BENARKAH WUJUD DAKWAAN PIHAK ATASAN MKN INGIN ‘MENELAN’ NADMA?

276
SHARES
891
VIEWS

SURAT PEMBACA | Dalam keadaan negara menghadapi ancaman banjir ekoran Monsun Timur Laut, terdapat dakwaan bahawa kepimpinan di Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berusaha untuk membubarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan fungsinya diletakkan di bawah MKN – demi kerakusan nafsu, pangkat dan tarikan dana bencana di agensi tersebut. 

Kewujudan NADMA adalah ekoran kegagalan MKN menangani isu banjir pada tahun 2014 dan adakah kini MKN ingin mengulangi kesilapan yang sama demi mengejar pangkat dan dana sedia ada di bawah NADMA?

Memberi maklumat salah berkaitan prestasi agensi pengurusan bencana ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga beliau bersetuju menandatangani persetujuan pembubaran NADMA pada 23 Ogos 2022 juga dilihat seolah-olah sengaja mahu melibatkan Perdana Menteri dalam kancah politik dalaman MKN dan JPM sehingga Ketua Pengarah NADMA sedia ada ditukarkan ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 15 September 2022.

Usaha kepimpinan MKN dan JPM membubarkan NADMA ini malangnya mendapat persetujuan daripada pegawai-pegawai MKN dan NADMA namun Menteri Tugas-tugas Khas (TTK) di JPM sendiri tidakpun dirujuk. Persoalannya adakah kuasa kepimpinan MKN dan JPM terlalu besar dan kuat sehingga mampu membelakangkan Menteri TTK di JPM sendiri?

Jika cadangan ini baik untuk rakyat dan negara maka tidak mengapa namun dikhuatiri tujuannya adalah semata-mata untuk agenda peribadi serta mendapatkan dana NADMA sahaja. Selain itu, apa salahnya jika kerajaan terus mengekalkan MKN dan NADMA sebagai dua agensi berbeza agar tidak ada monopoli dan mewujudkan agenda peribadi mana-mana pihak?

Semoga rancangan ini diperhalusi dan selanjutnya  dibatalkan oleh pihak kerajaan serta adalah diharapkan selepas ini tiada lagi pihak berkepentingan yang cuba memberi maklumat dan gambaran salah mengenai mana-mana agensi sekalipun kepada Perdana Menteri, yang akhirnya hanya merisikokan nasib rakyat di dalam negara ini.

~Warga Prihatin~

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts