TUN DR. ISMAIL ABDUL RAHMAN NEGARAWAN SEJATI, TONGGAK PERPADUAN NEGARA

71
SHARES
230
VIEWS

Genap 50 tahun lalu, iaitu pada tanggal 2 Ogos 1973, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Timbalan Perdana Menteri meninggal dunia akibat sakit jantung di kediaman beliau ketika berusia 57 tahun. Berita sedih tersebut pantas tersebar ke seluruh negara dengan pengumuman rasmi dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara.

Pemergian Allahyarham pada usia yang masih muda merupakan satu kehilangan besar kepada negara yang ketika itu baharu ‘sembuh’ daripada luka tragedi 13 Mei 1969 dan agenda penyusunan semula masyarakat masih rancak digerakkan oleh kerajaan.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Negara pada keesokan harinya selepas Solat Jumaat dan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Allahyarham dilahirkan di Johor Bahru pada 4 November 1915 dan mendapat pendidikan awal di English College (Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru seterusnya melanjutkan pelajaran di Maktab Perubatan King Edward ke-VII, Singapura.

Pada tahun 1939, Allahyarham menyambung pengajian ke Universiti Melbourne, Australia dan berjaya menjadi penuntut Melayu pertama yang lulus dari universiti di Australia pada tahun 1945.

Penglibatan Allahyarham dalam politik tanahair bermula apabila gagasan penubuhan Malayan Union digerakkan oleh British. Allahyarham bersama-sama nasionalis Melayu menentang penubuhan tersebut dengan menubuhkan Kesatuan Siswazah-Siswazah Melayu.

Meskipun digelar “The Reluctant Politician” Allahyarham menjalankan tugasan yang diamanahkan dengan cekal, tegas dan berani bagi memastikan negara dan penyatuan seluruh kaum di negara ini dapat direalisasikan demi perpaduan dan keharmonian negara.

Lebih membanggakan lagi, sebagai Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham turut memegang jawatan-jawatan penting dalam aspek keselamatan negara termasuklah sebagai Naib Pengerusi Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Wakil Persekutuan dalam Majlis Keselamatan Negara, Pengerusi Lembaga Keselamatan Malaysia dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Sempadan Malaysia-Thailand.

Jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan oleh Allahyarham kepada negara wajar dikenang dan menjadi bukti Negarawan Sejati.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. Al-Fatihah…

Majlis Keselamatan Negara di pautan;

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0CAAAJmSukRPfryGYg5JcL72uFjdWgdBoCzoYs76SiEWgLBdSK6PXDJPNSHcKDjjNl&id=100066351046679&mibextid=Nif5oz

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts