KOMUNITI PERISIKAN BERI PENGHORMATAN TERAKHIR KEPADA ALLAHYARHAMAH DATUK HASANAH, KELUARGA

585
SHARES
1.9k
VIEWS

Innalillahiwainnailaihirojiun, Al-Fatihah untuk Datuk Hasanah Abdul Hamid, bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, yang telah pergi meninggalkan orang tersayang, ahli keluarga dan handai taulan yang mengenalinya, pada hari Jumaat, 14 Syawal, 1444 Hijrah bersamaan 5 Mei 2023.

Allahyarhamah dikebumikan di perkuburan Taman Raudhatul Jannah, Jalan Kampung Limau Manis, Kajang, sekitar dua kilometer daripada Surau Al-Ikhwan, Desa Pinggiran Putra, Kajang, di lot bernombor 0534. Bagi yang tidak berkesempatan hadir semalam, boleh hadir kemudian atau sentiasa menyedekahkan Al-Fatihah kepada arwah yang telah ditakdirkan meninggal dunia semalam. 

Sekitar pengkebumian arwah yang selesai sebelum Asar, dihadiri oleh ratusan ahli keluarga dan sahabat handai, rakan-rakan humint dan pegawai-pegawai di JPM terutamanya daripada Bahagian Penyelidikan yang turut dikenali sebagai Malaysia External Intelligence Organization (MEIO) – agensi ini lebih dikenali dalam kalangan pegawai-pegawai dan komuniti perisikan hanya sebagai ‘RD’ iaitu akronim kepada “Research Division“.

Tidak terlepas untuk memberikan penghormatan terakhir semalam ialah bekas Ketua Pengarah RD sebelumnya seperti Tan Sri Zakaria, Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim dan Datuk Seri Adnan. Tan Sri Othman Razak tidak dapat hadir dipercayai atas masalah kesihatan.

Semoga semua bekas Ketua Pengarah yang banyak berkhidmat kepada negara ini diberikan kekuatan dan juga kesihatan yang baik, In sha Allah.

Turut hadir ke majlis pengkebumian Allahyarham Datuk Hasanah semalam ialah Datuk Rostam Affendi atau Tok Tam, bekas Ketua Pengarah RD sebelum ini, bagi memberikan penghormatan terakhir bersama pegawai-pegawai JPM lainnya. Beliau beredar hanya selepas selesai pengkebumian dan dilihat sempat bersolat Asar di Surau Al-Ikhwan. 

Antara yang hadir juga ialah Ahmad Syahrizan Said, pemangku Timbalan Ketua Pengarah (TKP) Pengurusan yang ketika ini bertugas di bawah Ketua Pengarah RD baharu, Datuk Hishammuddin Sujak, yang menjawat jawatan tersebut sejak pertengahan Januari lepas.

Bagaimanapun Ketua Pengarah dan dua Timbalan Ketua Pengarahnya, iaitu Dato’ Ahmad Hamizan Mohd Yusof, TKP Pengurusan dan Ahmad Faris Ahmad, TKP Operasi tidak kelihatan hadir ke majlis pengkebumian tersebut.

Selain itu, bekas Timbalan Ketua Pengarah RD Datuk Haniff Omar yang juga rapat dengan Allahyarhamah dan sempat berkhidmat di bawahnya dilihat turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada arwah dan keluarga. 

Namun bekas Timbalan Ketua Pengarah RD yang dinaikkan semasa zaman Datuk Hasanah, Dato’ Ruslin Jusoh tidak kelihatan semalam. Beliau antara tujuh orang yang ditahan reman oleh SPRM sebelum ini kemudiannya telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendaftaran pada April 2019.

Jawatan terkini beliau ialah sebagai Ketua Pengarah Imigresen yang baru dilantik pada 22 Mac lepas. Datuk Shublee Othman, Ketua Pengarah RD yang dilantik selepas Allahyarhamah bersara pada 2018 juga tidak kelihatan.

Kelihatan juga beberapa humint RD yang terlibat dengan pelbagai operasi perisikan dalam dan luar negara, ada antaranya dikenali sesama rakan operatif yang lain dan ada yang tidak, termasuk wakil daripada agensi lain dan wakil Borneo, dilihat turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah dan keluarganya.

Salah seorang daripada mereka yang amat rapat dengan Allahyarhamah tidak dapat hadir kerana berada di Timur Tengah serta hanya sempat menyampaikan salam kepada ahli keluarganya. 

Selain pegawai-pegawai rasmi RD, humint turut menjadi tonggak kepada perisikan, keselamatan dan pertahanan negara selama ini. Kepada seluruh komuniti perisikan dan keselamatan, teruskan usaha mempertahan negara walau sebesar manapun cabarannya.

Kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah pula, termasuk adik-beradik, anak menantu dan cucunya, diharapkan agar sentiasa reda, diberikan kekuatan dan kesabaran sepanjang masa. Hakikatnya pemergian arwah satu ujian buat mereka yang masih hidup untuk reda dan sentiasa bersangka baik dengan ketentuan dan ketetapan-NYA.

Semoga Allahyarhamah yang banyak membuat kebaikan sepanjang hidupnya, selalu berlembut hatta kepada mereka yang menganiaya, serta kerap bersangka baik kepada sesiapa jua, diberikan ganjaran oleh Allah Taala, sebaik-baiknya.

Akhir kata, semoga Allahyarhamah Datuk Hasanah diberikan keampunan Allah SWT, diredai-NYA serta diberikan ganjaran atas seluruh iman dan amalnya serta diberikan ganjaran syurga-NYA, In sha Allah.

Al-Fatihah.

(Kepada nama-nama yang tidak sempat dimasukkan, hadir lewat ataupun tersalah direkodkan, mohon emel kepada pihak Editor Malaysia untuk sebarang kemaskini atau pembetulan – Jazakumullah) 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts