“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya“, perumpamaan yang tepat boleh dikatakan kepada Menteri Kewangan Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang pernah berkata akan meletakkan jawatan jika kerajaan tetap membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara ‘one off‘.
Demi mempertahan tindakan untuk tidak membenarkan pengeluaran KWSP, Zafrul sebelum ini turut memberikan penjelasan namun sukar diterima kerana alasannya dilihat membelakangkan kepentingan dan tidak menyelesaikan masalah rakyat.
Selaku Menteri Kewangan, Zafrul sepatutnya cakna dan peka dengan apa yang berlaku terhadap rakyat, mendengar keluhan mereka dan mencari jalan keluar bagi membantu rakyat. Jika tidak mampu meringankan beban dan membantu kewangan rakyat dengan pemberian bantuan tunai lain, malah sanggup menghalang pengeluaran wang sendiri daripada KWSP, maka Zafrul jangan berharap akan mempunyai peluang bertanding di Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.
Jika beginilah tindakan beliau yang hanya mahu ‘menekan’ rakyat, tidak mungkin ada rakyat yang mahu mengundi beliau. Jika Menteri-menteri Perikatan Nasional sendiri takutkan hayat politik masing-masing berakhir di PRU-15, apatah lagi Zafrul yang belum menyertai Perikatan Nasional tetapi bernafsu besar ingin menjadi calon Ahli Parlimen.
Justeru tidak perlu beliau bersusah-payah untuk melobi kerusi dan sebagainya, rakyat tidakpun ‘rela’ memberi undi kepada individu yang telah menyusahkan mereka hatta untuk mengeluarkan wang simpanan sendiri di waktu terdesak.
Apapun, ketika ini rakyat tertunggu-tunggu sama ada Zafrul benar-benar akan mengotakan kata-katanya sendiri untuk meletakkan jawatan atau akan mencari dalih baharu untuk kekal memegang jawatan Menteri Kewangan.