MALAYSIAKINI KATA TUN M MENYINDIR?

209
SHARES
673
VIEWS

Oleh Mohd Puad Zarkashi

4 Mei 2019

Tun M kata, kerajaan PH sedang fikir untuk ubah waktu kerja dari siang yang panas terik kepada malam (lapor Malaysiakini). PH akan pasang lampu LED dan bolehlah tanam padi waktu malam.

Kos elektrik guna LED tidak mahal sangat. Patutkah seorang Perdana Menteri berkata sedemikian?

Portal Malaysiakini melaporkan, ia adalah sindiran Tun M kepada mereka yang malas bekerja. Saya yakin ia bukan sindiran. PM sejak akhir ini memang suka cakap melalut. Kalau orang lain yang cakap sudah tentu Malaysikini akan spin negatif.

Tetapi kerana PM yang cakap, Malaysiakini kata ia adalah sindiran.

Apakah selama ini pesawah padi, penoreh getah dan pekebun sawit merungut bekerja di siang hari? Mereka merungut bukan kerana panas terik tetapi kerana harga padi, sawit dan getah yang semakin jatuh. Apa kerajaan PH buat?

Takkan mereka nak ikut cakap Menteri Menteri PH yang “bungol” kerana suruh tanam buloh, tanam ganja dan minum minyak kelapa sawit.

Perbandingan Tun M dengan mereka yang main golf waktu malampun tidak tepat. Mereka main golf di waktu malam kerana ada pilihan kerana kemudahan itu disediakan. Golongan inipun ada pekerjaan dan ada duit.

Samalah juga orang yang pergi gym dan jogging di waktu malam. Mereka bekerja di siang hari dan balik lewat petang sebab itu mereka beriadah di waktu malam.

Satu lagi komen melalut Tun M ialah dia mahu rakyat bekerja keras dan jangan mengharap wang percuma. Memanglah rakyat mahu bekerja. Tapi mana pekerjaannya? Kerajaan PH berjanji untuk menyediakan satu juta peluang pekerjaan kalau memerintah.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Berbelas ribu pula rakyat kehilangan pekerjaan. Beberapa agensi ditutup dan projek seperti MRT3 dibatalkan.

Berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) hampir 22% graduan 2018 atau 54,103 siswazah adalah penganggur. Ramai yang bekerja sampai malam membawa teksi Grab. Mereka bukan mahu wang percuma. Mereka mahukan pekerjaan.

Tidak timbul mereka tidak mahu bekerja di siang hari yang panas apatah lagi mereka menjadi mangsa pembohongan janji PH untuk menghapuskan hutang PTPTN.

Pokoknya Tun M semakin memperbanyakkan musuh. Bukan sahaja Istana, mufti, penjawat awam, graduan tetapi juga rakyat yang dibohongi termasuk pesawah yang dikatakan malas bekerja di siang hari.

Tapi tidak tahulah kalau PM sendiri mahu bekerja di waktu malam dan boleh berehat tidur di waktu siang. Tun M kata kerja siang amat “stress” berbanding malam. Semoga dia tidak stress.

Apatah lagi Anwar dan Muhyiddin bekerja siang dan malam.

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts