KENAPA MAHATHIR DAN MATTHIAS MASIH MEMBISU?
Oleh Mohd Puad Zarkashi
11 September 2018
Setelah 3 hari Tan Sri Mohammad Shafie Abdullah membuat kenyataan media (8.9.2018), Perdana Menteri dan tali barutnya Matthias masih membisu dan tidak menjawab pendedahan TS Shafie.
Pendedahan bahawa Tun Mahathir yang mendesak TS Shafie supaya bersetuju menjadi Pendakwaraya Khas perbicaraan Sodomi II Anwar Ibrahim telah membuka “Pandora Box” yang paling digeruni oleh Tun Mahathir. Tun Mahathir terbukti mencampuri urusan negara, menggunakan ugutan dan mengutamakan agenda peribadi.
TS Shafie adalah Peguam tersohor dan “credible”. Sudah pasti kenyataan medianya bukan calang calang. Mana mungkin dia membuat kenyataan mengejutkan itu tanpa asas apatah lagi jika bertujuan fitnah.
TS Shafie mendedahkan DS Najib keberatan dengan permintaan Mahathir itu yang boleh menyinggung perasaan Tan Sri Ghani Patail. Berkemungkinan Tun Mahathir juga telah memanggil TS Ghani Patail sehingga akhirnya perlantikan TS Shafie sebagai Pendakwaraya Khas kes Sodomi II melalui kaedah “fiat” dipenuhi.
Jalan ceritanya hampir sama apabila Tun M mengadakan perjumpaan tertutup dengan UMNO Johor di Hotel Pullman Putrajaya. Dalam pertemuan itu Tun M memaklumkan dia telah berjumpa dengan Najib dan Najib bersetuju membina semula Jambatan Bengkok dengan syarat UMNO Johor bersetuju. UMNO Johor tidak bersetuju dan itu satu sebab Tun M marah dengan Najib.
Lebih mengejutkan, Matthias memaklumkan Perdana Menteri ada 6 tuntutan terhadap Najib. Jika tidak di penuhi, Tun M akan menentang Najib habis habisan.
Apakah 5 lagi tuntutan Mahathir itu? Apakah amalan ugut ini juga digunakan sekarang sehingga menyebabkan Menteri Menteri PH termasuk DAP dan Wan Azizah seperti dicucuk hidung.
Ternyata campur tangan dan ugutan Tun M itu bertujuan peribadi. Ia mendedahkan Tun M melakukan “tikam belakang” terhadap Anwar. Dia bimbang Anwar menang kes Sodomi II. Dia mahu Anwar dipenjarakan. Sekarang dia terpaksa membebaskan Anwar.
Sebab itu mana mungkin Anwar akan menjadi Perdana Menteri ke 8.
Justeru Perdana Menteri dan kuncunya Matthias perlu tampil membuat penjelasan kerana ini melibatkan pendedahan serius dan mencabar kredibiliti mereka termasuk konspirasi mereka memfailkan saman di Pejabat DOJ. Rakyat, Bar Council, UMNO, PAS, NGO termasuk NGO guaman perlu membuat laporan Polis.
Polis juga mesti secara profesional membuat siasatan penuh.