KEPENTINGAN ‘GSPS’ DALAM PENTADBIRAN, POLITIK NEGARA

409
SHARES
1.3k
VIEWS

Menarik tulisan seorang penuntut tahun akhir Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS), UiTM bertajuk “Perang saraf & orang muda” yang disiarkan di akhbar Harian Metro, mengenai perang saraf dan kaitannya dengan anak muda dalam Pilihan Raya Umum (PRU). Umumnya, golongan ini yang paling ramai menggunakan media sosial untuk mendapatkan apa jua maklumat. Mereka juga cenderung meniru ‘idola’ atau individu yang menjadi ikutan serta secara tidak langsung boleh mempengaruhi pemikiran mereka. 

Menurut Monica Utari (2017), penyelidik yang menggunakan Teori Pemodelan Bandura antaranya berkata, “Media sosial wujud pengimitasian di mana pengguna media sosial mengikut serta mengimitasi perkara yang dilihat di media sosial” – kajian ke atas ‘influencer‘ serta pengguna atau pengikut di Instagram yang menyimpulkan dapatan tersebut, membuktikan kaitan rapat antara anak muda dan medium media baharu bukan sahaja Instagram, malah meliputi Facebook, Twitter dan juga TikTok. 

Selain itu, Hafidzul Hilmi Mohd Noor yang merupakan wartawan Harian Metro juga mengatakan “kestabilan negara hari ini boleh ditentukan oleh anak muda“. Tentu, selaku anak muda beliau juga mempunyai pandangan yang hampir sama dengan mereka yang lain mengenai penggunaan media sosial. Bezanya beliau lebih arif mengenai perang saraf, sama ada teori atau pelaksanaannya, berbanding anak muda lain yang meletakkan kebergantungan mereka dalam mencari dan menyampaikan maklumat di media sosial, tanpa mengetahui sumber dan juga tujuan maklumat tersebut ditularkan.

Beliau juga memberi penekanan mengenai ‘warna’ dalam propaganda yang amat penting buat GSPS, iaitu lebih baik maklumat yang diterima disaring terlebih dahulu bagi menentukan kesahihannya. Tujuannya agar pembaca muda yang lebih cakna dengan media sosial ini tidak terpengaruh dengan ‘grey‘ atau ‘black propaganda‘. Sebagai contoh, mengenai “penipuan yang diulang-ulang akhirnya akan dipercayai” oleh Goebbels juga sebenarnya tidak bersumberkan mana-mana rujukan. Rujuk, “False Nazi Quotations” di pautan; https://www.bytwerk.com/gpa/falsenaziquotations.htm serta https://truthisthegreatestenemyofthestate.blogspot.com/?m=1 oleh penyelidik, seorang Profesor Komunikasi, Randall L. Bytwerk yang menumpukan kajiannya mengenai propaganda Nazi dan Jerman Timur. 

Beliau berhujah bahawa Hitler mahupun Goebbels tidak akan mengaku mereka berbohong. Malah menurutnya Goebbels sendiri sentiasa berpendapat bahawa “propaganda harus benar” tetapi itu tidak bermakna beliau tidak berbohong. Hanya propagandis amatur yang akan mengumumkan secara terbuka bahawa beliau akan berbohong. Selain membetulkan fakta mengenai ucapan Goebbels, ia juga sebagai contoh ‘counter-narrative‘ yang amat penting dalam GSPS. Realiti di sebalik “penipuan yang diulang-ulang” yang kononnya diutarakan oleh Goebbels namun sebenarnya ia ‘diimplemantasi’ ke atas beliau sendiri membuktikan seni propaganda yang berwarna-warni. 

Bagi mereka yang biasa terlibat dengan gerak saraf perang saraf, masalah menyaring data dan maklumat sebegini tidak menjadi persoalan besar kerana mereka lebih memahami GSPS serta warna-warna propaganda yang ada, serta pembohongan atau fakta di sebaliknya. Perkara inilah sebenarnya yang mampu mengelirukan anak muda jika tidak berupaya menyaring data atau maklumat dengan berkesan. Lebih teruk jika ia diterima dan ditularkan sebagai benar, tetapi realiti adalah sebaliknya. Bukan sahaja langsung tidak menyemak kesahihannya malah ia diterima sebagai ‘fakta’ secara membuta-tuli. 

Sudahpun wujud pelbagai bukti di mana influencer, pemimpin dan individu berpengaruh termasuk pemuka masyarakat turut memadam siaran masing-masing apabila terkhilaf memuatnaik kandungan tidak benar atau menimbulkan keraguan. Bayangkan jika ia sengaja ditularkan untuk tujuan yang tidak baik seperti menghasut, melaga-lagakan dan juga merosakkan kredibiliti seseorang serta pembunuhan karakter. Kadang-kala maklumat sebegini sengaja disalurkan dengan “warna-warna propaganda” tertentu bertujuan agar pembacanya percaya dengan apa yang disampaikan.

Permasalahan ini boleh ditangani apabila individu, ahli akademik atau pihak jabatan di universiti yang mahir dengan GSPS, mereka sewajarnya dibawa menyertai “war room” terutamanya di pihak pemerintah atau kerajaan. Kepakaran mereka mampu untuk menguruskan pelbagai maklumat data raya serta mengenalpasti cara atau kaedah terbaik untuk menangani masalah lambakan data tidak benar yang mudah ‘diterima’ oleh masyarakat terutamanya anak muda yang cakna media sosial sebagai fakta.

Jika kerajaan hanya sekadar mengharapkan laman web sebenarnya.my sahaja dilihat amat tidak efektif terutamanya apabila tidak berlaku ‘engagement‘ dengan anak muda di media sosial. Oleh kerana itulah pakar GSPS yang berada di universiti inilah yang sepatutnya diberi peranan oleh pihak kerajaan untuk menjalankan GSPS bagi pihak mereka dalam membuat engagement dengan golongan sasar terutamanya anak muda. 

Sungguhpun begitu, wujud cabaran dalam implementasi kerana sehingga kini kerajaan masih dilihat gagal atau tidak berupaya untuk membuat engagement yang baik malah lebih teruk, mereka sendiri gagal mengawal persepsi masyarakat hasil daripada kesilapan sendiri. Sebagai contoh, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dilihat mengabaikan dan banyak kali gagal dalam memahami keperluan GSPS serta langsung tidak mahu memanfaatkan kelebihannya. Sejak dahulu lagi mereka dilihat lebih gemar memilih dan mendengar kata-kata para ‘penasihat’ politik termasuk agensi risikan negara berbanding berdepan dengan realiti semasa yang memerlukan pakar GSPS di media sosial. Ini berlaku sejak zaman kerajaan Barisan Nasional sehinggalah kerajaan Keluarga Malaysia. 

Usahkan GSPS, malah engagement yang diharapkan juga gagal dilakukan, di mana pasukan media PMO  sendiri gagal dalam mengenali asas prinsip perhubungan awam, apatah lagi jika mahu memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan terutamanya yang melibatkan imej Perdana Menteri – walaupun segala sumber bersama mereka. Rujuk artikel, “Kenapa PMO tidak gerakkan puluhan ribu ‘cytro’ sedia ada pertahan Perdana Menteri?” di pautan; https://editormalaysia.com/21370/.

Dalam artikel ini juga ada menyebut mengenai keperluan diwujudkan ‘war room‘ dalam kalangan pakar GSPS itu sendiri bukan hanya berlegar dalam kalangan penasihat politik yang malangnya tidak tahupun apa itu GSPS.

Justeru lebih baik PMO segera wujudkan satu ‘war room‘ khusus untuk kerja-kerja koordinasi dan ‘distribution‘ kepada portal berita, blogger serta puluhan ribu cytro pro kerajaan sedia ada yang sehingga kini dilihat ‘masih tidur’ atau menghilang entah ke mana. War room ini juga berperanan sebagai bilik GSPS yang amat diperlukan PMO apatah lagi Pilihan Raya Umum ke-15 bakal dijadualkan selewat-lewatnya akhir tahun ini.”

Artikel ini juga memperincikan mengenai “kumpulan cytro sedia ada” serta keperluan “counter-narrative” yang boleh digerakkan serta-merta yang sehingga kini masih tidak dimanfaatkan dalam membantu kerajaan. PMO atau pihak kerajaan seolah-olah tidak menyedari kewujudan dan keperluan kritikal gerak saraf perang saraf walaupun tahu kepentingan teknologi dan media sosial buat mereka. Oleh itu mereka sentiasa ketinggalan dan terpinga-pinga apabila pembangkang lebih cakna dan mengambil berat mengenai propaganda di media sosial walaupun ‘grey‘ dan ‘black‘ propaganda menjadi ‘makanan’ harian mereka (oleh kerana itulah Pakatan Harapan lebih mudah mendekati anak muda ketika menjadi pembangkang namun propaganda mereka tidak efektif ketika menjadi kerajaan).

Realitinya apa yang berlaku ketika ini ialah pihak kerajaan terutamanya PMO lebih gemar dan percaya dengan ‘penasihat’ dan war room politik semata-mata, termasuklah yang mencetuskan perbalahan baru-baru ini iaitu isu war room yang melibatkan agensi perisikan di Jabatan Perdana Menteri. Rujuk artikel, “War room Mahiaddin – Agensi risikan JPM beroperasi di luar pengetahuan Perdana Menteri” di pautan; https://editormalaysia.com/26447/ serta “Berapakah war room PRU-15 di bawah JPM dan PMO?” di pautan; https://editormalaysia.com/26749/ – yang kini ‘panas’ dalam kalangan penjawat awam dan ahli politik terutamanya pemerintah. 

Dikhuatiri, tanpa kumpulan cerdik pandai dan pakar GSPS bersama pihak kerajaan, segala maklumat yang sepatutnya disalurkan kepada Perdana Menteri dan kerajaan untuk disalurkan kembali kepada masyarakat tidak berlandaskan realiti semasa serta situasi terkini yang berlaku. Ini kerana para penasihat yang ada hanya akan menyampaikan “khabar gembira” kepada Perdana Menteri sedangkan realitinya sangat berbeza. Ini berlaku di PRU-14 apabila Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri tidak dimaklumkan data dan maklumat yang sepatutnya. Natijahnya sangat buruk sehingga menyebabkan kerajaannya tumbang. 

Perkara ini juga boleh dilihat ketika pemerintahan Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Perikatan Nasional yang tidak dimaklumkan maklumat sebenar mengenai data ahli-ahli parti mereka sendiri. Rujuk artikel, “Berapakah jumlah sebenar ahli Bersatu?” di pautan; https://editormalaysia.com/21532/ yang memberi contoh bagaimana bekas Perdana Menteri itu ‘dibelasah’ teruk oleh netizen di laman Facebook Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi. Serta persoalan kenapa cytro kerajaan hanya berdiam diri walaupun dana berjumlah 45 juta ringgit telah dilulus dan disalurkan kepada J-KOM, jabatan komunikasi kerajaan yang dijenamakan semula daripada JASA – yang menjalankan fungsi khusus “white propaganda” bagi pihak kerajaan.

Selain itu, lihat juga contoh bagaimana pihak PMO sendiri seolah-olah cuba mensabotaj Perdana Menteri sehingga dimalukan, di pautan; https://editormalaysia.com/23392/ yang menjadi bukti bahawa PMO bukan sahaja gagal dalam asas perhubungan awam malah tidak mampu membantu Perdana Menteri mencipta ‘persona’ yang lebih baik. Jawapan lebih baik ialah mungkin PMO sendiri tidak tahu bahawa perhubungan awam itulah sebenarnya propaganda maka oleh kerana itulah ia tidak mampu dimanfaatkan. 

Justeru, CMIWS ini perlu dilibatkan, setidak-tidaknya tenaga pengajar mereka dibawa bersama dalam perbincangan yang melibatkan gerak kerja tertentu dalam menyaring dan menyampaikan maklumat serta membuat counter-narrative bagi pihak kerajaan. Malah semua kementerian boleh dibantu oleh “war room GSPS” ini yang bertindak sebagai kumpulan konsultan yang tidak berperanan untuk ‘favour‘ urusan politik mana-mana pemimpin namun khidmat mereka boleh digunakan jika diperlukan. Dengan dana yang ada, tidak mungkin sebuah war room khusus membantu GSPS tidak boleh diwujudkan segera. 

Kesimpulannya, GSPS atau gerak saraf perang saraf ini cukup penting bukan sahaja untuk mendepani anak muda tetapi juga bagi keperluan rakyat seluruhnya. PMO juga memerlukannya bukan lagi bergantung harap kepada penasihat dan war room politik semata-mata. Ia juga diperlukan sepanjang masa bukan hanya bila tiba musim pilihan raya.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts