Sikap bekas Perdana Menteri kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semakin menjengkelkan apabila berdepan dengan krisis yang melanda UMNO selepas kekalahan parti tersebut. Beliau bersama beberapa pemimpin UMNO-Barisan Nasional termasuk Hishamuddin Tun Hussein, Annuar Musa, Khairy Jamaluddin, pemimpin MIC dan MCA mendesak agar Presiden Dato Sri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan, atas alasan kononnya tidak mahu bersama Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan membentuk kerajaan.
Tindakan UMNO-Barisan Nasional ingin menghormati mandat rakyat dengan kekal sebagai pembangkang daripada awal juga tidak dihormati apabila kumpulan Hishamuddin ini bertindak bersendirian bersama sembilan yang lain memberikan akuan bersumpah kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin. Perkara ini membuatkan UMNO sukar untuk membuat sebarang keputusan secara en block tetapi apabila sedar tindakan itu ‘memakan tuan’ maka sepuluh pengkhianat parti ini menarik kembali akuan bersumpah mereka.
Tindakan ini memalukan Mahiaddin dan PAS yang beriya mengatakan mereka mempunyai cukup sokongan membentuk kerajaan, tetapi apabila Hishamuddin dan pengkhianat lainnya u-turn kerana takut kehilangan kerusi Parlimen, kelihatan Mahiaddin hanya membodohkan dirinya sendiri di depan media. Jumlah 115 kerusi yang dikatakan dimiliki olehnya kini hanya tinggal 105 dan terlihat jelas beliau sebenarnya menipu di khalayak ramai, termasuk di depan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang telah mengetahuinya daripada awal.
Tidak cukup dengan itu, Mahiaddin dan Perikatan Nasional menolak pula titah cadangan baginda untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, atas alasan kononnya prinsip mereka sejak dahulu lagi tidak mahu bekerjasama dengan Anwar dan Pakatan Harapan. Tetapi akhirnya seperti yang sudah boleh dijangka, Perikatan Nasional u-turn dan mahu pula bersama dalam Kerajaan Perpaduan. Mungkin juga kerana takutkan skandal RM600 bilion mereka didedahkan membuatkan mereka terpaksa khianat prinsip sendiri.
Ini juga membuatkan Ismail Sabri, Hishamuddin, Annuar Musa, Khairy dan lain-lain pemimpin UMNO yang khianat termasuk pemimpin MIC dan MCA terpaksa pula menjilat ludah sendiri apabila dimalukan Mahiaddin dan Perikatan Nasional yang mahu bersama Anwar dan Pakatan Harapan.
Sedangkan perkara inilah yang membuatkan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang khianat ini mendesak Presiden meletakkan jawatan. Justeru, adakah kini mereka mahu meminta maaf kepada Zahid dan UMNO dan sekaligus mendesak Mahiaddin dan Haji Hadi pula meletakkan jawatan?
Rakyat kini hanya menunggu dan lihat sejauh mana hipokrasi Perikatan Nasional dan pemimpin-pemimpin UMNO-Barisan Nasional yang khianat ini mahu diteruskan. Cukup-cukuplah menipu pengundi-pengundi dan penyokong-penyokong sendiri dengan retorik demi Islam dan penyatuan ummah.