APA NASIB MELAYU DI TANAH AIR SENDIRI? -MARZUKI YAHYA

252
SHARES
812
VIEWS

Jika ditelusuri sejarah dunia, banyak peristiwa menunjukkan satu-satu tamadun dan tanah air menjadi lenyap akibat di telan ketamadunan asing. Ini berlaku akibat perpecahan dan perbalahan tamadun asal yang mendorong kemerosotan dari segi kuasa politik, sahsiah, ekonomi dan sebagainya. 

Contoh paling dekat adalah di Selatan Thailand. Kawasan yang terdiri daripada tiga wilayah itu – Narathiwat, Pattani dan Yala, dahulunya adalah sebuah negara Melayu berdaulat yang dikenali sebagai Patani. Mereka tersohor dengan tamadun yang hebat, terkenal dengan kekuatan ketenteraan termasuk meriam-meriam Seri Negara, Seri Patani dan Mahalela yang bisa menggoncang kekuatan musuh.

Namun, akibat perbalahan sesama sendiri, kewujudan musuh dalam selimut dan ketundukan kepada penindas sehingga sanggup menjadi ‘raja patung’ yang akur kepada kuasa penakluk Siam, akhirnya lenyaplah sebuah ketamadunan yang dahulunya terkenal di Nusantara. Kini, apa yang tinggal hanya cerita-cerita hikayat tentang Raja Hijau, Raja Biru dan Raja Ungu. 

Tiada lagi bergema bunyi letupan meriam yang dahulu menggegar bumi, tiada lagi bunyi hunusan pedang membela pertiwi. Kini yang tinggal cuma ‘produk eksport’ terkenal mereka, iaitu restoran-restoran tomyam yang membanjiri tanah air.

Adakah cerita kejatuhan orang Melayu Patani sahaja satu-satunya kisah pilu yang harus diratap hiba oleh orang kita? Sebenarnya, bukan Melayu di Pattani sahaja yang lenyap ditelan arus zaman, bahkan nasib sama turut dirasai Melayu di Singapura juga.

NASIB MELAYU SINGAPURA

Kajian ke atas kaum Melayu di Singapura ini, saya kira sangat menarik untuk kita semua meneliti dan menginsafinya. Hal ini kerana dari aspek geografi dan geopolitik, Singapura lebih dekat dengan kita dari banyak aspek. Usah melihat terlalu jauh, cukup sekadar riak wajah Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sewaktu majlis makan tengah hari rasmi sempena menyambut kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Januari lalu. 

Dalam majlis itu, Hsien Loong mengakui, “Kedua-dua negara kita berkongsi hubungan yang agak berbeza dengan negara lain. Kita terikat dengan geografi dan sejarah kita bersama. Orang kita mempunyai hubungan kekeluargaan dan budaya yang mendalam. Tamak Johor dan Jabatan Kedua adalah antara titik lintasan sempadan paling sibuk di dunia.”

Di sebalik hubungan kekeluargaan dan budaya yang mendalam, kita tidak harus melupakan nasib menimpa orang Melayu di sana. Dalam kes ini, saya suka merujuk kepada kajian sarjana bernama Lily Zubaidah Rahim, berjudul Dilema Singapura: Peminggiran Politik dan Pelajaran Masyarakat Melayu.

Karya akademik itu memugar kefahaman umum yang selama ini ditanam dengan idea kononnya Singapura sebagai sebuah melting pot, memberi layanan sama rasa dan sama adil terhadap semua penghuninya. 

Hakikatnya, pada muka surat 76, Lily menyebut bahawa orang Melayu di Singapura didiskriminasi oleh majikan bangsa Cina. Katanya, “Realiti kehidupan ini berasaskan kesedaran mereka terhadap diskriminasi yang berleluasa dan peluang yang tidak sama rata dalam pekerjaan walaupun Singapura dicadangkan sebagai sebuah masyarakat meritokrasi berbilang bangsa yang tiada tolok banding.

Malah, Lily menyatakan bahawa hampir semua kisah pekerjaan orang Melayu yang dikumpulkan menunjukkan secara terperinci amalan diskriminasi majikan Cina. Amalan tersebut termasuklah dalam hal pengambilan pekerja, gaji, syarat pekerjaan serta peluang latihan dan kenaikan pangkat.

Kemudian, ada banyak kajian lain mengikut arus sama dengan Lily yang cuba membangkitkan kesedaran tentang nasib Melayu Singapura yang mana buminya yang dipijak, kini jadi milik orang lain.

Antaranya, Noraslinda Muhamad Zuber dalam Singapore Malay Identity: A Study of Dominant Perceptions of Islam in Post-Independence Singapore. Dalam kajian itu, Noraslinda menjelaskan bahawa kerajaan Singapura menanam rasa curiga terhadap kesetiaan orang Melayu di negara itu.

Beliau menyatakan bahawa seawal 1969, timbul perasaan kurang senang masyarakat Melayu terhadap apa yang dianggap sebagai diskriminasi terhadap pemuda Melayu dalam Program Khidmat Negara.

“Sebagai contoh, pemimpin Melayu menyatakan bahawa bilangan orang Melayu dipanggil untuk Program Khidmat Negara sepenuh masa adalah sangat kecil, manakala mereka yang akhirnya berkhidmat dalam program itu telah didiskriminasi dari segi pelantikan dan kenaikan pangkat.

Juga diambil perhatian bahawa pegawai tentera Melayu sedia ada telah ditukarkan kepada pentadbiran yang tidak sensitif jawatannya.”

TAK AKAN MELAYU HILANG DI DUNIA?

Mengapa jadi sebegitu? Mengapa orang Melayu di Singapura dan Selatan Thailand menerima nasib sedemikian sedangkan mereka mendiami tanah air sendiri? 

Timbul persoalan lain, apakah nasib sebegini yang kita mahu timpakan kepada orang Melayu di tanah air ini? Apakah kita masih mahu melaungkan mantra ‘tak akan Melayu hilang di dunia?’

Kalau betul kata Hang Tuah itu, mengapa orang Melayu di Selatan Thailand dan Singapura kini hidup sebagai bangsa kelas kedua sedangkan tanah yang dihuni itu adalah tanah air mereka?

Dengan menelusuri realiti ini, saya menyeru kepada semua pemimpin Melayu-Islam di Malaysia agar mengetepikan sengketa dan kembali merapatkan ukhuwah sesama kita. Usahlah berbalah lagi sehingga sanggup meminta suaka daripada pihak musuh abadi. Jangan terlalu dinamik dan mengikut arus progresif.

Ini kerana sifat dinamik dan progresif itu juga merupakan senjata digunakan Othman Wok untuk membantu PAP di Singapura menawan hati dan jiwa orang Melayu di sana sehingga mereka hilang kuasa akibat pilihan raya.

Datuk Marzuki Yahya ialah Ketua Setiausaha Gerakan Tanah Air (GTA)

(Rencana dipetik dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15 Februari 2023) 

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts