Bukankah prinsip Perikatan Nasional tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan? Malah Tan Sri Mahiaddin Yassin dengan angkuh telah menegaskan hal ini selepas berjumpa Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Ketika itu Haji Hadi di sebelahnya juga asyik mengangguk-angguk bersetuju dengannya.
“Tuanku mencadangkan supaya kita (PN) bekerjasama dengan PH untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, tetapi kami telah bincang perkara itu sejak awal lagi kami tidak akan bekerjasama dengan PH.”
“Itu adalah pendirian parti kita (PN) sejak dulu sampai ke hari ini. Itu adalah pendirian parti kita (PN) sejak dulu sampai ke hari ini.” Rujuk pautan;
Kenapakah “prinsip suci” ini mahu diubah sewenang-wenangnya? Tidak perlukah bermesyuarat dan bertanyakan akar umbi terlebih dahulu yang terpekik terlolong sebelum ini kononnya marahkan UMNO mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan mendesak Zahid meletakkan jawatan?
Tidakkah Perikatan Nasional memikirkan nasib pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong mereka yang akan teruk diejek kerana akhirnya pemimpin-pemimpin mereka sendiri ingin bergabung bersama Pakatan Harapan? Janganlah membuka ruang buat mereka untuk dicemuh sehingga habis penggal kelak.
Mana hendak disorokkan muka setelah berhempas pulang ke perantauan mengundi Perikatan Nasional namun akhirnya Perikatan Nasional mahu juga bersama Pakatan Harapan? Kenapa kini membuat ‘u-turn’? Adakah takut skandal RM600 bilion dan salah laku sepanjang darurat itu akan siasat?
Sama juga dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang ‘gila’ mendesak Presiden UMNO meletakkan jawatan, adakah anda kini tidak malu bersama Perikatan Nasional? Mahiaddin sepatutnya tidak memalukan mereka dengan tindakan mahu bersama Pakatan Harapan kerana ini hanya membuktikan sikap hipokrit beliau dan Perikatan Nasional selama ini.
Kasihanlah Hishamuddin Hussein, Annuar Musa, Ismail Sabri, Khairy Jamaluddin, Shahidan Kassim dan lain-lain yang kononnya bermati-matian tidak mahukan Barisan Nasional bersama Pakatan Harapan dan mendesak Zahid meletakkan jawatan. Atau adakah kini mereka semua tiba-tiba sudah boleh bersetuju dengan Presiden? Berjiwa besarlah dan sila hentam keputusan Mahiaddin, Haji Hadi dan Perikatan Nasional, janganlah bermuka-muka.
Jelas, demi secangkir kuasa, apapun boleh Perikatan Nasional lakukan hatta mengecewakan pemimpin-pemimpin UMNO Putrajaya. Apapun alasannya, terserlah sudah hipokrasi mereka dan pemimpin-pemimpin UMNO Putrajaya, MIC serta MCA yang menyokong selama ini kerana akhirnya mahu juga bersama Pakatan Harapan.
Nasihat buat penyokong-penyokong tegar Perikatan Nasional pula, anda wajib mendesak agar Mahiaddin dan Haji Hadi meletakkan jawatan serta-merta kerana kini boleh pula bersama Pakatan Harapan yang di dalamnya ada DAP. Atau, mungkin hanya dengan satu ‘dalil’ sudah cukup memperdaya mereka untuk ‘wala’ seperti biasa. Tahniah.