PMO SABOTAJ MUHYIDDIN?

556
SHARES
3.3k
VIEWS

Isu yang hangat dan saling terkait sehari dua ini adalah mengenai tiga perkara. Isu pertama mengenai ketetapan Sidang Parlimen yang perlu dibuat sebelum 1 Ogos dan isu kedua pula adalah mengenai ‘kendurian’ atau “kenduri durian” yang dihadiri oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang turut disertai oleh belasan individu yang lain.

Isu ketiga pula dan paling menarik perhatian sehingga menenggelamkan kedua-dua isu di atas adalah mengenai Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin yang tidak sihat akibat diarea atau cirit-birit dan terpaksa dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan.

Rentetan peristiwa tersebut beliau juga terpaksa menangguhkan pertemuan dengan YDP Agong serta Mesyuarat Kabinetnya.

Isu Perdana Menteri tidak sihat dan dimasukkan ke hospital ini isu biasa di seluruh dunia namun isu yang luar biasa dan hanya berlaku di Malaysia adalah apabila Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat kenyataan media yang tidak sepatutnya sehingga mengaibkan Perdana Menteri. 

‘Ketelanjuran’ PMO ini boleh dielakkan jika mereka yang bertanggungjawab di unit media dan komunikasi PMO ini bertindak cerdik sedikit dengan hanya memaklumkan bahawa Perdana Menteri kurang sihat dan perlu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. 

Sepatutnya mereka keluarkan sahaja kenyataan ‘selamat’ seperti “Perdana Menteri dibawa ke hospital namun keadaan beliau stabil dan tidak membimbangkan…” atau “Perdana Menteri kini dirawat di hospital kerana tidak sihat sejak semalam dan akan meneruskan tugasan seperti biasa…” atau apa jua yang sesuai, kecuali cirit-birit. 

Setidak-tidaknya tidaklah kena ‘troll‘ teruk oleh netizen di mana sahaja sehinggakan hashtag #PMcirit  dan #kerajaancirit menjadi trending di laman sosial.

Hal ini menjadi semakin parah apabila media antarabangsa seperti Reuters juga memetik kenyataan akhbar oleh PMO sehingga perkara memalukan Perdana Menteri ini kini diketahui dunia.

PMO sepatutnya lebih berhati-hati agar sebarang kenyataannya tidak menyebabkan Perdana Menteri sendiri disalah anggap dan diaibkan, serta tidak boleh membuka ruang untuk beliau dipersenda. 

Tetapi entah mengapa, sejak Perikatan Nasional memerintah, individu yang ditugaskan di unit media dan komunikasi PMO itu seperti tidak tahu membuat kerja. 

Bahkan ini bukan kali pertama mereka gagal mengeluarkan kenyataan bijak atau lebih selamat malah titah YDP Agong untuk mempercepatkan Sidang Parlimen sebelum ini juga gagal dikendalikan dengan baik oleh PMO.

Sedangkan ada pelbagai cara dan naratif boleh digunakan untuk menyampaikan maksud yang sama tetapi tidak dilihat negatif oleh masyarakat.

Sungguhpun begitu, mengenai penyakit cirit-birit ini, ia sememangnya tidak boleh dipandang ringan. Pada 2009, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah mengisytiharkan cirit-birit sebagai penyebab kematian kedua tertinggi dalam kalangan kanak-kanak, yang telah menyebabkan 1.5 juta kanak-kanak kehilangan nyawa di seluruh dunia. 

Rujuk pautan;

http://www.myhealth.gov.my/cirit-birit-3/

Justeru diharapkan Tan Sri Mahiaddin Yassin akan segera sembuh dan segera merombak PMO terutama unit medianya yang seolah-olah mahu mensabotaj beliau –kerana tidak mungkin Perdana Menteri selesa dan reda dengan hashtag memalukan yang kini menjadi trending

Jika tidak, gantikan sahaja individu yang bertanggungjawab tersebut dengan mereka yang cerdik sedikit. Tidak mungkin tiada individu yang boleh membantu Perdana Menteri mencipta ‘persona’ yang lebih baik.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts