INSTITUSI YDP AGONG BUKAN SEKADAR SIMBOL

337
SHARES
2k
VIEWS

1. Institusi Yang di-Pertuan Agong merupakan teras kepada sistem berkerajaan dan bernegara di negara ini.

2. Bagi segelintir pihak yang gagal memahami sistem ini, mereka mungkin menganggap ia sekadar simbol adat istiadat semata-mata. Namun beberapa peristiwa sebelum ini telah membuktikan sebaliknya, betapa institusi YDP Agong memainkan peranan yang besar dan penting, bahkan menjadi penyelamat ketika negara berdepan kemelut dan krisis.

3. Lihat sahaja bagaimana kebijaksanaan yang ditunjukkan baginda dalam pembentukan kerajaan selepas PRU-15, berjaya membawa Malaysia keluar daripada kebuntuan ketika terjadinya situasi Parlimen tergantung.

4. Ketika negara terperangkap dalam ‘jalan mati’ apabila tiada mana-mana blok politik berjaya mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, YDP Agong dengan kebijaksanaannya, memberikan titah cadangan ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan.

5. Bertitik tolak dari situ, dinamika politik pada waktu itu berubah. Percaturan bergerak ke arah rundingan untuk menjunjung titah baginda sehingga terlahirlah Kerajaan Perpaduan yang antaranya dianggotai dua musuh ketat tradisi, Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

6. Sebelum inipun, YDP Agong turut mengambil peranan proaktif dalam krisis politik pada 2020 rentetan Langkah Sheraton, apabila kerajaan pada ketika itu tumbang akibat penarikan sokongan daripada parti sekutu.

7. Buat julung kalinya, YDP Agong memanggil semua Ahli Parlimen untuk ditemu ramah secara individu bagi mengenal pasti sokongan majoriti dalam kalangan mereka, yang membawa kepada pelantikan Perdana Menteri ke-8 iaitu Tan Sri Mahiaddin Yassin.

8. Begitu juga ketika berlakunya penarikan sokongan yang membawa kepada kehilangan majoriti Perdana Menteri pada 2021 sehingga memerlukan kepada pelantikan seorang Perdana Menteri baharu.

9. YDP Agong menitahkan Ahli Parlimen menghantar akuan bertulis untuk menamakan calon Perdana Menteri pilihan mereka dan kemudian memanggil menghadap Ahli-ahli Parlimen dalam kalangan majoriti untuk mengesahkan sokongan yang diberikan dibuat secara sukarela tanpa tekanan.

10. Hanya selepas itu, barulah YDP Agong berkenan untuk melantik Perdana Menteri ke-9.

11. Ini semua merupakan bukti institusi YDP Agong bukan sekadar simbol, bahkan merupakan pelengkap serta semak dan imbang kepada sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan.

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Jabatan Perdana Menteri

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts