SURAT TERBUKA ISHAM JALIL BUAT PENGUNDI SHAH ALAM

126
SHARES
405
VIEWS

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Nama saya Isham Jalil. Saya adalah calon Barisan Nasional untuk Parlimen Shah Alam.

Saya adalah orang Selangor. Ibu bapa saya tinggal di U20 Shah Alam. Dan isteri saya dan keluarganya adalah antara pemastautin terawal di Shah Alam. Mereka telah membeli rumah dan menetap di Seksyen 2, Shah Alam seawal tahun 1972 dan isteri saya telah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda pada tahun 1982. Arwah ayah mertua saya adalah antara pengundi terawal di Shah Alam sejak tahun 1970an, dan ibu mertua saya masih mengundi di Shah Alam sehingga kini. Shah Alam ini adalah amat dekat di hati saya.

Sepanjang 14 hari tempoh berkempen ini saya telah berjumpa dan bersalaman dengan beribu-ribu rakyat Shah Alam dari komuniti Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain. Ramai dari mereka yang menyuarakan tentang masalah yang sama yang dihadapi oleh mereka iaitu masalah banjir dan air bersih. Ini adalah masalah-masalah asas yang masih tidak selesai terutama apabila kerajaan negeri bertukar sejak tiga penggal yang lepas.

Beberapa tahun lalu saya telah menulis berkenaan banjir. Saya nyatakan yang banjir kerap berlaku kerana manusia. Apabila pokok-pokok hutan ditebang tanpa had dan tidak ditanam semula, selut dan lumpur masuk ke dalam sungai dan parit yang menyebabkan banjir kilat. Apabila parit dan longkang tidak terjaga oleh pihak berkuasa atau kerajaan negeri dan ia tersumbat dengan sampah sarap, ini menerukkan lagi keadaan banjir. Pada masa yang sama mereka menebang pokok-pokok hutan simpan kekal yang dinyahwarta oleh kerajaan negeri termasuklah di Shah Alam Community Forest sehingga selut dan lumpur masuk ke dalam sistem saliran menyebabkan parit, longkang dan sungai menjadi cetek. Ini menyebabkan banjir kilat kerap berlaku. Keadaan ini perlu diberhentikan.

Lima tahun lepas saya telah menulis berkenaan isu air di Selangor di mana lebih separuh atau 260 ribu kes terputus bekalan air di Malaysia adalah berlaku di negeri Selangor berbanding 400 ribu kes di seluruh negara. Ramai rakyat Selangor terutama di Shah Alam yang terkesan apabila air tiada. Saya telah menyuarakan isu ini dengan lantang sehingga saya telah disaman oleh Syarikat Bekalan Air Selangor. Saya telah lawan saman ini sehingga saya menang di Mahkamah Tinggi. Namun masalah air di Selangor ini masih berterusan. Saya akan terus berusaha untuk menyelesaikan masalah air yang membelenggu rakyat Selangor sejak sekian lama ini. Saya telah nyatakan cadangan penyelesaiannya yang telah saya tulis beberapa tahun lalu.

Keadaan-keadaan dan masalah-masalah di atas berlaku kerana kerajaan negeri Selangor telah menjadi leka kerana wakil-wakil rakyat mereka telah menang besar selama tiga penggal, maka hal-hal asas tidak dijaga dan rungutan rakyat tidak diendah. Apabila mereka menang banyak kerusi dan mereka menang besar dengan berpuluh-puluh ribu majoriti inilah jadinya. Mereka tidak buat kerja namun tiada pihak yang dapat menyemak imbang kuasa mereka. Apabila rakyat marah dan pilihanraya datang, mereka akan lari ke tempat lain dan cuba menang di kawasan baru dengan hasutan demi hasutan seperti biasa.

Namun kali ini bayangkan jika ibu negeri Selangor di Shah Alam ini bertukar tangan ke Barisan Nasional dan saya dipilih menjadi wakil rakyat anda, maka bukan sahaja saya akan menjadi pembuat dasar dan undang-undang di Parlimen, namun saya juga akan menjadi penyemak imbang kepada kuasa kerajaan negeri. Saya pasti apabila ini berlaku kerajaan negeri PH di Selangor ini akan bangun dari tidur dan kelekaan atau “complacency” dan baru terpaksa buat kerja untuk rakyat dan mengambil endah aduan rakyat. Ini akan mendorong persaingan perkhidmatan di antara saya dengan mereka (PH) dan akibatnya rakyat Shah Alam dan Selangor yang akan mendapat manfaatnya.

Pada masa yang sama, ramai anak-anak muda di Shah Alam yang tidak ada kerja. Di seluruh negara kini lebih 700 ribu orang tidak ada kerja. Sebelum PKP jumlah ini adalah lebih kurang 300 ribu. Kebanyakan daripada mereka ini adalah anak muda di Lembah Kelang. Dan ramai anak muda yang tidak ada kerja ini berada di ibu negeri Selangor iaitu Shah Alam. Apabila anak-anak muda yang tidak ada kerja ini ingin berniaga, ramai antara mereka yang menghadapi masalah tidak dapat permit berniaga dari pihak berkuasa. Dan bila mereka teruskan usaha untuk berniaga walaupun tanpa permit untuk mencari rezeki beberapa ringgit, mereka telah disaman RM300 ringgit oleh pihak berkuasa yang tidak memberi mereka permit. Saya ingin sarankan supaya kerajaan negeri tidak menyusahkan anak muda yang ingin berniaga, permudahkanlah mereka untuk mencari rezeki. Keadaan ekonomi negara kini mencabar, bantulah rakyat untuk mencari rezeki dan permudahkan urusan mereka.

Saya juga tahu bahawa rata-rata rakyat Shah Alam peka berkenaan isu integriti dan rasuah. Sebelum ini UMNO dan Barisan Nasional selalu dimomokkan dengan isu ini. Saya pernah berkata bahawa apabila rasuah berlaku ia adalah salah individu dan bukan salah parti, parti tidak bersalah apabila individu melakukan rasuah, sebagaimana juga penyokong-penyokong PH rasa mereka tidak bersalah apabila Lim Guan Eng dan Syed Saddiq dituduh atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa. Dan apabila pemimpin-pemimpin UMNO dituduh rasuah, mereka pergi ke mahkamah untuk membersihkan nama mereka dan mendapat pengadilan oleh hakim. Namun apabila pemimpin-pemimpin PH atau PN dituduh rasuah, kes mereka tidak habis dibawa ke mahkamah untuk pengadilan namun digugur oleh peguam negara yang mereka lantik sebelum sempat habis bicara. Ini tidak adil dan memberi gambaran bahawa ada pilih kasih dan pendakwaan terpilih dalam sistem kehakiman. Apabila ini berlaku rakyat hilang kepercayaan kepada sistem kehakiman dan menyebabkan undang-undang sukar ditegakkan.

Saya pernah berkhidmat dalam kerajaaan dan syarikat berkenaan kerajaan selama lebih kurang 20 tahun dan saya tidak pernah ambil rasuah atau ada kes rasuah. Saya akan teruskan pegangan dan track record ini. Pegangan seseorang bergantung kepada jatidiri individu itu sendiri, jika dalam dirinya dia amanah membuat kerja, dia tidak akan ambil rasuah walaupun seringgit mahupun sejuta.

Di Shah Alam ini juga majoriti penduduk adalah orang Melayu dan Islam. Namun orang-orang Melayu kini berpecah kepada banyak parti. Saya pernah menulis beberapa tahun dahulu bahawa jika orang-orang Melayu ingin bersatu padu, tidak boleh ada banyak parti serpihan, jika ada banyak parti serpihan maka orang-orang Melayu akan senantiasa bertelagah dan berpecah belah. Cukuplah dengan ada dua parti besar orang-orang Melayu iaitu UMNO dan PAS. Saya pernah memberi cadangan bahawa jika parti-parti serpihan ini ikhlas ingin menyatukan orang-orang Melayu maka mereka boleh bubar dan masuk sama ada UMNO atau PAS, dan seterusnya UMNO dan PAS boleh bersatu dalam satu muafakat yang besar. Namun selagi parti-parti serpihan ini masih ada dan berdegil, adalah sukar untuk orang-orang Melayu bersatu terutama apabila parti serpihan ini menjadi orang ketiga dalam hubungan parti besar iaitu UMNO dan PAS. Sebab itu saya ingin menggesa supaya orang-orang Melayu di Shah Alam untuk mengundi Barisan Nasional kali ini, Jika Barisan Nasional menang dan parti-parti serpihan tewas maka ia akan lebih memungkinkan penyatuan ummah selepas PRU-15. Sebaliknya jika orang-orang Melayu di Shah Alam mengundi parti serpihan waima dalam Perikatan Nasional ataupun Pejuang, mereka akan memecahkan undi Melayu dan akibatnya yang menang adalah PAN, PH dan DAP.

Ada banyak lagi isu dan penyelesaian yang saya ingin bawa untuk rakyat Shah Alam. Di kesempatan ini saya huraikan setakat ini sahaja dahulu. Jika terpilih sebagai wakil rakyat anda saya akan membuat yang terbaik dan memegang amanah anda semua dengan sepenuh hati.

Sekian, doakan saya.

Salam,

Isham Jalil

Calon Barisan Nasional untuk
Parlimen P108 Shah Alam

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02tK8nEcspeLATHj8hF3smHkf3TwSNyRjipnwpHUiSb4ysQSHdaGKiDX7EAEKYCUEjl&id=100044476781936&mibextid=qC1gEa

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts