SHAFEE ABDULLAH DILEPAS DAN DIBEBASKAN DARIPADA SEMUA PERTUDUHAN PENGUBAHAN WANG HARAM

73
SHARES
236
VIEWS

Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada kesemua empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dan membuat pengisytiharan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Keputusan itu disampaikan oleh YA Hakim Muhammad Jamil Hussin.

YA Hakim dalam hujah kehakimannya berkata, “Saya dapati dalam pertuduhan pertama dan kedua, pihak pendakwaan gagal membuktikan wang RM4.3 juta dan RM5.2 juta adalah daripada hasil haram. Saya telah memberi alasan. Penemuan saya juga terpakai bagi pertuduhan ketiga dan keempat”.

Muhammad Jamil juga berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan ketiga dan keempat dan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kesemua empat pertuduhan tanpa dipanggil membela diri. Muhammad Shafee diwakili peguamnya Harvinderjit Singh, Farhan Read dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee, manakala Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bertindak bagi pihak pendakwaan.

Pada 13 September 2018, Shafee mengaku tidak bersalah menerima wang hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang daripada bekas Perdana Menteri keenam Dato Sri Mohd Najib Tun Razak, melalui dua cek ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya. Beliau didakwa menerima cek pertama sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan cek kedua RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku. Beliau turut didakwa atas dua pertuduhan terlibat dalam urus niaga hasil daripada aktiviti haram dengan mengemukakan penyata cukai yang tidak benar, melanggar perenggan 113 (1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014. Shafee didakwa mengetepikan pendapatan RM4.3 juta yang diterima pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta yang diterima pada 17 Februari 2014 dalam penyata cukainya. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts