KERAJAAN BAKAL BERTUKAR OGOS, SELEPAS PRN 6 NEGERI?

188
SHARES
608
VIEWS

Pembangkang memainkan isu Kerajaan Perpaduan tidak mampu bertahun lama dan bakal bertukar sekitar bulan Ogos iaitu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak, dengan naratif bahawa kerajaan tidak menjaga maslahat umat Islam dan kaum Melayu di negara ini.

Isu kalimah Allah dimainkan, walaupun pada tahun 2013 lagi PAS sudah mengeluarkan kenyataan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah dalam amalan mereka, dengan menegaskan kenyataan yang dikeluarkan mereka pada tahun 2010.

Rujuk artikel, “2013: Haji Hadi kata Islam tidak halang orang bukan Islam guna kalimah Allah dalam amalan” kata di pautan; https://editormalaysia.com/29531/

Kumpulan British Coldplay yang bakal mengadakan konsert hujung tahun ini juga dikatakan mereka menyokong gerakan LGBT walaupun Billie Eilish yang pengamal LGBT sendiri pernah mengadakan persembahan di sini ketika PAS sebahagian daripada kerajaan.

Jika konsert Coldplay mengundang musibah, maka tentu konsert Billie Eilish juga sama, yang jelas Perikatan Nasional ini ‘memilih-milih’ dalam membuat hujah agamanya. Jika mereka ‘halal’ dan boleh diamalkan, jika orang lain pula haram dan tidak boleh.

Isu kenaikan harga barang yang tidak ada tanda akan turun, isu OPR dinaikkan berkali-kali, isu ringgit melemah dan pelbagai lagi isu yang membelenggu rakyat dimainkan oleh pembangkang seolah-olah di zaman mereka semuanya bagus dan tiada masalah.

Justeru, kononnya dengan segala macam isu yang berlaku ini maka kerajaan perlu ditumbangkan dan diganti dengan mereka yang ‘bagus’ dan pandai memerintah.

Sedangkan rakyat lebih menderita di zaman Perikatan Nasional, kes bunuh diri memuncak di zaman mereka, isu harga barang naik juga sama malah ketika darurat pelbagai projek secara terus diberikan kepada saudara mara, kenalan dan kroni, yang kini mula ‘menghambat’ mereka satu-persatu. 

Persoalannya, jika Perikatan Nasional kembali memerintah, adakah ringgit akan memulih, harga barangan akan turun, peratusan naik OPR akan dikurangkan kembali, isu rasuah melibatkan pemimpin-pemimpin Bersatu termasuk Tan Sri Mahiaddin Yassin dan anak menantunya akan diteruskan? 

Serta adakah isu pendatang yang semakin kronik ibarat kaduk naik junjung mengalahkan rakyat tempatan yang terpaksa berhempas-pulas mencari sesuap nasi, itupun kerap dihambat pihak penguatkuasa, akan dipulihkan dan dihantar pulang? 

Atau rakyat ini hanya lihat siapa sahaja yang naik menjadi kerajaan, sama ada suka ataupun tidak, tetapi keadilan, ketelusan, kestabilan, pemulihan tidakpun dilaksanakan? Jika begitu, tidak mengapalah tumbang kerajaan ataupun tidak, kerana pembangkang dan kerajaan manapun naik tetap sama.

Di hadapan terlihat rakyat terhimpit dan tertekan, pendatang pula makin senang dan ditatang bagai minyak yang penuh, menguasai perniagaan dan pekerjaan. 

Di belakang pula pemimpin-pemimpin politik masih tidak habis berebut kuasa yang entah sampai bila tidak akan berkesudahan. 

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts