NUKILAN BUAT ZUL
Innalillahiwainnailaihirojiun.
Pilu hati saya apabila menerima khabar pemergian seorang yang boleh diklasifikasikan sebagai sahabat karib, rakan yang setia luar biasa walaupun sehingga Allahyarham Norlizaizul bin Ismail (Zul) diuji dengan penyakit strok yang melumpuhkan sebelah badannya 11 bulan lalu, beliau tidak henti bertanya khabar dan menyokong perjuangan yang saya bawa.
Sepanjang perkenalan dan bersama dalam perjuangan Perkasa 13 tahun lalu sehingga 2 tahun penubuhan parti PUTRA, beliau terus istiqamah dan setia untuk bersama saya dan para sahabat walaupun saya bukan lagi bergelar Ahli Parlimen. Beliau amat komited tanpa mengira waktu dan masa membantu pelbagai sudut sama ada pada organisasi mahupun pada saya secara peribadi malah beliaulah menemani saya siang malam serta menjelajah seluruh negara dan adakala tidur dalam kereta, tidak pulang rumah 2-3 hari dalam seminggu atau 4-5 pagi baru tiba di rumahnya di Mambau, Seremban.
Walaupun lokasi kediamannya jauh, setiap hari arwah Zul akan memandu ke Kuala Lumpur dan setiap kali hendak outstation, arwah boleh tiba rumah saya seawal jam 4-5 pagi. Tanpa diminta dan disuruh tanpa mengira hari. Bantuan kewangan diberi ikut keadaan dan tidak menentu. Jauh dari munasabah akal jika diikut waktu, masa dan kerja-kerja yang beliau laksana dan diarah. Tidak pernah merungut, berleter dan bercakap buruk tentang orang di belakang sepanjang bersama saya.
Sepanjang tempoh sakit 11 bulan, arwah Zul selalu WhatsApp saya supaya ambilnya di rumah kerana mahu ke pejabat PUTRA atau mahu ikut serta program yang saya pergi di mana sahaja. Allahuakbar, betapa komited arwah Zul dengan kerjanya walaupun keadaan fizikalnya tidak lagi mengizinkannya. Letih saya nasihatkannya supaya berehat di rumah, tunggu sehingga pulih dari lumpuh dan tunggu selepas dimasukkan semula sebelah lagi tempurung kepalanya yang dibedah disebabkan darah beku di waktu serangan strok dahulu.
Luluh hati saya hingga tidak tertahan menitiskan air mata apabila mengenangkan sebelum pemergiannya, 3 hari berturut-turut menghubungi saya dan semua rakan-rakan melalui WhatsApp dan Messenger mohon maaf dan halalkan makan minumnya. Sejak 4 pagi 5 September 2021 boleh dikatakan setiap jam arwah Zul mesej mengadu makin sakit, akan mati dan berulang kali mohon maaf kepada saya. Sempat saya memberi motivasi dan mendoakan bagi menguatkan semangatnya kembali bahawa Zul akan segera sembuh dan boleh kembali ke pejabat seperti biasa selepas sihat nanti. Dalam masa genting itu juga arwah Zul tidak lupa sebut nama kawan-kawan dan minta saya sampaikan salam daripadanya.
Namun, seperti mengetahui ajalnya bakal tiba, pada 1 September lalu beliau memaklumkan untuk pulang juga ke kampung bertemu kedua orang tuanya selepas 8 bulan tidak dapat berjumpa akibat kekangan kesihatan dan PKP yang berlanjutan. Setelah hajatnya tercapai dan dipermudahkan, arwah Zul meninggal dunia di kampung halaman dan dekat dengan ibu dan bapanya.
Setiba saya di Teluk Intan saya terus ke Hospital Teluk Intan tetapi masih tidak dapat melihat jenazah kemudian terus ke kampung kediaman keluarga arwah Zul dan tiba sebelum Maghrib. Sempat bersembang dengan bapa dan ibu arwah Zul, mereka menceritakan pada pagi semalam arwah Zul mengadu sakit dada dan bapanya lurut badannya dan Alhamdulillah segar semula. Arwah Zul bagitahu dia akan mati dan minta ampun dan maaf dengan ibunya. Arwah juga sempat berpesan meminta ibu dan bapanya untuk jaga isterinya Nani dan anak angkatnya, Ibrahim selepas arwah meninggal dunia nanti.
Semua pengetahuan milik Allah dan diilham pada arwah Zul, pada pagi itu juga arwah Zul meminta ibunya untuk membersihkan dirinya. Arwah minta ibunya potongkan kuku dan mandikannya kemudian sempat makan sedikit buat kali yang terakhir dan sepanjang masa tidak henti-henti mohon maaf. Pada jam 11 pagi, arwah tiba-tiba diserang sawan. Bapanya terus menghubungi ambulan dan tiba di hospital sekitar jam 12 lebih. Dalam waktu arwah bertarung nyawa, pada jam 2.30 petang keluarganya dihubungi dan disahkan Allahyarham telah kembali ke rahmatullah.
Hilanglah satu permata yang jauh di lubuk hati saya bukan sahaja sebagai seorang sahabat yang paling setia malah boleh diibarat anak sendiri yang susah senang perjalanan dalam perjuangan yang saya lalui arwah Zul tetap kuat menyokong dan istiqamah. Lebih memilukan hati saya sehingga menitis air mata, bila arwah Zul berkata dia tetap berdoa semoga PUTRA akan berjaya dan mahu pastikan saya menang pilihan raya yang akan datang nanti. Aduuuh… Betul-betul menyayat hati dan inilah kesetiaan seorang kawan yang menyumbang jiwa raga tanpa mengira waktu serta tenaga dan amatlah saya hargai.
Hari ini jenazah allahyarham Zul akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Attaduri, Kampung Melayu Langkap, Perak tidak jauh dari kediaman ibu dan bapanya. Semoga tenang di sana dan dipermudahkan segala urusannya hari ini.
Saya kehilangan sahabat setia yang amat saya sayangi dunia akhirat dan Allah jua yang Maha Mengetahui kerana menjemputnya kembali dalam usia baru 46 tahun yang masih muda.
Allah SWT lebih sayangkan Zul. Semoga roh Allahyarham Norlizaizul bin Ismail dicucuri rahmat, diampun segala dosanya, dipermudahkan urusannya di alam barzakh, diluaskan pintu syurga dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Allahummaghfirlahu warhamhu wa ‘afihi wa’fuanhu“
Al-Fatihah (dengan bacaan).
Ingatan ikhlas dari Tok Him
6 September 2021