Tahun 2020 dan 2021 merupakan tahun perubahan kepada persekitaran pekerjaan. Oleh kerana COVID-19 yang melanda dunia dan menjadi isu yang dihadapi oleh semua peringkat di seluruh dunia dan telah menjejaskan ramai pekerja mewujudkan norma persekitaraan baru iaitu bekerja daripada rumah. Ini merupakan cabaran terbesar bagi ramai pekerja di musim pandemik. Pelaksanaan PKP 3.0 menyebabkan kebanyakaan golongan terjejas daripada segi mental ataupun fizikal. Jika diambil kira keseluruhan rakyat Malaysia telah berada di rumah lebih dari 400 hari. Menurut Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS), panggilan yang terbanyak adalah panggilan mengenai kesihatan mental yang terjejas akibat pandemik.
Terlalu lama berada di dalam rumah boleh melemahkan kita secara fizikal dan emosi, sehingga kita tidak lagi rasa seperti diri sendiri. Dengan tekanan bekerja dari rumah dan untuk seimbangkan kerja-kerja rumah, ia sangat melelahkan bagi sesetengah orang. Walaubagaimanapun, kita boleh mengawal kesihatan mental kita agar tidak terjejas dengan membuat beberapa aktiviti yang menyihatkan kesihatan mental kita.
Selain menjaga keseimbangan kerja dan kerja rumah, kita perlu seimbangkan waktu tidur yang berkualiti. Kurang tidur mempunyai kesan besar pada fungsi badan dan kognitif anda. Ini melemahkan sistem imun anda dan menimbulkan kegelisahan. Selain itu, kajian menunjukkan bahawa otak yang sihat berkaitan dengan tabiat tidur yang sihat. Pastikan dapat tidur sekurang-kurangnya 7 jam setiap malam. Lihat juga corak pemakanan dan jaga makan malam dengan mengambil makanan ringan dan elakkan kafein pada waktu petang dan malam.
Kegelisahan atau anxiety adalah salah satu daripada sakit berkaitan kesihatan mental. Adakala bekerja dari rumah (BDR) secara terus-menerus akan menyebabkan penghidratan kepada kesihatan mental kita. Penghidratan air dalam badan juga memainkan peranan besar dalam bagaimana kita merasa mental kita terlalu penat. Jadi perlu kekalkan minum air kosong seperti yang disyorkan iaitu 8 gelas sehari. Jangan lupa sayur dan buah untuk makanan kepada mental kita.
Bersenam juga adalah salah satu cara untuk mengatasi tekanan apabila kita BDR. Memilih aktiviti fizikial yang betul adalah kunci untuk kembalikan kesihatan mental kita di tahap normal. Bersenam juga boleh dilakukan di dalam rumah tanpa perlu kita ke taman atau tempat riadah yang akan terdedah kepada penularan Covid-19. Mempelajari sesuatu yang baru akan melupakan fikiran yang mengganggu dan ia akan meningkatkan serotonin dan kita merasa lebih baik dan bersedia untuk mengatasi keesokan harinya.
Berehat dan meditasi adalah salah satu cara untuk mengurangkan tekanan kesihatan mental. Setiap orang mempunyai mekanisme relaksasi mereka sendiri. Dan kebanyakan bersetuju bahawa berehat dan meditasi adalah satu cara mengelakkan terjadinya tekanan terhadap kesihatan mental. Refleksi daripada kita bermeditasi akan mengurangkan tekanan, mengawal kegelisahan, meningkatkan kesedaran diri dan bahkan mempertingkatkan lagi fokus apabila kita terlalu lama di rumah.
Kesihatan mental bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan dan tidak perlu ada rasa malu untuk melihat diri kita sendiri. Ia boleh dibendung dan diatasi dengan pelbagai cara. Semoga era pandemik ini akan berlalu dan kita boleh mulakan kehidupan seperti biasa.
Kekal selamat!
Oleh Ts Dr Mazidah Mat Rejab
(Penulis merupakan pensyarah di Fakulti Sains Komputer & Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam bidang kejuruteraan perisian dan pengurusan projek)