Gabenor Sarawak Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud hari ini berkata hubungan rapat antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Perpaduan akan terus membawa banyak manfaat kepada rakyat.
Beliau dipetik Bernama berkata, “Saya gembira dengan sokongan daripada pihak Kerajaan Sarawak, Kerajaan Perpaduan boleh dibentuk. In Sha Allah, kerajaan yang stabil mampu mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat.“
“Saya juga berharap Kerajaan Perpaduan akan segera menyelesaikan tuntutan Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan), Perlembagaan Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.
Tun Taib turut yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membawa negara ke tahap yang lebih tinggi. Beliau berucap ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri ke-19 di sini hari ini, seperti dilapor Bernama.
Tun Taib turut memuji Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperkenalkan inisiatif pembangunan strategik bagi merancakkan ekonomi negeri.
Malah, katanya ekonomi baharu berasaskan teknologi hijau juga telah menarik banyak pelaburan ke Sarawak selain dapat membantu melindungi dan memelihara alam sekitar.
“Perniagaan dan penyelidikan karbon oleh Pusat Biodiversiti Sarawak telah menghasilkan sumber ekonomi baharu yang akan menggandakan bukan sahaja pendapatan Sarawak tetapi bakat anak-anak Sarawak khususnya dalam bidang perkhidmatan dan kesihatan. Sarawak mengamalkan ekonomi terbuka, dan banyak peluang perniagaan serta pekerjaan berkualiti disediakan.”
“Justeru, saya menyeru rakyat khususnya golongan muda supaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran,” katanya lagi.
Abdul Taib berkata hak rakyat juga akan sentiasa dipelihara sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial yang dilihat sebagai tonggak perpaduan dan toleransi kaum. Sidang Dewan Undangan Negeri akan berlangsung selama lapan hari sehingga 24 Mei ini dengan tiga rang undang-undang akan dibentangkan iaitu RUU Perbekalan Tambahan 2022, RUU Perbekalan Tambahan (2023) dan RUU Majlis Kraf Sarawak 2023.
Sebanyak 375 soalan telah disenaraikan untuk dibangkitkan pada persidangan itu, 305 daripadanya sebagai soalan lisan dan 70 lagi untuk jawapan bertulis.