KENYATAAN MEDIA BIRO EKONOMI & PEMERKASAAN AGENDA BUMIPUTERA, PARTI PUTRA
MENJAWAB TUN DAIM MENGENAI ISU DEB DAN EKONOMI TIDAK LAGI HARUS TERTUMPU PADA ISU KAUM DAN AGAMA
6 Ogos 2019
1. Kenyataan Tun Daim yang mendakwa pelaksanaan prinsip DASAR EKONOMI BARU (DEB) atau Dasar Afirmatif untuk membantu Bumiputera tidak lagi memenuhi matlamat sepenuhnya dan tidak wajar digunakan sebagai alasan supaya dasar tersebut yang selama ini telah membela hak keistimewaan Melayu serta kaum Bumiputera dihapus ganti begitu sahaja.
Jangan sedap beretorik sebagai seorang yang kaya dan berkuasa. Mohon sedar di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
2. Keistimewaan hak Melayu dan kaum Bumiputera sewajarnya terus dipelihara dengan memperbaiki dasar sedia ada demi memperkasa Hak Keistimewaan Melayu dan kaum Bumiputera seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Saranan Tun Daim agar dasar intervensi untuk kaum Bumiputera dihapuskan kerana dasar tersebut telah disalahgunakan oleh segelintir golongan tertentu harus ditolak, kerana kesempatan mengeksploitasi dasar tersebut berlaku di peringkat pelaksanaan program program DEB.
Tidak dinafikan berlaku ketirisan dan kelemahan dari segi ‘check and balance’ oleh agensi-agensi pelaksana serta amalan budaya korup.
Sebagai rekod, malah rakyat Malaysiapun sedia maklum tempoh pelaksanaan majoriti program-program DEB adalah pada ketika pentadbiran negara di bawah pimpinan YAB Tun Mahathir selaku PM manakala Daim sendiri pula bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan negara.
3. Polisi ‘needs-based’ semestinya perlu menjurus terhadap Melayu dan kaum Bumiputera kerana sejak pelaksanaan DEB, data-data ekonomi memperlihatkan Melayu serta kaum Bumiputera di pelbagai peringkat masih ketinggalan berbanding kaum Cina dan India.
4. Dakwaan DEB adalah polisi ‘race-based’ semata-mata adalah dakwaan semberono kerana pada hakikatnya kaum yang masih ketinggalan dan masih dalam situasi memerlukan (needs) sememangnya adalah Melayu dan kaum Bumiputera.
5. Ini jelas kelihatan pada kadar purata pendapatan isi rumah yang telah direkod dlm tahun 2016;
Cina – RM8,750
India – RM7,150 dan
Melayu – RM6,267
Dari aspek pemilikan hartanah premium pula:
Bukan Bumiputera – RM8.23 bilion (56.7%), manakala
Bumiputera – RM5.63 bilion (38.8%)
Dari segi sumber manusia, sebanyak 36.3% dari kaum bukan Bumiputera adalah tenaga mahir sedangkan di kalangan kaum Bumiputera hanya 29.4%.
6. Dakwaan Daim ramai rakyat Malaysia telah tidak berpeluang untuk turut serta menikmati pertumbuhan dan pembangunan negara disebabkan DEB hanya memanfaatkan segelintir golongan sahaja adalah tidak berasas sama sekali.
Ini kerana data-data petunjuk ekonomi jelas membuktikan Bumiputera masih terbelakang dari kaum lain. Aras petunjuk kemiskinan juga menunjukkan peratus kes kemiskinan yang tinggi adalah dalam kalangan kaum Bumiputera.
7. Persoalan ‘justice for all’ atau keadilan untuk semua yang diwar-war oleh Daim adalah tidak relevan sama sekali. Pelaksanaan DEB sejak lebih 40 tahun lepas telah lama mengimbangi hak kaum lain. Artikel 153 (7) & (8) Perlembagaan Persekutuan adalah memadai dan telah sama sekali memperincikan bahawa dalam memberi dan memelihara hak Bumiputera, kerajaan tidak seharusnya menafikan hak golongan lain.
8. Prestasi ekonomi di sepanjang pelaksanaan DEB dan kemudian disambung dengan Dasar Pembangunan Nasional dan polisi-polisi sampingan seperti ‘Look East Policy’ dan Wawasan 2020 tidak sekali-kali meletakkan Malaysia seperti mengamalkan mentaliti ‘silo’.
9. Malahan pertumbuhan GDP negara sejak 2011 adalah pada aras yang melebihi aras GDP global. Pertumbuhan GDP negara pada 2018 di aras 4.7% adalah lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan GDP global pada aras 3.7%. Sekaligus kedudukan GDP negara jauh melebihi pertumbuhan prestasi GDP negara negara jiran Asian seperti Thailand, Hong Kong, Singapura, Korea, Taiwan dan Jepun.
10. Prestasi cemerlang ini jelas memperlihatkan ia adalah tanpa sebarang perungkaian atau penghapusan secara total terhadap dasar ‘affirmative action’ kerajaan terdahulu.
11. Pelabur-pelabur asing telah berkurangan atau mula beredar pergi dari Malaysia bukan disebabkan dasar ‘affirmative action’ yang telah dilaksanakan sekian lama tetapi adalah kerana kecelaruan suasana politik di bawah kerajaan PH dan ketidakcekapan pentadbiran pelbagai kementerian yang gagal meyakinkan pelabur-pelabur sedia ada dan yang berpotensi. Menteri-Menteri juga tidak menunjukkan sikap profesional dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercelaru.
PUTRA AKAN TETAP MEMPERTAHAN DAN MEMPERJUANGKAN DASAR AFIRMATIF UNTUK KAUM BUMIPUTERA DEMI MERAPATKAN JURANG PEMBAHAGIAN KEK EKONOMI NEGARA SECARA ADIL MENGIKUT NISBAH KAUM.
BUMIPUTERA ADALAH MAJORITI RAKYAT ASAL NEGARA MALAYSIA DAN HAK KEISTIMEWAAN MELAYU ADALAH BUMIPUTERA.
HAK TETAP HAK, SEBAGAIMANA BANGSA LAIN MEMPERTAHANKAN BAHASA IBUNDA DAN BUDAYA MEREKA WALAUPUN BUKAN RAKYAT ASAL NEGARA MALAYSIA.
MELAYU SUDAH SEDAR.
BUMIPUTERA TIDAK AKAN GADAI HAKNYA LAGI DAN TIDAK AKAN DIPERBODOHKAN LAGI.
PUTRA PERKASA NEGARA
Izhar Kahar
Pengerusi
Biro Ekonomi & Pemerkasaan Agenda Bumiputera
Merangkap Ahli Dewan Tertinggi PUTRA