Sungguhpun media melaporkan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke Majlis Istiadat Pemakaman baginda Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham sebelum dimakamkan di Westminster Abbey dengan menaiki bas bersama Raja-Raja dan Ratu-Ratu negara asing lain, termasuk Raja Philippe dan Ratu Mathilde (Belgium), Raja Felipe dan Ratu Letizia (Sepanyol), Raja Carl XVI Gustaf dan Ratu Silvia (Sweden), Raja Abdullah dan Ratu Rania (Jordan) serta Raja Belanda Willem-Alexander dan Ratu Maxima, namun penggunaan ayat “lesser world leaders” atau ketua negara kelas lebih rendah amatlah melampau.
Walaupun akhbar melaporkan bahawa Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah juga berkenan mencemar duli menaiki bas istimewa yang telah disediakan oleh Kerajaan United Kingdom bagi melancarkan pergerakan ke majlis istiadat tersebut, ia tetap tidak boleh dimaafkan.
Berbanding Joe Biden yang hanya menjadi Presiden apabila menang dengan cara pilihan raya, Raja-Raja dan Permaisuri-permaisuri yang lain tidakpun menaiki takhta mengikut sistem penggal seperti Presiden Amerika Syarikat, tetapi kekal bersemayam walau Presiden atau Perdana Menterinya silih berganti.
Seperti mendiang Ratu Elizabeth II sendiri, sepanjang pemerintahannya sudah 15 Perdana Menteri berkhidmat di bawahnya bermula dengan Winston Churchill dan berakhir dengan Liz Truss, namun baginda tetap di singgahsananya. Begitu juga YDP Agong dan Raja-Raja serta Permaisuri-permaisuri lainnya, mereka kekal menjadi Raja sehinggalah ke akhir hayat dan diganti dengan salah seorang warisnya.
Justeru sangat tidak wajar baginda-baginda Raja dan Permisuri dihina dan direndahkan sedemikian rupa, seolah-olah Joe Biden dan Amerika Syarikat sangatlah tinggi dan ‘mulia’ kedudukannya berbanding yang lain, sedangkan belum tentu beliau mampu mempertahan kedudukannya di Pilihan Raya Presiden kelak.
Isunya bukan mengenai menaiki bas, tetapi media barat menggelarnya sebagai “lesser world leaders” itu sangat menghina. Seperti sindiran media India yang menjelaskan bahawa barat kini mengamalkan ‘sistem kasta’ apabila Joe Biden diberi ‘penghormatan’ menggunakan kereta limousine sendiri dikenali sebagai ‘The Beast‘ dan ketua negara lain pula menaiki bas sahaja ke majlis istiadat pemakaman tersebut.
Sungguhpun mereka telah memadamkannya namun parutnya masih ada dan permohonan maaf juga sehingga kini masih tidak dilakukan – seperti sengaja mahu mencetuskan kebencian dan meninggikan ‘white supremecy‘ Amerika Syarikat. Kononnya barat bencikan Nazi tetapi sikap Nazi-lah yang mereka amalkan. Benar-benar hipokrit.