1. UMMAH menentang keras kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mewakili kerajaan Pakatan Harapan apabila memberi pendapat songsangnya berkaitan zakat di Seminar Antarabangsa Zakat, Wakaf dan Filantropi Islam (ZAWFI ’19), dengan berkata;
“Wang zakat ini dibayar oleh orang Islam, selesaikan masalah orang Islam dahulu. Itu adalah hujah yang benar, tetapi Islam juga adalah agama contoh, menjinakkan adalah satu strategi dakwah yang baik…”
2. Presiden PKR itu berkata demikian dengan hujah; dalam konteks masyarakat berbilang bangsa di Malaysia, tidak sesuai hanya masyarakat Islam dibantu, tetapi penganut agama lain dipinggirkan.
3. Bagi UMMAH, masalahnya bukan kerana umat Islam meminggirkan penganut agama lain, tetapi penganut agama lain itu sendiri yang meminggirkan sesama mereka, jika mereka tidak bersikap demikian tentulah perkara kemiskinan di kalangan mereka tidak timbul memandangkan majoriti masyarakat bukan Islam jauh lebih kaya raya daripada umat Melayu Islam.
4. Ini kerana jika dilihat nisbah jurang kemiskinan mengikut bancian negara menunjukkan bahawa bilangan orang bukan Islam yang kaya-raya jauh lebih ramai bilangannya daripada umat Islam. Apakah kumpulan mereka yang kaya-raya itu tidak peduli sesama penganut agama mereka yang terpinggir dengan kemiskinan, padahal dalam masa sering kali ada program kutipan derma yang dianjurkan oleh institusi keagamaan mereka?
5. Manakala kita sedia maklum begitu ramai umat Islam khususnya di luar bandar masih ramai yang belum selesai untuk pihak jabatan agama seperti Baitulmal, untuk membantu sesama saudara kita, dan seringkali pula disiarkan dalam siaran TV melaporkan kemiskinan umat Islam luar bandar yang masih terbeban dengan masalah kemiskinan. Tambah lagi sejak pengambilalihan kerajaan baru ini dilaporkan jurang kemiskinan semakin melebar dengan pengangguran dan ketiadaan pekerjaan serta pembuangan pekerja semakin ketara terhadap kelompok Islam Melayu.
6. UMMAH juga mendapat berita bagaimana di sektor kerajaan merupakan yang paling banyak membuang pekerja yang majoritinya adalah umat Islam bangsa Melayu! Mustahil bekas Menteri Kewangan ini terlepas pandang, atau pun apakah mungkin kenyataan beliau itu adalah kerana mahu mengusung sana-sini ideologi pluralisme yang sedang dijajanya kepada masyarakat bukan Islam?
7. Sebagai Naib Pengerusi UMMAH, saya sarankan orang ramai supaya jangan ambil peduli kenyataan merapu penasihat PKR ini yang jelas kenyataannya itu ada terselit agenda berkepentingan politik yang sedang kemabukan hendak menjadi PM-8.
8. Kita sebagai umat Islam yang mempunyai Ketua Agama dan juga Mufti Negeri masing-masing seperti kenyataan dari Mufti Selangor dan Perak sebagai penasihat dalam hal ehwal agama, harus mengikut dan bersandar kepada mereka yang lebih layak, lebih berautoriti ini untuk bercakap mengenai zakat dan agihannya. Mufti adalah pihak yang alim dalam bidang agama termasuk dalam bab zakat.
9. Dalam masa yang sama UMMAH tidak menolak maksud asnaf ke-4, muallaf itu maksudnya; Mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam. Namun perbahasan ini panjang dan perlu dilihat juga dari berbagai sudut dan UMMAH yakin dan menyokong dengan pendapat Mufti Selangor dan Perak.
10. Jangan ikut pandangan seorang yang bercelaru dengan fahaman liberalisme yang hanya akan merugikan umat Islam baik dalam masa terdekat, tambah lagi pada jangka panjang. Bagitu juga kenyataan yang menampakkan sikap apologetik akut sebahagian orang beragama Islam apabila berada di hadapan orang kafir.
Haji Rashidi bin Haris
Naib Pengerusi UMMAH