Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan kehadiran Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing, pada satu program kempen Pakatan Harapan (PH) di Johor tidak mewakili pendirian rasmi gabungan itu.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyertaan Tiong dalam program berkenaan dibuat atas kapasiti peribadi dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan GPS.
Menurut beliau, GPS kekal dengan pendirian tidak campur tangan dalam pilihan raya atau urusan politik di negeri-negeri lain, selaras dengan prinsip yang dipegang gabungan berkenaan sejak penubuhannya.
“Kehadiran beliau tidak harus ditafsirkan sebagai penglibatan GPS dalam kempen politik di Johor atau mana-mana negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Penjelasan itu dibuat susulan perhatian yang tercetus selepas Tiong dilihat menghadiri Himpunan Mega PH di Muar pada Ahad yang turut menampilkan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik, termasuk dakwaan bahawa ia memberi isyarat kepada hubungan yang semakin erat antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bagaimanapun, Abdul Karim menolak sebarang spekulasi yang mengaitkan GPS dengan aktiviti kempen tersebut dan menegaskan dakwaan sedemikian tidak berasas.
GPS yang dianggotai PBB, PDP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) merupakan antara komponen utama yang menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, namun kekal sebagai gabungan politik berteraskan Sarawak.






