ANTARA MUHYIDDIN DAN ANWAR – DR. RAMALAN YUNUS 

193
SHARES
624
VIEWS

Pada PRN kali ini saya tidak nampak sebarang alasan atau hujah kukuh kenapa rakyat perlu memilih Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berbanding PH-BN pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Apa yang mampu ditawarkan oleh Tan Sri Muhyiddin dan PN kepada rakyat di enam negeri yang terlibat dalam PRN pada kali ini?

Slogan Penyatuan Melayu dan Gelombang Hijau yang diusung oleh PN hanyalah sekadar retorik dan propaganda politik sempit untuk memanipulasi persepsi dan sentimen para pengundi Melayu-Islam. Mampukah sebuah parti yang hanya memiliki 74 kerusi dari 222 kerusi di Parlimen membela nasib Melayu sebagaimana yang dicanangkan oleh PN selama ini?

Adakah seorang pemimpin politik seperti Tan Sri Muhyiddin dan PN yang sudah terbukti gagal untuk mentadbir negara dalam tempoh 33 bulan boleh diharapkan untuk membela nasib Melayu?

Bukankah Tan Sri Muhyiddin dan PN adalah sebuah catatan sosial mengenai pengkhianatan, pembohongan dan kerakusan segelintir elit politik Melayu demi merebut kekuasaan, jawatan dan harta?

Realitinya Tan Sri Muhyiddin dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia setelah berjaya mengkhianati rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan. Pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia tidak pernah disahkan oleh Parlimen Malaysia.

Malah beliau sanggup mengisytiharkan darurat semata-mata untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Malah perbelanjaan besar sewaktu tempoh darurat juga tidak pernah dibentangkan di Parlimen.

Menjadi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara selama 16 bulan namun tetap gagal untuk memulihkan ekonomi negara.

Jadi sejarah telah membuktikan apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN berkuasa untuk mentadbir dan memimpin negara, sikap mereka tidak ubah seperti tikus yang membaiki labu. Labu yang dibaiki bukan bertambah elok tetapi semakin rosak dan binasa.

Kalau mahu bercerita soal ekonomi dan nasib Melayu, bukankah kelompok ini yang telah menghancurkan ekonomi dan kehidupan orang Melayu dalam tempoh 33 bulan?

Jadi kepada umat Melayu-Islam janganlah terpengaruh dengan permainan persepsi dan emosi kelompok seperti ini. Mereka bukan pemimpin bagi semua orang Melayu-Islam di negara ini.

Pemimpin mutlak orang Melayu-Islam khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya adalah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung atau YDPA.

Bukan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang atau Tun Dr Mahathir Mohamad. Mereka ini sudah tidak boleh diikuti lagi oleh orang Melayu-Islam.

Ini kerana mereka ini ialah para pemimpin politik yang telah menderhaka kepada Raja-raja Melayu atau Ulil Amri di negeri dan negara ini.

Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan atas Titah YDP Agong dan diperkenankan oleh Majlis Raja-raja Melayu dijunjung oleh 148 atau dua pertiga dari Ahli-ahli Parlimen Malaysia.

Tujuannya adalah sebagai solusi kepada konflik politik yang berpanjangan dan bagi menghidupkan kembali Parlimen yang tergantung kerana politik gagal membentuk kerajaan. Ia juga bertujuan untuk menstabilkan politik dan memulihkan kembali keadaan ekonomi. Itulah tujuan murni dan kehendak dari titah baginda tersebut.

Kalau 148 Ahli Parlimen yang mewakili majoriti rakyat Malaysia di Parlimen boleh taat dan setia kepada Raja-raja Melayu, mengapa hanya 74 orang Ahli Parlimen ini terus ingkar dengan Titah Tuanku? Lalu apa sebenarnya yang ingin dicapai oleh Tan Sri Muhyiddin dan PN dalam PRN kali ini?

Secara logiknya tujuan mereka ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mensabotaj kerajaan dan berharap Kerajaan Perpaduan akan tumbang dengan usaha tersebut. Ini bagi mengelakkan beliau dan rakan-rakannya dari menjadi “Kluster Mahkamah” akibat salah laku mereka sendiri sewaktu berkuasa.

Bukankah usaha ini sebenarnya ialah usaha untuk menggagalkan Titah Tuanku? Lalu persoalannya sekarang adakah motif khianat seperti ini yang mahu disokong oleh orang Melayu-Islam?

Biar apapun usaha yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan PN, ia tetap tidak akan mampu menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan. Biar apapun keputusan pada PRN ini Kerajaan Perpaduan akan terus kekal sehingga PRU-16.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts