Dari dahulu sejak beberapa tahun lepas saya telah bawa isu air di Selangor ini.
Sehingga saya telah disaman oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) di Mahkamah Tinggi namun Alhamdulillah saya telah menang.
Saya memang telah jangka selagi Kerajaan PH memerintah Selangor, isu air tidak akan selesai.
Selangor mempunyai kadar kekerapan terputus bekalan air yang tertinggi di Malaysia.
Mengikut laporan Persatuan Air Malaysia yang terkini, 259,000 (62%) daripada 419,000 kejadian terputus bekalan air di Malaysia berlaku di negeri Selangor.
Pahang, negeri yang lebih besar dari Selangor dan terbesar di Semenanjung Malaysia hanya mengalami 2,000 kes terputus bekalan air setahun, seratus kali ganda lebih kecil berbanding Selangor.
Sejak beberapa tahun yang lalu saya mula mengkaji dan menulis di akhbar-akhbar berkaitan masalah air di Selangor.
Masalah ini bukan sahaja menyusahkan rakyat namun menyebabkan pelabur asing lari dari negeri Selangor.
Masalah ini sebenarnya telah diketahui sejak sepuluh tahun yang lalu oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.
Ia berpunca daripada loji-loji dan sistem paip air di Selangor yang usang dan tidak mencukupi.
Sebab itu setiap kali ada masalah pencemaran air sungai atau bekalan elektrik terputus ke satu loji air, ia menyebabkan masalah air terputus di kawasan yang besar kerana kapasiti loji air terawat sedia ada tidak cukup untuk menangani masalah-masalah ini yang sepatutnya boleh dielak jika kapasiti loji mencukupi.
Pada tahun 2008, pelan penstrukturan industri bekalan air Selangor telah dirancang untuk memulihkan masalah air di Selangor dengan suntikan dana daripada Kerajaan Persekutuan untuk memperbaiki dan menambah kapasiti loji-loji dan sistem perpaipan air di Selangor.
Untuk dana ini, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menjual aset-aset air sedia ada kepada Kerajaan Persekutuan.
Dan kerajaan negeri akan membayar balik kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan aset-aset ini melalui pembayaran sewa (lease).
Namun sehingga kini selepas 10 tahun, penstrukturan menyeluruh industri air di Selangor ini masih belum dilaksanakan.
Ini kerana sehingga bulan Mei 2018 yang lepas, pihak Kerajaan Negeri PH masih tidak dapat mencapai persetujuan tentang harga jualan aset satu syarikat air di Selangor iaitu SPLASH.
Pada tahun 2014, Menteri Besar Selangor pada ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mentaksirkan bahawa nilai adil (fair value) aset SPLASH adalah RM250 juta.
Namun demikian, pemimpin-pemimpin PKR yang lain seperti Azmin Ali mahu menjual aset SPLASH ini dengan harga yang tinggi iaitu sehingga lebih RM2.5 billion, atau sepuluh kali ganda.
Kerajaan Persekutuan BN pada ketika itu tidak bersetuju dengan harga jualan yang terlampau tinggi ini sebab ini akan meningkatkan bayaran sewa (lease) yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri.
Sekiranya harga dan sewa ini tinggi, ia akan memaksa kerajaan negeri untuk meningkatkan tarif air yang akan membebankan rakyat.
Tiga tahun lepas saya pernah menulis satu artikel dan menyatakan bahawa dasar air kerajaan negeri Selangor adalah tidak mampan dan merugikan rakyat.
Saya juga pernah mengutarakan beberapa jalan penyelesaian.
Saya juga jangka mereka akan menaikkan tarif air walaupun masalah tidak selesai.
(baca “The Selangor Water Blunder” artikel terbitan NST bulan Disember 2016 dan artikel terbitan Berita Harian “Isu Air Selangor dan Kesihatan Awam” pada Mac 2018.)
……..
Kini PH telah menguasai Kerajaan Persekutuan dan ini telah memudahkan kerajaan PH negeri Selangor untuk menjual aset SPLASH dengan harga yang berlipat kali ganda seperti yang dimahukan oleh pemimpin-pemimpin politik PH terutama PKR.
Lima negeri-negeri PH yang lain seperti Melaka dan Pulau-Pinang telahpun menaikkan tarif air baru-baru ini.
Selepas negeri-negeri lain di bawah PH mengumumkan kenaikan tarif air baru-baru ini, saya pasti Kerajaan PH negeri Selangor juga akan menyusul kelak walaupun isu air tidak selesai-selesai.
Ini susulan pembelian syarikat air SPLASH yang telah dimuktamadkan oleh kerajaan pusat dengan harga melebihi 2 bilion ringgit yang berlipat kali ganda melebihi taksiran asal sebanyak beberapa ratus juta ringgit sahaja.
Syarikat SPLASH ini adalah syarikat kroni PKR.
Dan rakyat yang terpaksa menanggung kos ini dengan membayar tarif air yang lebih tinggi di Selangor walaupun perkhidmatan air masih tidak bermutu dengan bekalan air yang kerap terputus dan kualiti yang dipersoal.
Rakyat akan ditipu lagi.
Yang untung adalah syarikat kroni.
……..
Sebelum ini SYABAS telah menyaman saya kerana saya telah menulis satu artikel dengan fakta yang mengkritik perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor.
Saya telah menyatakan kepada mahkamah bahawa saman SYABAS ke atas saya ini adalah tidak berasas dan bermotifkan politik sebab saya selalu mengkritik Kerajaan Negeri Selangor dengan membawa isu-isu rakyat.
Saya berpendapat saman ini adalah cubaan untuk menutup mulut saya daripada terus bersuara mengkritik kerajaan untuk rakyat.
Saya rasa kerajaan negeri dan agensi mereka tidak tahan dengan suara dan fakta saya lantas cuba menyenyapkan saya.
Mahkamah Tinggi telah bersetuju dengan hujah saya dan menolak permohonan dan saman SYABAS dengan kos.
Sebagai seorang rakyat di negeri Selangor, saya berasa bertanggungjawab untuk membawa isu-isu dan masalah-masalah rakyat supaya kerajaan boleh memperbaiki mutu perkhidmatan mereka kepada rakyat dan tidak hanya menyusahkan rakyat.
Terutamanya apabila saya sendiri pernah berkhidmat dengan kerajaan dan syarikat berkenaan kerajaan yang memberi perkhidmatan kepada rakyat selama hampir 20 tahun sebelum ini.
Sekiranya kerajaan atau syarikat mereka tidak boleh ditegur ke atas perkhidmatan yang kurang memuaskan maka tidak akan ada semak imbang kerajaan yang berkesan dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat akan menjadi teruk.
Keadaan ini juga berlaku jika kerajaan terlalu kuat yang menyebabkan para menteri tidak peduli apabila ditegur atau tidak rasa malu atau mengaku apabila membuat kesalahan.
Jika ini berlaku negara kita akan menjadi sebuah negara autoritarian yang memerintah secara kuku besi dan menyengsarakan rakyat.
Ini perlu ditentang dan dielak.
……..
Apabila rakyat mengkritik mutu perkhidmatan kerajaan, kerajaan patut berasa malu lantas memperbetulkan keadaan.
Ini kerana rakyat membayar kerajaan melalui cukai untuk perkhidmatan tersebut dan untuk gaji menteri-menteri yang berpuluh-puluh ribu.
Kita tidak mahu pemimpin kerajaan yang tidak mengambil endah hal rakyat tetapi melenting apabila dikritik.
Kuasa yang diberikan oleh rakyat adalah suatu amanah.
Pemimpin-pemimpin kerajaan perlu menjaga amanah rakyat ini apabila berkuasa.
……..
Saya pasti SYABAS dan pihak kerajaan negeri akan membuat rayuan berkenaan kes saya vs SYABAS di atas ke Mahkamah Rayuan selepas ini.
Namun saya akan terus lawan tetap lawan untuk menegakkan kebenaran sehingga ke akhir.
ISHAM JALIL
22 Julai 2019
P/S: Mohon tonton video klip di bawah untuk maklumat lanjut wawancara saya dengan media berkenaan isu air pada bulan Februari 2018.
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/500241227398073?s=1180765013&v=e&sfns=mo