PERDANA MENTERI, KERAJAAN PERLU LEBIH TEGAS LINDUNGI PEMBERI MAKLUMAT

66
SHARES
213
VIEWS

Isu mengenai jaminan dan keselamatan kepada pemberi maklumat sepatutnya diambil berat oleh kerajaan dan bukannya hanya sambil lewa sehingga sama ada identiti mereka dibocorkan ataupun jika dikenali, beliau akan menerima intimidasi tertentu, yang sepatutnya boleh dielakkan.

Seperti mana dalam isu pelantikan semula Tan Sri Azam Baki, di mana Pengerusi Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) Edmund Terence Gomez telah mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan agar lebih serius dan tidak sambil lewa dalam melindungi pemberi maklumat. Rujuk pautan; https://editormalaysia.com/29706/

Dalam isu berkaitan, ada maklumat bahawa wujud dakwaan ada individu yang melaporkan kes rasuah bekas majikannya secara dalam talian kepada SPRM telah dibocorkan. Perkara ini hanya diketahui lama kemudian apabila bekas majikannya itu menelefon dan memaki hamun pengadu atau pemberi maklumat tersebut kerana ‘memfitnah’nya. Namun timbul persoalan jika benar difitnah, kenapa beliau tidak berani membuat laporan polis sehingga ke hari ini?

Bekas pekerjanya hairan bagaimana laporan SPRM ke atas bekas majikannya boleh dibocorkan malah terang-terangan namanya disebut sebagai pengadu. Sedangkan bukankah identiti pengadu atau pemberi maklumat ini sepatutnya dirahsiakan? Malah, jika laporan itu tidak benar, tindakan sewajarnya boleh diambil ke atas mana-mana pengadu jika ada yang membuat laporan palsu. 

Namun misteri bagaimana aduan atau laporan dalam talian itu boleh dibocorkan terungkai apabila bekas majikannya itu secara terbuka menyebut nama seorang pegawai tertinggi SPRM sebagai kawannya. Tidak kisah sama ada beliau berniat untuk menggertak bekas pekerjanya, namun itu boleh menjadi bukti bagaimana aduannya boleh dibocorkan.

Namun, mujurlah bekas pekerjanya itu ada membuat rakaman pengakuan tersebut dan tidak akan teragak-agak mendedahkannya, dengan tujuan melindungi diri sendiri jika bekas majikannya itu masih mahu melakukan intimidasi berterusan ke atasnya. Beliau juga sudah tidak mahu mengambil peduli laporan yang disebutkan oleh bekas majikannya itu kerana menurutnya, jika benar beliau berkawan baik dengan pegawai tertinggi SPRM itu, tentu laporan tersebut tidak akan ke mana.

Apapun, hal ini membuktikan bahawa wujudnya ketirisan melampau yang boleh menjejaskan identiti pemberi maklumat, yang sepatutnya Perdana Menteri dan kerajaan titikberatkan. Malah ini juga selari dengan apa yang didesak Edmund dan C4 iaitu agar kerajaan mengambil berat isu ini dan janganlah hanya sambil lewa seperti melepaskan batuk di tangga. 

Kesimpulannya, semua pihak termasuk Perdana Menteri, SPRM serta NGO termasuk C4 wajar duduk semeja bagi mencari jalan bagaimana mahu melindungi setiap pemberi maklumat. Ini bagi memastikan fakta dapat dijelaskan dan kebenaran dapat diungkapkan. Ia juga amat penting agar tidak lagi wujud intimidasi ke atas pemberi maklumat, terutamanya jika melibatkan individu yang berpengaruh. 

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts