MARUAH SIAPA YANG AKAN DIBELA DI KONGRES MARUAH MELAYU NANTI?

780
SHARES
1.5k
VIEWS

MARUAH MAHATHIR ATAU AZMIN? 

Oleh Anuar Shaari

1. Kongres Maruah Melayu (KMM) bakal berlangsung esok di ibu negara. Kongres ini dikatakan mahu menyaingi Muafakat Nasional yang telah diadakan di PWTC sebelum ini namun ia dinafikan oleh penganjur Kongres Maruah Melayu.

Penganjur KMM ialah beberapa universiti awam sedangkan sebelum itu telah tular gambar mesyuarat KMM yang dipengerusikan oleh seorang ahli politik PPBM.

2. Paling menarik, penganjur menjelaskan Tun Mahathir dijemput merasmikan KMM atas kapasiti pemimpin Melayu, bukannya atas kapasiti Perdana Menteri.

Tambah penganjur lagi, Tun Mahathir dijemput kerana beliau ialah pemimpin Melayu yang mempunyai kuasa merubah dan melaksanakan hasil dapatan kongres nanti demi melindungi maruah Melayu.

Kuasa apa yang Tun Mahathir ada? Melainkan kuasa dengan jawatan beliau sebagai PERDANA MENTERI sekarang.

3. Sebagai seorang Melayu, Tun tiada apa-apa kuasa menentukan hala tuju maruah Melayu. Maruah Melayu hanya dapat dibela jika Melayu itu bersatu serta ditambah dengan gabungan bukan Melayu yang memahami dan bertolak ansur.

Itulah yang berlaku semasa perhimpunan Muafakat Nasional.

Akan tetapi di perhimpunan KMM, Tun Mahathir dikatakan akan hadir dan berucap sebagai pemimpin Melayu.

Jika sebagai pemimpin Melayu, Tun Mahathir dikira telah gagal setelah menjadi pemimpin Melayu selama 22 tahun.

4. Tiada apa yang boleh dibanggakan melainkan Melayu masih kekal di takuk lama sepanjang 22 tahun itu. Di pusingan kedua beliau menjadi ‘pemimpin Melayu’ sekarang, maruah Melayu semakin diinjak-injak.

Lebih teruk lagi Tun Mahathir sendiri yang menghina-hina maruah Melayu dengan ayat-ayat sinis serta hinaan.

Jadinya, tidak perlulah penganjur berselindung di sebalik kapasiti pemimpin Melayu apabila memanggil Tun Mahathir merasmikan KMM (jika benar mereka adalah penganjur sebenar KMM)

5. Bukankah lebih mulia (meminjam kata-kata Haji Bakhil dalam cerita Labu-Labi), penganjur berterus terang memanggil Tun Mahathir atas kapasiti Perdana Menteri dan mahukan kuasa Perdana Menteri melaksanakan hasil dapatan kongres itu nanti.

Ini kerana sebagai Perdana Menteri, Tun Mahathir telah berjaya mencipta kejayaan selama 22 tahun pemerintahannya sebelum ini.

Mungkin hasilnya boleh dinilai dengan situasi sekarang. Tun Mahathir begitu dahagakan kejayaan seorang ‘Perdana Menteri’ dari kejayaan seorang ‘pemimpin Melayu’ sehingga tiada Perdana Menteri lain yang berjaya melainkan dirinya.

6. Dalam kedaan menjadi Perdana Menteri kali kedua dengan bilangan kerusi Parlimen yang sedikit, Tun Mahathir dianggap masih berjaya memelihara maruah Melayu.

Untuk KMM ini, DAP telah bersuara dengan laungan seekor kucing, tidak ada lagi laungan membantah laksana seekor singa.

Adakah ini tandanya DAP menyokong Kongres Maruah Melayu kali ini? Berbeza dengan situasi Muafakat Nasional, DAP saban hari mengutuk dan melekehkan Muafakat Naional sehingga DAP tidak berkata apa-apa langsung tentang gambar edit paling biadab perkahwinan Presiden UMNO dan PAS.

7. Dalam pada itu, timbul isu pula isu seorang pemimpin Melayu tidak dijemput hanya kerana partinya bukan 100% Melayu.

Akal yang waras boleh berfikir, siapa yang sebenarnya rasis? Muafakat Nasional menjemput semua pemimpin peringkat nasional tanpa rasis, namun KMM menjemput memilih kaum.

Namun tiada pula yang membangkitkan isu rasis. Pemimpin yang tidak dijemput itupun tidak membangkitkan isu rasis, hanya sekadar memberitahu tiada jemputan buat beliau!

Saya tidak menyokong beliau, sekadar berasa pelik mengapa bakal PM yang boleh menentukan dapatan kongres nanti tidak dijemput bersama.

Barangkali penganjur juga tidak yakin dengan bakal PM ini.

8. Banyak perkara yang tersirat di sebalik penganjuran KMM ini. Biarlah masa yang menentukan sama ada KMM benar-benar membela maruah Melayu atau manipulasi seorang pemimpin Melayu meraih sokongan yang semakin terhakis.

Cuma satu yang menarik untuk diperhatikan, di saat kongres maruah Melayu diadakan nanti, adakah Presiden PPBM akan hadir?

Jika Presiden PKR tidak hadir kerana tidak dijemput, mengapa Presiden PPBM tidak hadir walaupun dijemput?

Setiausaha Agung PKR juga mengesahkan tiada jemputan untuk parti atau ahli PKR.

Namun kita tengok esok, adakah Azmin (masih ahli PKR) akan hadir atau tidak.

Jika beliau hadir, adakah Azmin hadir hadir atas kapasiti pemimpin Melayu juga?

Bolehkah Azmin dirumuskan sebagai pemimpin Melayu manakala Presidennya tidak?

Tambahanpun Tun Mahathir telah u-turn mengatakan lompat parti dibolehkan jika keadaan memerlukan.

Adakah Kongres Maruah Melayu ini sebenarnya satu program politik?

Adakah Kongres Maruah Melayu sebenarnya adalah pentas perpecahan kelompok Melayu di dalam Pakatan Harapan?

Siapa pula pencatur di belakang penganjur?

Banyak persoalan yang misteri tentang penganjuran Kongres Maruah Melayu ini…

Facebook
Twitter
Email
Telegram
WhatsApp

Related Posts