Oleh Anuar Shaari
Tumbang sahaja kerajaan Pakatan Harapan, kita melihat Malaysia kembali menjadi tumpuan media asing yang berat sebelah. Akhbar ‘The Guardian’ telah menuduh apa yang berlaku dua minggu lepas (pertukaran kerajaan Malaysia) sebagai rampasan kuasa Diraja. Akhbar ini mengaitkan keluarga Diraja sebagai perancang utama rampasan kuasa.
2. Seorang wakil rakyat United Kingdom Jim Shannon dari Democratic Union Party pula menyokong akhbar ini secara terbuka dan berbicara mengenai pertukaran kerajaan Malaysia. Bicaranya membayangkan seolah-oleh institusi monarki Malaysia sangat kejam terhadap rakyat sendiri.
3. Hari ini pula tular di media sosial konon satu kelompok masyarakat ‘berdoa’ agar regim Pakatan Harapan kembali merampas tampuk pemerintahan Malaysia dengan segera. Tambahnya ini bagi mengembalikan keadilan di Malaysia.
4. Mereka (media dan sumber antarabangsa) ini berlagak seolah-olah tahu apa yang berlaku di Malaysia walhal mereka tidak berada di sinipun sama sekali. Tentu sahaja ini mengingatkan kita fitnah-fitnah jahat sumber antarabangsa seperti Sarawak Report sebelum PRU-14.
5. Claire Brown Rewcastle dari Sarawak Report pernah menjadi pakar rujuk hal ehwal Malaysia oleh Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan, Mahathir, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dan yang bersekutu dengannya. Mereka menjadikan laporan Sarawak Report seperti ‘kitab suci’ seratus peratus betul dan mesti dipercayai oleh semua rakyat Malaysia.
6. Sarawak Report memfitnah institusi monarki di Malaysia dengan mengaitkan keluarga Diraja dengan isu 1MDB. Sarawak Report telah menyerang UMNO seolah-olah UMNO itu parti ‘super ultra’ Melayu. Demikian juga PAS, tidak terlepas dari fitnah mereka. Namun bila disaman oleh keluarga Diraja, UMNO dan PAS, Sarawak Report kalah di mahkamah.
7. Realitinya, laporan Sarawak Report hanya layak masuk ke bakul sampah saja. Laporannya adalah fitnah serta memecah-belahkan masyarakat Malaysia. Konon berpaksikan kebebasan maklumat, mereka membuat fitnah secara ‘berjemaah’. Sumbernya adalah rakyat Malaysia yang jahat dan khianat serta punya agenda peribadi.
9. Hasilnya ramai rakyat Malaysia yang termakan fitnah ‘orang luar’. Lebih parah, hal ini terjadi kerana ada pengkhianat di kalangan rakyat Malaysia sendiri yang sanggup bersekongkol dengan orang luar menjahanamkan Malaysia. Pengkhianat ini langsung tidak memikirkan kestabilan negara. Rakyat akan terkesan secara langsung jika negara tidak stabil.
10. Kini hal yang sama akan berulang. Segalanya seperti diatur dengan teliti oleh pihak yang berkepentingan. Serangan-serangan dari media luar telah bermula. Mungkin campur tangan luar juga telah ditagih pemimpin-pemimpin yang kecewa kehilangan kuasa. Mereka lebih rela bersekongkol dengan musuh-musuh agama, bangsa dan negara di luar sana demi memenuhi agenda peribadi.
11. Selepas ini bakal muncul NGO-NGO yang berpangkalan di luar negara mencampuri hal ehwal dalaman politik Malaysia. National Democratic Institute (NDI), International Institute of Republican (IRI), Konrad De Adenuer Stiftung, Open Dialogue Society dan banyak lagi bakal kembali ke Malaysia menaja kader-kader politik pembangkang di Malaysia.
12. Tidak mustahil juga mereka akan muncul dengan nama lain yang lebih ‘fresh‘ tetapi sumber dan peranannya yang tetap sama. Objektif mereka adalah untuk ‘menyediakan’ rakyat Malaysia yang boleh mengikut telunjuk mereka. Mereka langsung tidak pedulikan aspirasi dan kehendak masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
13. Kita telah melihat kesan fitnah media-media asing sehingga pemikiran rakyat Malaysia terpesong. Asas perpaduan yang disediakan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan yang memahami aspirasi Malaysia telah dilupakan. Nilai perpaduan dan pemikiran yang diterapkan oleh media serta NGO-NGO asing adalah mengikut acuan mereka.
14. Nilai kesamarataan mereka amat tidak sesuai dengan keperluan negara kita. Maksud kebebasan mereka juga amat bertentangan dengan agama dan budaya kita. Apa yang biasa bagi mereka mungkin luar biasa bagi kita. Apa yang boleh bagi mereka, mungkin tidak dibenarkan sama sekali oleh agama dan budaya kita di Malaysia.
15. Oleh itu, kita mesti kekal bersatu menolak campur tangan asing di negara kita. Prinsip Rukun Negara harus kita dukung. Segala tafsiran kebebasan dan hak asasi manusia mestilah mengikut acuan kita. Saling bertolak ansur dan memahami adalah teras utama masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum.
Meruntuhkan apa yang telah dibina amatlah mudah. Mungkin 22 bulan lebih dari cukup untuk melakukannya. Namun membina kembali apa yang telah dimusnahkan itu, tidak mudah. Ia menuntut keazaman, semangat serta komitmen yang tinggi dari semua.
Ayuh!!! Kita halang sebarang bentuk campur tangan asing, sekaligus membina kembali Malaysia yang dicintai ini….
Dipetik dari laman blog “Anuar Shaari Menulis” di pautan:
http://anuar-shaari.blogspot.com/2020/03/pasca-kerajaan-perikatan-nasional-gps.html?m=1