NASIB BANGSA MELAYU DI MASA HADAPAN – DR. RAMALAN YUNUS

400
SHARES
2.4k
VIEWS

Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, kamu lihatlah pemuda dan pemudi pada hari ini.” – Saidina Ali.

Merenungi kata-kata Al Mukarram Saidina Ali Bin Abu Talib R.Anhu pasti membuat kita semua terfikir tentang nasib dan masa depan bangsa ini. Bagaimana nasib bangsa Melayu ini pada 10, 20 atau 30 tahun ke hadapan?

Kalau mahu tahu, kita ikuti saranan Saidina Ali R.Anhu dan kita lihat sahaja para pemimpin pemuda Bangsa Melayu pada hari ini. 

Mereka adalah Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh, Ketua Pemuda PAS, YB Ahmad Fadhli Saari, Ketua Armada Bersatu iaitu YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Presiden MUDA, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

UMNO adalah parti yang berada di dalam kerajaan namun adakah Ketua Pemuda UMNO mencerminkan sikap sebagai seorang Ketua Pemuda yang mewakili kerajaan?

Adakah beliau kini berada di barisan hadapan untuk mempertahankan kerajaan yang diwakili dan sama-sama berjuang dengan para pemimpin kerajaan yang lain untuk mewujudkan kestabilan politik dan membangunkan kemakmuran rakyat dan negara?

Jangankan mempertahankan kerajaan yang diwakilinya, mempertahankan presiden partinya sahaja beliau tidak mahu. Malah beliau juga turut memberikan tekanan kepada presiden partinya sendiri.

Lebih menarik sewaktu kempen PRN yang lalu, nada suara beliau lebih harmoni dengan nada suara pihak pembangkang berbanding dengan nada suara pihak kerajaan. Bukankah ini menunjukkan kecelaruan pemikiran dan pendiriannya?

Manakala Ahmad Fadhli Saari dan Wan Ahmad Fayhsal pula kini sedang sibuk untuk menganjurkan perhimpunan Pemuda Perikatan Nasional pada Sabtu ini (16 September) di hadapan Sogo di Kuala Lumpur bagi membantah pelepasan tanpa pembebasan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.

Keputusan dan tindakan Syed Saddiq lebih menarik lagi. Elok-elok berada dalam kerajaan kini beliau memutuskan untuk berada di blok pembangkang hanya kerana tidak berpuas hati dengan isu pelepasan Presiden UMNO tersebut.

Kalau kita perhatikan, keempat-empat pemimpin muda ini lebih fokus kepada isu Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berbanding kepada isu-isu penderitaan rakyat. Mungkin dalam benak mereka kalau Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berjaya ‘dibersarakan’ dari politik maka segala permasalahan rakyat akan dapat diselesaikan.

Saya melihat keempat-empat pemimpin muda ini lebih fokus kepada isu sensasi berbanding fokus kepada solusi terhadap segala permasalahan rakyat dan negara. Kalau inilah kecenderungan dan tahap pemikiran mereka, sudah pasti bangsa dan negara ini akan terus huru-hara di masa hadapan.

Kalau berpolitik sekadar untuk mencari populariti dan sensasi, lebih baik jangan berpolitik. Mekanisme politik seharusnya digunakan untuk mencari solusi yang terbaik untuk masa depan yang lebih baik buat generasi mereka.

Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan punca kepada segala masalah yang kita hadapi pada hari ini. Malah beliau adalah mangsa kepada percaturan politik pihak berkepentingan. Menamatkan riwayat politiknya tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.

Seharusnya para pemimpin muda lebih fokus kepada isu-isu yang melibatkan generasi muda. Mereka perlu sedar bahawa krisis ekonomi global yang sedang berlaku pada hari ini akan menjejaskan masa depan generasi mereka.

Generasi muda perlukan pemimpin yang tahu apa yang seharusnya dilakukan bagi membina masa depan mereka yang lebih baik. Bukan pemimpin yang hanya pandai meneruskan konflik politik yang sedia ada.

Mereka perlukan pemimpin yang mempunyai solusi kepada segala permasalahan yang sedang dan bakal mereka hadapi. Bukan pemimpin yang gila kepada isu-isu sensasi.

Apa yang sedang berlaku di depan mata kita semua adalah sangat membimbangkan.

Apa yang boleh kita harapkan dari para pemimpin muda seperti mereka. Tidak mungkin kita mahu letakkan masa depan generasi muda kita kepada seorang tua yang sudah berumur 98 tahun.

Jadi, sesuatu perlu dilakukan demi menyelamatkan masa depan generasi muda hari ini. Sebuah akademi kepimpinan masa depan sudah sewajarnya diwujudkan. Ini kerana realiti di masa hadapan adalah sangat jauh berbeza dengan realiti pada hari ini.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts