FENOMENA BARU PASCA PRN – DR. RAMALAN YUNUS

199
SHARES
641
VIEWS

Sudah dua minggu saya berada di luar negara. Berulang alik dari Singapura – Batam – Jakarta. Setiap kali menemui rakan-rakan pasti ditanya mengenai perkembangan politik dan ekonomi negara.

Singapura sedang panas dengan kes rasuah seorang menteri dan seorang ahli perniagaan dari Malaysia. Di Indonesia pula rancak dengan cerita-cerita pemilihan calon Presiden dan calon Wakil Presiden untuk tahun 2024.

Calon Presiden yang agak menonjol adalah Ganjar Pranowo, Gabenor Jawa Tengah selain dari Prabowo Subianto, Menteri Pertahanan dan Anes Baswedan, Gabenor Jakarta. Manakala calon Wakil Presiden yang agak menonjol pula pada kali ini adalah Erick Thohir, Menteri Badan Usaha Milik Negara.

Saingan beliau yang paling kuat setakat ini adalah bekas rakan perniagaannya sendiri iaitu Sandiaga Uno, Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif.

Apabila ditanya mengenai pendirian politik saya sama ada saya pro kepada kerajaan atau pro kepada pembangkang, saya memilih untuk menjawab bahawa saya pro kepada kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Ini kerana sebagai seorang ahli kewangan dan ahli perniagaan, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat itu penting buat saya.

Saya ditanya, apa yang akan berlaku sekiranya Kerajaan Perpaduan kalah dalam PRN nanti? Saya tidak ada masalah pihak mana yang akan menang atau kalah dalam PRN nanti. Apa yang penting adalah wujud kestabilan politik dan pihak yang menang mampu memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

Jawapan saya, ada dua kemungkinan. Pertama, Kerajaan Perpaduan akan terus kekal mentadbir sehingga akhir penggal biarpun kalah dalam PRN nanti. Kedua, Kerajaan Perpaduan akan tumbang kerana sudah hilang populariti selepas PRN nanti.

Namun saya tidak fikir PN akan menggantikan Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negara walaupun Kerajaan Perpaduan tumbang selepas PRN nanti.

Ini kerana berdasarkan kepada situasi politik dan ekonomi semasa yang semakin gawat, jalan terbaik adalah dengan menggantung Parlimen dan mengisytiharkan darurat kembali. Pentadbiran negara tidak boleh dibiarkan terus berada di tangan para elit politik yang berkepentingan.

Sudah terbukti semenjak PRU-14 lagi, pihak manapun yang dipilih dan dilantik untuk mentadbir negara tetap gagal untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka untuk menstabilkan politik dan memulihkan kembali keadaan ekonomi.

Ini menunjukkan bahawa proses politik yang menjadi amalan biasa tidak boleh lagi diharapkan untuk menyelesaikan pelbagai konflik dan krisis yang sedia ada. Adalah tidak masuk akal untuk membiarkan keadaan seperti hari ini terus berlarutan.

Dengan hutang negara yang kini sudah berjumlah sebesar RM1.5 trilion, bajet defisit selama 25 tahun, pasaran saham merudum, nilai ringgit yang terus merosot dan iklim ekonomi global yang masih tidak menentu, negara sebenarnya berada dalam keadaan yang cukup kritikal.

Saya kira pihak Istana Negara dan juga Majlis Raja-raja Melayu sedar mengenai perkara seperti ini. Barangkali Majlis Raja-raja Melayu sendiri sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku pasca PRN.

Saya kira sudah sampai masanya amalan politik yang menjadi kebiasaan direhatkan buat sementara waktu. Sebuah Jawatankuasa Khas yang terdiri dari individu yang berkemampuan untuk mentadbir negara dan memulihkan kembali keadaan ekonomi harus ditubuhkan.

Seorang tokoh negarawan yang dihormati oleh semua pihak harus dilantik untuk mengetuai Jawatankuasa Khas tersebut.

Tokoh besar ini penting bukan sahaja untuk menstabilkan keadaan di dalam negara bahkan untuk memulihkan kembali keyakinan para pelabur antarabangsa terhadap negara. Langkah-langkah pemulihan yang agak radikal, drastik dan holistik perlu diperkenalkan dan dilaksanakan.

Ini kerana kita sedang berhadapan dengan situasi yang agak luar biasa. Maka solusinya juga harus bersifat luar biasa.

Menurut perkiraan saya dengan penumpuan yang khusus kita memerlukan sekurang-kurangnya 3 hingga 5 tahun untuk memulihkan kembali keadaan ekonomi dan membina kecemerlangan baru. Itu kalau dengan penumpuan yang khusus, bayangkan kalau keadaan seperti hari ini dibiarkan berlarutan? Saya yakin kita akan menjadi sebuah negara yang gagal.

Apapun semua pihak tidak perlu merasa takut dan gentar dengan perkembangan yang bakal berlaku. Ini kerana negara mempunyai sumber dan potensi yang mencukupi untuk bangkit dan membina kecemerlangan baru dalam bidang ekonomi.

Apa yang diperlukan pada masa ini hanyalah sebuah pasukan yang benar-benar tahu apa yang seharusnya dilakukan di dalam zaman baru ini.

Di dalam zaman baru ini kita tidak ada pilihan lain selain dari melihat kepada model pentadbiran dan model baru ekonomi China iaitu “Authoritarian Capitalism“.

Sudah terbukti dengan model tersebut hanya dalam tempoh 40 tahun sahaja China telah berjaya mengangkat 800 juta rakyatnya dari berada di bawah paras kemiskinan menjadi golongan pertengahan.

Ini suatu pencapaian yang sangat luar biasa yang dapat dilakukan oleh sebuah negara besar seperti China. Sesuatu yang tidak akan mampu dilakukan oleh Amerika dan negara-negara Eropah.

Mungkin kita sudah perlu ada satu dasar luar negara yang baru iaitu dasar pandang ke China pula.

Persoalannya sekarang sama ada senario yang saya gambarkan ini boleh menjadi kenyataan ataupun tidak mungkin bergantung kepada keputusan yang bakal diperolehi pada PRN nanti.

Dato’ Dr Ramalan Yunus

Penganalisis politik & ekonomi bebas

17 Julai 2023

Facebook
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts