PUTERA MAHKOTA SAUDI BERJANJI BEBASKAN 2107 TAHANAN PAKISTAN

96
SHARES
310
VIEWS

Dalam pertemuan bersejarah antara Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dalam siri lawatan Putera Mahkota ke rantau Asia turut membincangkan mengenai pembebasan tahanan Pakistan yang berada di penjara Arab Saudi.

Imran membuat permintaan khas tersebut kepada Putera Mahkota dan memohon Baginda agar melayan dan melihat kehadiran buruh Pakistan yang bekerja di Saudi sebagai rakyatnya sendiri.

Dalam pertemuan tersebut, Putera Mahkota turut berjanji untuk melakukan apa sahaja yang termampu untuk rakyat Pakistan yang tinggal di negaranya dengan menyatakan “Kita tidak boleh mengatakan tidak kepada Pakistan, apa sahaja yang boleh kita lakukan, kita akan usahakan”.

Selepas perkembangan positif tersebut, Menteri Penerangan Pakistan, Fawad Chaudhry turut mengumumkan bahawa Putera Mahkota Saudi memerintahkan supaya segera dibebaskan lebih 2,000 tawanan Pakistan di penjara Saudi.

Malah Imran dalam tweet-nya hari ini mengatakan bahawa Putera Mahkota;

“Telah memenangi hati rakyat Pakistan tatkala Baginda berkata, ‘Anggaplah Beta sebagai Duta Besar Pakistan untuk Arab Saudi’ sebagai tindak balas saya meminta beliau merawat 2.5 juta orang Pakistan yang bekerja di negaranya sebagai rakyatnya sendiri.”

Sementara itu, Menteri Luar Negeri Shah Mehmood Qureshi juga menyatakan bahawa Putera Mahkota  Saudi telah bersetuju untuk membebaskan tahanan Pakistan dengan segera manakala kes-kes lain akan dikaji semula.

Beliau turut berkata rakyat Pakistan mengucapkan terima kasih atas perkenan Baginda terhadap permintaan khas Perdana Menteri mereka.

Sebagai rekod, lawatan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman ini adalah yang pertama dilakukan sejak Baginda dilantik sebagai Putera Mahkota Arab Saudi oleh Ayahandanya, Raja Salman Al Saud.

Keluarga DiRaja Al Saud di Arab Saudi ini diberi amanah menjaga dua kota suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah dan keluarga mereka memberikan sumbangan yang besar buat umat Islam di seluruh dunia sejak dahulu lagi termasuk Malaysia sendiri.

Antaranya adalah memberi sumbangan sebanyak US$115 bilion kepada 90 buah negara Islam sejak 10 tahun lepas, iaitu sekitar RM470 bilion.

Justeru Malaysia wajar meneruskan hubungan erat dengan kerajaan Arab Saudi yang telah terjalin sebelum ini dan bukannya asyik menimbulkan konflik dengan penutupan King Salman Centre, dan menarik balik tentera membantu Pakatan Arab.

Termasuk kenyataan kurang cerdik menuduh tentera Malaysia membantu Saudi mengebom Yemen, yang secara tidak langsung turut menuduh Saudi sebagai tidak berperikemanusiaan.

Ini hanya akan mengeruhkan hubungan bilateral antara negara yang sepatutnya dielakkan, apatah lagi dalam masa yang sama kita tetap ingin mereka membantu negara terutamanya dalam urusan Haji.

Semoga Malaysia dapat belajar bagaimana cara diplomasi berkesan yang diamalkan oleh Imran Khan, Perdana Menteri Pakistan sehingga  banyak permintaan beliau ditunaikan oleh Tengku Mahkota Saudi, Mohammed Bin Salman.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts