Oleh: Isham Jalil
Apabila kita berjuang, kita perlu ada pendirian, prinsip dan keyakinan dalam perjuangan atau ‘conviction’.
Jika kita pergi perang namun ada antara kita yang menyokong musuh atau ingin merunding dengan mereka di tengah jalan, kita akan dilihat sebagai lemah dan tidak ada pendirian.
Dan musuh kita tidak akan hormat dan tidak takut kepada kita malah menganggap kita ini pengecut dan mudah dijual beli.
Dan pengikut-pengikut kita akan jadi keliru, hilang keyakinan dan berpecah belah.
Apabila ini berlaku besar kemungkinan kita akan tewas.
Merunding dan menyokong musuh pada awal-awal perjuangan bukanlah suatu strategi yang bijak.
Sesiapa yang menganggap merunding dan menyokong musuh itu suatu strategi yang baik ternyata tidak pernah belajar dari sejarah.
Sebelum Perang Dunia ke-2, Perdana Menteri Britain, Neville Chamberlain yang naif telah percaya kepada Hitler dan melaksanakan dasar “Appeasement” atau dasar beri muka dan berbaik dengan Hitler supaya Hitler tidak menyerang Britain dan tidak memulakan perang di Eropah.
Untuk memujuk Hitler supaya tidak memulakan perang dan supaya Jerman berbaik dengan Britain, atas permintaan Hitler, Neville Chamberlain telah menyerahkan sebahagian daripada wilayah Czechoslovakia kepada Jerman pada tahun 1938 dan Britain telah menandatangani Perjanjian Munich dengan Hitler.
Neville Chamberlain berpendapat bahawa dasar berbaik-baik dengan Hitler ini adalah satu strategi yang baik yang akan mengekalkan keamanan.
Hitler memerlukan Czechoslovakia untuk menguatkan sokongan rakyat Jerman kepadanya di dalam negeri.
Namun demikian, setahun selepas mendapat apa yang dia mahu, Hitler tidak mempedulikan Perjanjian Munich yang telah ditandatanganinya lantas menyerang Poland dan memulakan Perang Dunia ke-2.
Beberapa bulan selepas itu, Hitler dan tentera Jerman telah menyerang Britain.
London telah dibom oleh lebih 2,000 pesawat-pesawat Jerman dan berpuluh ribu rakyat Britain telah dibunuh.
Apa yang Neville Chamberlain tidak nampak ialah Hitler bukannya mahukan keamanan, tetapi dia mahu berkuasa ke atas seluruh Eropah.
Akibat malu kerana ditipu oleh Hitler, Neville Chamberlain telah meletakkan jawatan dan diganti dengan Winston Churchill sebagai Perdana Menteri Britain.
Winston Churchill berkata kepada Neville Chamberlain, “You were given the choice between war and dishonour. You chose dishonour and you will have war.”
(“Anda telah diberi pilihan di antara menggadai maruah atau perang. Anda telah menggadai maruah dan apa yang anda akan dapat ialah peperangan.”)
Dalam pepatah Melayu disebut, “Biar putih tulang, jangan putih mata.”
……..
Salah satu kelebihan Mahathir ialah merekacipta krisis untuk kepentingan dirinya.
Dia telah melakukan perkara ini banyak kali sebelum ini.
Kali ini dia merekacipta krisis Bersatu dengan DAP untuk mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri.
Dan seperti biasa dia akan menggunakan orang-orang yang masih percaya kepadanya sebagai alat untuk mencapai hasratnya, sepertimana Hitler menggunakan Neville Chamberlain dahulu.
Sebelum ini Mahathir telah berkali-kali mengkhianati kawan-kawan se-parti yang cuba berbaik dengannya.
Jika kawan-kawan se-parti dengannya pun dia boleh khianati, bagaimana kita boleh percaya yang dia tidak akan mengkhianati kita pula iaitu parti lawannya?
Usahlah kita berkali-kali menggadai maruah dan menjadi alat Mahathir.
Belajarlah dari sejarah.
Peganglah prinsip dan jagalah maruah.
Jika orang-orang Melayu hilang maruah, apakah lagi yang tinggal kepada kita.
ISHAM JALIL
27 Oktober 2019
https://www.facebook.com/220524935369705/posts/564968497592012?sfns=mo