strategi bagi memberikan semangat dan dilaksanakan mengikut kesesuaian suasana.

(Penulis merupakan pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris – UPSI)

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts