Status Facebook Dr. Mujahid bertarikh 26 Jun 2019, amat mengguris perasaan banyak pihak, dan MUAFAKAT melihat kenyataannya itu keterlaluan kedangkalan beliau, malah tidak sepatutnya keluar dari seorang Menteri Agama.
Dengan begitu banyak kontroversi yang ditimbulkan oleh YB Mujahid, bermula dari isu LGBT melibatkan pondan, gay, homoseksual, juga kenyataan beliau tangkap khalwat isu peribadi, isu Tabung Haji dan terkini sekembalinya dari lawatan ke negara China, beliau begitu gopoh tanpa usul periksa bagaikan jurucakap kepada golongan kafir harbi komunis China dengan mengatakan keganasan terhadap Uighur sebagai berita palsu.
Malah beliau terang-terangan menyokong tindakan Regim Komunis China cara membanteras keganasan dengan kaedah penempatan secara paksa, yang disyaki ke pusat latihan tetapi sebenarnya adalah kem tahanan. Dan kem tahanan yang dikatakan pusat latihan itu menempatkan sehingga lebih sejuta umat Islam dari etnik Uighur sahaja.
Isu umat Islam Uighur bukanlah perkara baru, penindasan ini telah berlaku sejak tahun 2009 lagi dan menjadi perhatian dunia apabila pada tahun 2015 satelit Amerika merakam gambar penempatan kem tahanan tersebut. Dari sumber tahanan yang berjaya melarikan diri – penahanan yang dilakukan adalah tanpa mengira usia dan latar belakang, yang semuanya disumbatkan atas alasan membanteras keganasan.
Justeru kita ingin bertanya kepada Mujahid adakah kanak-kanak dan warga emas juga dikira sebagai pengganas yang berupaya memberi ancaman besar kepada kuasa besar seperti Negara China?
Sikap degil Mujahid dengan ketidakpedulian untuk mendapatkan pandangan pihak lain yang lebih arif, boleh mengundang kekeliruan tentang pendirian sebenar Malaysia terhadap isu hak asasi masyarakat minoriti Islam di wilayah Xinjiang, China.
Adalah lebih bijaksana untuk Mujahid mengambil pendirian konsisten Tun Mahathir yang sebelum ini lebih bijak dan berani, sebagaimana tergambar melalui tindakannya membebaskan tahanan etnik Uighur Muslim yang melarikan diri ke negara Asia Tenggara melalui Thailand, dan menghantar mereka ke Turki, tanpa mengendahkan permintaan China untuk menyerahkan mereka ke Beijing.
MUAFAKAT menggesa Mujahid melepaskan jawatan beliau dengan segera kerana kenyataan beliau ini jelas bercanggah dengan polisi Perdana Menteri Malaysia yang bijak mentadbir dan mengharumkan nama negara di pentas dunia Islam bukannya meletakkan maruah Malaysia setara negara jumud dan jahil dalam menangani pergolakan politik dunia yang saling menindas umat Islam.
Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT