Kerajaan Pakatan Harapan wajar mewujudkan satu kursus atau pengajian khas yang ditawarkan untuk membantu para Menteri dan Timbalan Menteri Pakatan Harapan memahami selok-belok pentadbiran awam negara.
Ini kerana kebelakangan ini Menteri-menterinya dikecam hebat termasuk oleh Tun Daim sendiri dan juga timbul isu ijazah dari universiti ‘cap ayam’ yang dikenali sebagai ‘degree mills‘, atau tidak mempunyai kelayakan sepatutnya tetapi dipamerkan mempunyai kelayakan universiti tertentu.
Kursus ini bertujuan sebagai ‘serampang dua mata’ iaitu selain matlamatnya untuk memberi pendedahan dan cara mentadbir negara dengan baik dan berkesan, ia juga berfungsi untuk menganugerahkan mereka kelulusan tulen keluaran universiti tempatan, tentunya yang mempunyai akreditasi.
Pengajian tersebut bertaraf Ijazah Kepujian atau Master dan boleh diubahsuai mengikut masa para Menteri dan Timbalan Menteri, yang akan dilaksanakan secara ‘andragogi’ atau pendidikan dewasa secara dua hala, namun dibolehkan untuk diambil secara online sahaja.
Jangkaan outcome daripada kursus ini, para Menteri dan Timbalan Menteri Pakatan Harapan diharapkan dapat menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan saksama, tanpa terganggu dengan hal-hal remeh yang ditimbulkan oleh pembangkang.
Kursus ini perlu dimandatorikan serta-merta kerana boleh dikatakan setiap Menteri dan Timbalannya ketika ini kerap membuka ruang untuk di-troll dan dipertikai sepanjang masa.
Diversion seperti ini amat merugikan negara dan memberi kesan terus kepada rakyat di mana saban hari rakyat mengeluh, manakala Menteri pula berpeluh-peluh hendak berdalih apabila kena troll.
Dalam kursus tersebut akan diajar mengenai bagaimana untuk ‘memulakan troll’ dan ‘menjawab troll’ dengan berkesan dan menepati sasaran agar tidak dimalukan berterusan terutamanya oleh Datuk Seri Najib.
Taktik DSN amat berkesan kerana troll beliau yang menggunakan fakta mendapat sokongan padu rakyat terutamanya golongan muda dan Menteri Pakatan Harapan perlu diajar untuk menangani isu mendesak ini dengan berkesan.
Apatah lagi insiden malam tadi di Tesco Semenyih yang memperlihatkan DSN diserbu mengalahkan artis K-Pop, oleh rakyat yang muak ditipu berterusan.
Bagi portfolio Menteri Perpaduan, akan ditambah dengan sijil khas The Complete Idiot’s Guides About Race & Culture in Malaysia agar sesiapapun di jawatan ini tidak akan segan-segan memberi kenyataan perkauman dan memecah-belahkan rakyat kerana boleh memberi alasan masih belum khatam buku panduan ‘Idiot’s Guides‘ tersebut.
Jika selepas tamat pengajianpun masih ada yang tidak pandai mentadbir kementerianpun tidak mengapa, sekurang-kurangnya kesemua mereka sudah mempunyai sijil akademik yang tulen.