1 Ramadan merupakan hari pertama berpuasa bagi umat Islam di Malaysia dan juga seluruh dunia. Ada yang bermula hari ini iaitu Ahad 3 April seperti di Malaysia dan ada negara yang awal ataupun lewat, merujuk kepada anak bulan kelihatan dan ketetapan ulama di negara masing-masing.
Bermulalah amaran dan juga peringatan sama ada di kumpulan WhatsApp, Telegram, laman Facebook dan pelbagai lagi yang mengingatkan sesama sendiri agar memperbanyakkan ibadat dan amalan di bulan yang mulia ini. Ada juga yang memperingatkan agar hentikan pertelagahan, adu domba, provokasi dan lain-lain yang boleh mengundang dosa namun hakikatnya di bulan lain juga umat Islam tidak boleh membuat dosa, bukan hanya di bulan Ramadan.
Apapun, tarbiah di bulan Ramadan ini perlu diteruskan di bulan-bulan seterusnya. Jadikan amalan melebihkan ibadat dan amalan-amalan sunnah lain di bulan ini terus dilakukan dengan istiqamah. Itulah maksud tarbiah di bulan Ramadan yang seumpama ‘madrasah’ bagi umat Islam di seluruh dunia.
Jika di bulan Ramadan, muslimatnya malu-malu dan menutup aurat maka teruskan di bulan lain. Jika bapa dan anak ke masjid menunaikan solat berjemaah dan solat terawih di bulan Ramadan maka teruskanlah berjemaah apabila tamat Ramadan kelak.
Alangkah ruginya jika setahun menghilangkan diri tidak ke masjid dan hanya muncul setiap kali tibanya Ramadan. Amalan agama wajib dilakukan mengikut cara baginda Nabi SAW dan para Sahabat R.Anhum, bukannya dengan cara budaya ataupun ikut akal dan logik sendiri.
In Sha Allah semoga Allah kurniakan hidayat ke seluruh alam agar hamba-hambaNYA dapat menjalankan usaha dakwah serta mampu menunaikan perintah dan meninggalkan laranganNYA dengan cara baginda Nabi SAW.
Selamat berpuasa diucapkan buat semua.