Bukan sekali malah berkali-kali Rafizi Ramli membuat fitnah dan menipu. Malah beliau yang kononnya berkata sudah tidak mahu berpolitik dan menumpukan kepada kajian data, rupa-rupanya perkara itupun antara penipuannya juga. Formula penipuan dan fitnah seolah-olah sudah sebati dengan Rafizi dan digunakannya berkali-kali. Malah ia amat ‘mujarab’ ke atas pengundi-pengundi tegar Pakatan Harapan yang menjadikan fitnah dan penipuan sebagai ‘makanan’ harian mereka.
Malang sekali Pakatan Harapan mendapat seorang pemimpin politik seperti Rafizi yang sebelum ini telahpun dimalukan oleh seteru politiknya dalam PKR iaitu Dato Sri Mohd Azmin Ali, apabila kalah merebutkan jawatan Timbalan Presiden. Namun hayat politik Rafizi kembali cerah apabila Azmin keluar parti di mana jika beliau masih di tempatnya ketika ini tentu Rafizi akan kalah sekali lagi dalam pemilihan PKR kerana Azmin lebih disukai oleh akar umbi.
Sedangkan politik ini sewajarnya digunakan sebaik mungkin untuk memperjuangkan perkara terkait dengan kehidupan rakyat dan bukannya dijadikan platform untuk menyebarkan fitnah. Apabila dibawa ke mahkamah, sama ada memohon maaf atau mengaku hanya bergurau, kes Rafizi turut digugurkan apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan. Ini tindakan bacul bukannya anak jantan kerana mereka tidak beranipun mendepani pendakwaan, walaupun asyik berlagak suci di depan penyokong-penyokong tegar.
Oleh kerana itulah Rafizi cuba membuat ‘come back‘ dan berharap rakyat percaya lagi dengan pelbagai fitnahnya kali ini, sepertimana penyokong-penyokong tegar mereka ditipu berkali-kali sebelum ini. Pengundi-pengundi muda mungkin mudah dikelirukan Rafizi kerana secara semula jadi, sukar kerajaan’ tua’ seperti UMNO-Barisan Nasional mengekang persepsi rasuah dan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan mereka sejak sekian lama sebelum ini.
Bagi pengundi-pengundi muda yang mesra media sosial, mereka lebih mudah mempercayai Pakatan Harapan berbanding Barisan Nasional kerana selama ini acap kali dihadapkan dengan pelbagai fitnah dan penipuan sehingga sukar membezakan antara auta dan fakta. Ini membuktikan fahaman politik mereka ialah “politik kepartian” dan bukannya “politik kenegaraan”.
Justeru fahaman politik anak muda hari ini amatlah membimbangkan kerana mereka lebih percaya ‘siapa’ berbanding ‘apa’. Apapun Rafizi bawa, mereka akan percaya hatta fitnah dan penipuan dan siapapun tidak akan mereka dipercayai hatta apa yang dibawanya adalah kebenaran.
Selagi penyokong-penyokong tegar ini memilih politik kepartian maka selagi itulah mereka akan tenggelam dalam fitnah dan penipuan Rafizi serta Pakatan Harapan. Buat yang cerdik sedikit akan merasa serik selama 22 bulan – kerana akhirnya terbukti pelbagai fitnah dan penipuan, bukannya kebenaran. Buat yang masih “tidak mahu” cerdik, terimalah Rafizi selaku calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, bukannya Anwar Ibrahim yang mereka dambakan.