Di sebalik kesukaran rakyat berdepan dengan pelbagai kemelut sejak sekian lama seperti isu pandemik Covid-19 dan booster yang bagaikan tiada kesudahan, wang KWSP yang masih tidak dibenarkan keluar, masalah musibah banjir yang masih berlaku di sesetengah tempat, isu kenaikan harga barang yang dijanjikan turun oleh Perdana Menteri tetapi semakin naik, secara tiba-tiba rakyat dikejutkan dengan isu RFID dan kenaikan tarif elektrik. Mujurlah ia ditangguhkan tetapi ini memberi gambaran bahawa kerajaan tidak peka dengan kesukaran rakyatnya.
Polemik yang tidak sepatutnya wujud ketika rakyat masih berdepan dengan pandemik Covid-19 dan baru sahaja pulih daripada musibah banjir sering dihidangkan dengan pengumuman yang semakin menyusahkan rakyat. Rakyat dan negara perlu pulih sepenuhnya terlebih dahulu sebelum disusah-susahkan dengan perkara lain.
Jika alasannya kewangan semakin menyusut dan negara perlu menjana pendapatan baharu, maka carilah alternatif lain dan bukannya diperolehi dengan menyusahkan rakyat. Sudahlah harga barangan masih tidak dapat ditangani baik di sebalik ‘janji palsu’ Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bahawa ia akan turun pada tahun 2022, rakyat semakin ‘disenakkan’ dengan penambahan belanja yang perlu dikeluarkan.
Kerajaan sepatutnya berusaha untuk meringankan beban rakyat dan menghentikan sebarang bentuk penambahan belanja kepada mereka. Sebarang dasar dan pelaksanaan yang menambah kesukaran rakyat perlu ditangguhkan ke suatu tempoh yang lebih sesuai iaitu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Biarlah kerajaan dan Perdana Menteri baharu selepas itu yang melaksanakannya. Janganlah dipeningkan kepala bagi memikirkan masalah yang tidak wujudpun sebelum ini, apatah lagi jika ia membebankan rakyat.
Jika kerajaan tidak tahu menjaga kebajikan dan kemaslahatan rakyat, bubarkan sahaja Parlimen dan biarlah rakyat memilih kerajaan dan pemimpin yang mereka suka. Jika mereka masih mahu Perikatan Nasional memerintah hatta Pakatan Harapan sekalipun, maka mereka tentu akan dipilih semula. Usah takut dengan bayangan kekalahan yang menghantui sejak tamatnya PRN Melaka dan PRN Sarawak.
Cerdiklah sedikit apabila menjadi kerajaan. Rakyat ingatkan selepas pemerintahan cacamarba kerajaan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, semua perkara yang tidak masuk akal ini akan berakhir. Rupa-rupanya ia masih berterusan dan seolah-olah tanpa dapat ditahan-tahan.
Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya memainkan peranan untuk mengelakkan kerajaan Keluarga Malaysianya dipandang sama seperti kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Yassin atau Tun Mahathir yang dibenci rakyat. Janganlah diulangi kesilapan demi kesilapan dan kebodohan demi kebodohan serta mencipta pelbagai masalah yang tentu sahaja boleh dielakkan.
Perdana Menteri dan kerajaan tidak boleh dilihat lemah dan tidak boleh dilihat seolah-olah dikawal oleh parti ataupun individu lain, walaupun wujud perasaan terhutang budi apabila secara tiba-tiba mendapat ‘durian runtuh’ menjadi Perdana Menteri ‘bidan terjun’. Perdana Menteri yang dilihat mengikut telunjuk seperti ini akan hanya menambah kemarahan rakyat.
Lihat sahaja PRN Melaka dan PRN Sarawak menjadi bukti bagaimana rakyat membalas dendam terhadap Mahiaddin dan Perikatan Nasional serta Pakatan Harapan. Malah PAS sendiri turut terpalit sama apabila jelas dilihat menentang parti Melayu Islam iaitu UMNO, di sebalik laungan penyatuan ummahnya. Mujurlah UMNO dan Barisan Nasional mampu menewaskan kedua-dua gabungan PN dan PH di dua PRN tersebut.
Selepas ini rakyat Johor pula akan membalas dendam terhadap parti yang mengkhianati mandat rakyat. Sama ada yang khianat parti, khianat janji ataupun khianat muafakat, semuanya akan dibenamkan rakyat. Mahiaddin sendiri daripada awal sudah ‘koyak’ teruk dan menarik diri daripada bertanding.
Lebih malang, Bersatu mengajak semua pihak termasuk DAP-PH untuk berganding bahu bersama Perikatan Nasional menewaskan UMNO-Barisan Nasional. Adakah ia direstui oleh PAS atau mungkin inilah maksud “penyatuan ummah PAS” iaitu membantu Bersatu menewaskan UMNO-Barisan Nasional dengan dibantu oleh DAP-Pakatan Harapan, hanya PAS sahaja yang tahu.
Selain itu, rakyat juga ternanti-nanti isu vaksin dan booster diselesaikan. Dikhuatiri dua isu ini bukan sahaja akan membuatkan Khairy Jamaluddin kehilangan kerusi Parlimennya di Rembau, malah silap haribulan Ismail Sabri sendiri akan dihukum oleh rakyat yang sedang tertekan dan marah.
Kesimpulannya, selaku Perdana Menteri, Ismail Sabri perlu mengurangkan tekanan ke atas rakyatnya sendiri dan cukup-cukuplah mendengar nasihat individu lain yang mempunyai agenda peribadi untuk diri dan survival partinya sendiri. Rakyat sudah cukup tertekan dengan pandemik serta musibah yang masih belum berakhir maka janganlah ditambah bebanan mereka. Jika berdegil juga dan terus menekan rakyat, maka nantikan sahaja ‘amukan’ kami di PRU-15 kelak.