Mungkin tajuk yang dibaca terlihat kasar namun analogi menggunakan haiwan seperti ini tidak asing lagi dengan parti politik PAS. Presidennya Haji Hadi dilihat kasar berbahasa dan tidak menjaga adab dan lisan dalam berkata-kata walaupun ahli-ahli PAS menggelarkannya sebagai ‘Tok Guru’, yang sepatutnya bijak dalam menjaga lidahnya sendiri.
Mungkin beliau sedikit ‘meroyan’ dan berasa malu apabila setelah empat hari menjadi individu paling awal mengeluarkan kenyataan Perikatan Nasional menang bergaya di media utama negara, namun sehingga kini masih gagal menubuhkan kerajaan. Siapa sangka, UMNO-Barisan Nasional yang dihinanya selama ini, kini menjadi ‘King Maker‘ dalam menentukan siapakah yang memerintah seterusnya.
Sedangkan dengan kekalahan UMNO-Barisan Nasional di PRU-15 lepas, mereka sepatutnya sudah menjadi pembangkang, sepertimana kehendak majoriti rakyat yang telahpun membuat pilihan. Namun perancangan Allah mengatasi segala-galanya apabila mereka kini menjadi rebutan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan yang sehingga kini gagal membentuk kerajaan sekiranya parti tersebut tidak memberikan bantuan.
Sepatutnya Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan berdamailah sesama mereka dan ikutlah titah saranan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk mewujudkan kerajaan perpaduan atau Unity Government. Namun titah saranan baginda ini ditolak mentah-mentah oleh Mahiaddin kerana tentu beliau tidak boleh menerimanya kerana pasti tidak akan dilantik menjadi Perdana Menteri. Sedangkan dengan penggabungan Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan, hasrat kedua-duanya untuk menyingkirkan UMNO-Barisan Nasional selama ini akan tercapai. Tetapi keangkuhan dan keengganan Mahiaddin kini meletakkan UMNO-Barisan Nasional pula dalam situasi terpaksa membuat pilihan kerana YDP Agong telahpun menitahkan agar Ahli-ahli Parlimennya masuk menghadap dan memilih siapa Perdana Menteri ke-10. Jika Mahiaddin boleh mengurangkan keangkuhannya sedikit, tentu kini mereka sudahpun menjadi kerajaan.
Meminjam kata-kata Haji Hadi iaitu, “Anjingpun kadang-kadang cerdik daripada kita, ia berkelahi tetapi kalau rusa, kijang masuk kampung, ia kejar sekali, lepas tu berkelahi semula“, walaupun ditujukan kepada UMNO namun hakikatnya ‘anjing-anjing’ yang bergaduh dan berebut kuasa itulah Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan – yang asyik berebutkan ‘rusa’ iaitu UMNO-Barisan Nasional.
Nampaknya Haji Hadi dan PAS sendiri serta Perikatan Nasional tidaklah lebih daripada “anjing-anjing yang cerdik”, sepertimana yang beliau kiaskan – kerana sehingga kini masih gagal membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan. Jika ada yang marah kenapa berkias secara kasar menggunakan haiwan seperti anjing? Justeru sila tujukan kemarahan tersebut kepada Haji Hadi.