INSIDEN KEHILANGAN PASTOR KOH, BANYAK PERKARA GAGAL DISAHKAN SAKSI UTAMA

345
SHARES
2k
VIEWS

Saksi utama dalam kes kehilangan secara paksa Pastor Raymond Koh, Roeshan Celestine Gomez dilihat gagal memastikan banyak perkara ketika pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid yang mewakili polis dan kerajaan.

Dalam insiden yang didakwanya dilakukan oleh sekumpulan profesional yang memakai pakaian hitam ‘ala tentera’, Roeshan antaranya gagal mengesahkan adakah lima lelaki yang menjadi suspek dalam kes itu mengenakan pakaian tentera yang sebenar ataupun tidak.

Beliau juga gagal mengesahkan apabila ditanya Nurul Farhana sama ada mereka itu ejen polis. Malah, ‘pakaian tentera’ yang didakwanya itu juga diakui sebagai andaian kerana “mereka tidak mengenakan pakaian biasa”.

Roeshan juga gagal memastikan sama ada pakaian dan kenderaan penculik itu mempunyai sebarang logo yang boleh mengaitkan mereka dengan polis ataupun tidak.

Roeshan juga bersetuju dengan Nurul Farhana bahawa laporan awal yang dibuat di balai polis Kelana Jaya kira-kira sejam selepas kejadian tidak mengandungi perincian seperti dalam keterangannya di mahkamah serta kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Namun Roeshan tidak bersetuju apabila Nurul Farhana mencadangkan bahawa beliau sebenarnya tidak melihat insiden yang didakwanya sebagai penculikan kerana seluruh keterangannya dipengaruhi oleh satu video terkait insiden yang tular sebelum itu.

Malah laporan polis yang dibuat Roeshan itu juga tidak mengandungi sebarang maklumat mengenai lima lelaki bertopeng yang berpakaian ala tentera serta beliau turut tidak menamakan rakannya dalam laporan tersebut – yang menurutnya ada bersama ketika kejadian. 

Dalam masa yang sama, Roeshan membantah hujah Farhana bahawa beliau sebenarnya tidak melihat apa yang sebenarnya berlaku, kerana beliau berada antara 30-40 meter dari tempat kejadian, malah keretanya turut tidak kelihatan dalam satu video yang tular pada tahun 2017.

Bagaimanapun, peguam Jerald Gomez yang mewakili isteri Koh, Susanna Liew, membantah soalan-soalan Peguam Kanan Persekutuan itu yang menurutnya meleret dan hanya mahu menguji ingatan Roeshan. Nurul Farhana menerangkan kewajaran beliau berbuat demikian ialah kerana kewibawaan Roeshan perlu diuji kerana beliau merupakan saksi utama dalam kes tersebut. 

Sebagai rekod, keluarga Koh memfailkan saman terhadap pihak polis serta kerajaan dengan tujuan menuntut mereka mendedahkan keberadaannya sejak diculik pada 13 Februari 2017, jam 10.54 pagi.

Roeshan pula merupakan seorang peguam dan saksi utama kepada keluarga Koh, yang mendakwa beliau berada di tempat itu ketika kejadian tersebut berlaku.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts