SULTAN SELANGOR TITAH PEMIMPIN POLITIK HENTI KELUAR FATWA SECARA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

340
SHARES
2k
VIEWS

1. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar rakyat khususnya pemimpin politik, segera memberhentikan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini. Sultan Selangor bertitah demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, Klang pada Selasa lalu.

2. Ini kerana baginda tidak sanggup melihat rakyat berpecah-belah oleh tindak-tanduk sesetengah pemimpin politik yang tidak bertanggung-jawab.

3. Baginda juga memilih untuk mengeluarkan kenyataan selepas pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil selesai bagi mengelak disalahertikan sebagai memihak kepada sesuatu kumpulan politik.

4. Baginda juga bertitah agar agama tidak diperalatkan bagi meraih sokongan, kerana rakyat akan menjadi mangsa kepada perbalahan orang politik yang menunggang agama demi kepentingan diri.

5. Sultan Sharafuddin juga bertitah, fatwa hanya boleh dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri atau mufti, setelah mendapat perkenan dari Raja bagi setiap negeri.

6. Selain Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan di bawah MKI yang juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pandangan hukum, setelah perbincangan dengan mufti dari setiap negeri diadakan dan mendapat perkenaan dari Majlis Raja-Raja.

7. Ia bukan semata-mata atas dasar pandangan individu seorang mufti sahaja, bahkan ia dibuat secara kesepakatan majoriti ahli sama ada di dalam Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan MKI atau Jawatankuasa Fatwa Negeri-negeri, yang terdiri daripada alim ulama dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

8. Ini bagi memastikan fatwa yang dikeluarkan tepat dan membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat.

9. Selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam, baginda mengambil inisiatif untuk mengeluarkan kenyataan tersebut bagi menasihati semua pihak, terutama orang-orang politik termasuk pemimpin-pemimpin politik.

10. Ia bertujuan agar semua pihak bersama memikirkan langkah bagi mengharmonikan dan menyatupadukan rakyat kerana mereka mempunyai pengikut yang ramai bagi mengelak perpecahan berlaku.

11. Baginda juga menyeru pihak polis agar mengambil tindakan yang pro aktif di dalam menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang membangkitkan isu-isu sensitif yang melibatkan agama, kaum dan kedudukan Raja-Raja Melayu (3R)

12. Supaya menjadi satu pengajaran dan ketakutan kepada mereka yang berhasrat melakukan perkara yang sama di masa hadapan dan menegaskan, Raja-Raja Melayu dan Majlis Raja-Raja mempunyai peranan di dalam memelihara hak orang-orang Melayu dan agama Islam agar sentiasa terjamin.

13. Di samping itu, Raja-Raja Melayu juga bertanggungjawab menjamin hak dan keselamatan kaum-kaum lain yang membentuk rakyat Malaysia.

Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Jabatan Perdana Menteri 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts