MAKAN PERCUMA & JUALAN HARGA KILANG SEMPENA HARI TERBUKA LENGQUAS

86
SHARES
276
VIEWS

KUALA LUMPUR, 25 Mac 2022 – KOPETRO Food Sdn. Bhd., anak syarikat kepada Koperasi Kakitangan PETRONAS Berhad (KOPETRO) telah menganjurkan program Hari Terbuka LengQuas di Dapur Setempat KOPETRO di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor hari ini. Program yang dirasmikan oleh Pengerusi KOPETRO Food Sdn. Bhd., Tuan Haji Nik Kamarulzaman bin Yusof telah dihadiri wakil-wakil koperasi, pengedar-pengedar dan ejen-ejen jualan, wartawan media cetak dan media elektronik, blogger, influencer dan peniaga-peniaga sekitar kawasan kejiranan Dapur Setempat KOPETRO. Turut sama hadir memberikan sokongan terhadap program ini adalah wakil-wakil daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Menurut Tuan Haji Nik Kamarulzaman bin Yusof, Hari Terbuka LengQuas dianjurkan bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat umum untuk melawat Dapur Setempat KOPETRO sambil mencuba produk-produk yang dihasilkan di Dapur Setempat KOPETRO, terutamanya produk berjenama LengQuas.

Tuan Haji Nik Kamarulzaman memberitahu seramai 1,000 pengunjung dianggarkan akan menghadiri Hari Terbuka LengQuas yang berlangsung pada 25 dan 26 Mac 2022. Selain menikmati pelbagai juadah yang disediakan dan melawat sekitar Dapur Setempat KOPETRO, pengunjung-pengunjung juga berpeluang untuk membeli produk LengQuas pada harga pakej RM30 untuk 5 produk. 

Tambah Tuan Haji Nik Kamarulzaman, bagi orang ramai yang berminat untuk menjadi ejen jualan LengQuas, pendaftaran menjadi ejen dibuka sepanjang dua hari program berlangsung. Menurut beliau, pihaknya akan memberikan penerangan terperinci mengenai produk dan faedah-faedah menjadi ejen jualan LengQuas. Beliau turut memaklumkan bahawa KOPETRO juga ingin membuka peluang perniagaan kepada pengusaha industri kecil dan sederhana untuk bekerjasama dengan KOPETRO melalui fasiliti perkhidmatan pengeluaran makanan yang ditawarkan.

Mula dipasarkan sejak tahun 2019, sebanyak 5 menu baharu LengQuas telah diperkenalkan kepada jemputan hari ini. Dikenali sebagai sebuah jenama yang menawarkan juadah tempatan berasaskan resipi turun temurun, LengQuas menambah satu lagi menu baharu iaitu Ayam Cili Padi kepada seleksi menu sedia ada. Antara menu-menu terdahulu yang mendapat sambutan hangat adalah Daging Masak Hitam, Daging Dendeng, Ayam Percik dan Paru Goreng Berlada.

4 lagi menu yang telah diperkenalkan di Hari Terbuka LengQuas adalah menu antarabangsa iaitu Puff Daging, Ikan Merah Kukus, Ayam Pedas Korea dan juga Daging Perap Barbeku, seiring dengan matlamat LengQuas untuk memasuki pasaran antarabangsa tidak lama lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Encik Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, “Hasrat LengQuas untuk memecah pasaran ke luar negara tergendala tahun lalu apabila keadaan  ekonomi tidak menentu akibat pandemik Covid-19. Namun, kami amat optimis dengan terhasilnya menu baharu daripada LengQuas ini, impian ini semakin hampir menjadi kenyataan”.

Mempunyai hampir 800 ejen jualan di seluruh negara yang terdiri daripada kafe-kafe, stesen-stesen minyak, kedai-kedai serbaneka dan pasaraya-pasaraya ternama seperti ST Rosyam Mart. Encik Ahmad Shakir mensasarkan peningkatan ejen jualan akan meningkat sehingga 1,500 bagi tahun 2022. 

“Dengan kapasiti pengeluaran semasa sebanyak 32,000 bungkusan makanan atau 7 tan sebulan, kami yakin dengan adanya pasaran luar negara, Dapur Setempat KOPETRO bakal meningkatkan pengeluaran sehingga 1 juta bungkusan makanan atau 200 tan setahun,“ ujar Encik Ahmad Shakir.

Jenama LengQuas ini adalah jenama pertama keluaran koperasi yang telah berjaya menerima anugerah The BrandLaureate e-Branding Awards 2020 bagi kategori makanan dan minuman produk sejuk beku. Selain diiktiraf dengan sijil HACCP (Hazard Analysis and Critical Control Points) dan GMP (Good Manufacturing Practice) daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia, produk LengQuas turut mempunyai pensijilan Halal, MESTI dan Buatan Malaysia.

Turut memeriahkan Hari Terbuka LengQuas adalah kehadiran 40 orang anak-anak yatim dari Pertubuhan Pendidikan Anak-anak Yatim Selangor atau lebih kenali sebagai Rumah Bakti Dato Haron. KOPETRO telah mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM2,000 kepada mereka sebagai persiapan untuk menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Sila klik pautan di bawah untuk gambar-gambar acara pembukaan Hari Terbuka LengQuas @ Dapur Setempat KOPETRO  https://bit. /3IFC7qX

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts