SURAT PEMBACA | Tidak menjadi kesalahan atau kejanggalan bagi pihak Polis DiRaja Malaysia atau mana-mana premis kerajaan untuk melaksanakan kod etika berpakaian, bagi memastikan individu yang hadir tidak berpakaian terlalu mencolok mata.
Kod etika ini bukannya mahu menyusahkan rakyat dengan mewajibkan mereka memakai tali leher atau kemeja berlengan panjang ketika berurusan sebaliknya pakailah pakaian yang ‘bersesuaian’. Etika berpakaian ini juga tidak bersifat ‘seksis’ hanya kepada kaum wanita sahaja tetapi ia juga terpakai kepada kaum lelaki yang tidak boleh hadir berseluar pendek atau hanya memakai ‘singlet’ ketika berurusan.
Bagi kes-kes yang melibatkan kecemasan, seperti mangsa samun atau kemalangan, tentulah tidak menjadi masalah mereka terus hadir ke balai polis untuk membuat aduan atau ke hospital mendapatkan rawatan. Mereka yang bertugas tentu tidak mempunyai masalah menerimanya kerana ia melibatkan kes kecemasan yang memerlukan ia disegerakan.
Jika di premis kerajaan lain seperti universiti atau urusan kaunter di JPJ atau Jabatan Pendaftaran, tentulah etika berpakaian untuk pelawat ini amat diperlukan. Seperti kata Ketua Polis Negara, tidak bolehlah hanya berseluar ‘katok’ hadir ke premis kerajaan melainkan untuk urusan kecemasan. Kerajaan bukan meminta rakyatnya berhias beriya atau berpakaian cantik tetapi cukup untuk pelawat tidak memakai pakaian yang mencolok mata, sesuai dengan urusan yang dilakukannya.
Perlu ditegaskan, isu yang masih hangat dan menjadi perdebatan termasuk kini ada pihak tertentu mahu ia dilonggarkan, usahlah dilayan. Kekalkan sahaja etika berpakaian bagi pelawat tersebut dan wujudkan garis panduan jelas agar tiada mana-mana pihak boleh mengambil kesempatan sekaligus mempertikaikannya di kemudian hari.
Kerajaan perlu bertegas dan jangan sesekali melayan permintaan yang tidak masuk akal sebegini. Selain membuang masa, ia juga tidak memberi manfaat apapun kepada rakyat. Sekiranya permintaan ini untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan awam, barulah wajar ia diberikan perhatian oleh kerajaan.
Justeru, kod etika berpakaian untuk pelawat ini perlu dikekalkan kerana tanpanya, dikhuatiri mereka yang berurusan kelak akan semberono memakai apa sahaja. Jika ketika inipun sudah ada yang berpakaian sesuka hati mereka ketika berurusan di premis kerajaan, bayangkan jika permintaan untuk ia dimansuh atau dilonggarkan ini dilayan.
Hal kecil usah dipolemikkan, selaku pelawat, pakai sahaja pakaian yang tidak mencolok mata untuk urusan di premis kerajaan seperti ditetapkan. Jika di rumah, anda tidak mahu berpakaianpun tidak mengapa.
Shahril A. Abdullah
Cyberjaya